Pages

sejuk


Bismillahirrahmanirrahim...

Sambil tubuh yang menggigil menahan sejuk yang menggigit, cucu kuatkan juga jari untuk memetik kekunci. Menulis sesuatu, mencoret laman ruang kosong yang sekian lama ditinggalkan. Bukan tidak sudi untuk berkongsi, tapi dek diri sendiri yang kurang pandai mengurus masa. Malu untuk mengatakan yang saya ini sibuk, cuma khilaf cucu yang memang kurang pandai mengurus masa.

Musim luruh yang sudah tiba, mengganti musim panas yang ditinggalkan lebih sebulan lalu, membawa makna tersendiri. Ya, sememangnya untuk ulul albaab, untuk ahli fikir, setiap kejadian Allah atas muka bumi ini semakin meluaskan pemikiran, membawa kerendahan hati yang amat, hati dan jiwa tunduk menyerah pada kudrat yang Maha Agung. Moga cucu dan pembaca semua tergolong dikalangan mereka, insyaAllah.

Musim luruh, yang mengganti musim panas. Beza, memang berbeza. Dari darjah kepanasan suhunya, dari suasananya, dan dari segala segi. Dikala musim panas dahulu sang pohon yang merimbun pasti bangga kerna dirinya punyai daun yang hijau lebat, punya bunga yang mekar gemilang, pasti di musim luruh ini dia bakal menundukkan diri. Rela dan redha bila daun yang ada pada tubuh pohon akan gugur, dan gugur, dan gugur dengan sebanyaknya bila tiba masa. Malah, yang hdaun yang hijau bertukar rupa. Dari hijau bertukar merah. Dari merah, bertukar kuning, langsung bertukar coklat dan gugur terus mencium tanah.

Nikmat dunia yang dibangga, yang dipuja-puja seperti dedaun itulah. Tidak kekal berpaut di pohon. Sampai masa bakal pergi. Jika nikmat dunia seperti perempuan, harta kekayaan, pangkat yang tinggi-tinggi jadi sandaran, itu menjadi satu kerugian.

Jika dipandang dedaun itu bagai diri yang teracun dengan dunia dan nafsu, gugurkanlah daun itu. Bermunajatlah pada Allah. Mohon diberi perlindungan dan kekuatan. Jika Allah beri kesempatan lagi, moga-moga kita koreksi diri. Bagai pucuk-pucuk dan kudup-kudup bunga yang bakal tumbuh bila musim bunga menjengah.

Kesejukan yang melanda sekarang. Moga kita tergolong dalam orang yang berfikir, orang yang bersyukur. Angin yang bertiup kencang, suhu yang makin rendah, titis hujan yang makin bertambah, kita sambut dengan tahmid. Biar kita sepadu dengan alam yang sedang bertasbih, sama-sama mengakui Allah itu Maha Agung.

Moga kita tidak jadi seperti yang bukan muslim;

" Sejuknya..kuatnya angin..Kenapa sejuk sangat ni?"

Kerna mereka tidak lihat disebalik semua ini ada keagungan yang patut kita rendahkan diri.

Sejuk yang melanda, moga tidak membekukan hati.,moga akal tidak cair untuk berfikir, moga tidak mengeraskan jiwa untuk tunduk dan merendah hati.

Aaah..moga jadi golongan yang berfikir, siapa lagi kalau bukan seperti Ulul Albaab..

dahaga


sungguh hairan aku,
bagaimana bisa tenang hati seorang manusia tanpa mengingatiNya.
ya, di luar mereka gembira,
tertawa bagai mereka terhibur dengan macam-macam perkara.

tentang perempuan,
tentang permainan,
tentang musik yang jadi siulan,
tentang wayang cerita yang sudah diketahui penghujungnya,
tentang itu,
tentang ini.

hairan aku memandang manusia,
ya, pastinya hairan memandang diriku juga.

sedang manusia tahu yang dia tidak pernah puas.
berilah segunung emas,
pasti dirayu lagi segunung permata.

meneguk dunia,
tidak akan memuaskan dahaga.

sunshine 109

aki


aku mengayuh perlahan basikal usang,
menghempas lelah penuh bersawang dalam dada.
ketidakfahaman membuat tenagaku hilang pada kerutan dahi.
ya, beginilah langkah pulangku hari-hari.

masa pantas berlalu,
tanpa sedar;
cuaca bakal merajuk padaku,
seakan-akan tidak endah yang dia sudah makin sejuk.
daun-daun mungkin juga cemburu padaku,
dia sudah bertukar warna, bagai aku yang tak terpesona.

rayuku pada masa,
perlahankanlah dirimu..
aku sangat rindu untuk kembali seperti dahulu.
membaca cuaca, menatap daun-daun kouyou,
walau hanya dengan satu kerdipan mata,
moga dapat aku tadabbur dengan penuh nikmat.

sunshine 109

p/s: ya Allah, berkatilah masa dalam hidupku..

bila dia datang...


Entri pendek,
malas cucu mahu berbasa-basi.

Cuma terfikir...
pernah atau tidak (sekurang-kurangnya) terlintas dalam hati bila dan bagaimana kita mati?

SShhhhh...
tanyalah diri sendiri.

p/s: takziah untuk Uzair. Pemergian ayahmu itu sangat aku dirasai. Moga kau tabah mengharungi hari-hari mendatang.

senyumlah



Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk menghirup nafas. Khususnya kepada pembaca, sudah tentu anda masih diberi ni'mat melihat, berfikir, menatap dan mungkin juga ni'mat untuk memetik kekunci komputer, meninggalkan sedikit buah fikir untuk laman ini. Dan tidak ketinggalan, bagi diri cucu yang masih diberi ni'mat kekuatan untuk menulis dan berkongsi cerita di sini. Alhamdulillah~

" Cucu gembira, yeay!"

Mungkin ada yang berasa begitu hairan kenapa gaya bahasa cucu sungguh riang untuk post kali ini bukan?

Mungkinkah kerna cucu dapat sesuatu yang selama ini
diidam-idamkan?
Hurm...

Mungkinkah juga kerana cucu bertemu dengan orang yang paling cucu hendak jumpa?
Erm, pun bukan..

Perkara yang membuatkan cucu gembira adalah,

SENYUM!

Rasa penat meladeni kuliyyah dari awal pagi seawal 8.40 pagi, kadangkala mengundang rasa letih yang amat sangat. Walaupun anggita badan tidak banyak bergerak, tapi dek kerana rasa termangu-mangu mahu menghadam dan memahami kuliyyah, benar-benar memenatkan otak. Tambahan pula semester kali ini yang lebih padat berbanding semester lepas, sedikit sebanyak mengurangkan riak ceria diwajah.

Tapi hari ini, cucu rasa gembira yang amat. Lazimnya seperti hari-hari biasa yang cucu lalui sebelum ini, cucu mengayuh basikal dengan perasaan tidak sabar mahu segera sampai ke rumah. Biar hilang segala resah dan gundah. Di pertengahan jalan untuk pulang ke rumah, ada dua orang makcik tua yang sedang ralit bersembang antara satu sama lain. Sebaik sahaja mereka perasan yang cucu sedang menuju ke arah jalan yang dilalui mereka, terus mereka menghentikan perbualan dan dua orang makcik
itu serentak senyum kepada cucu.

" Konnichiwa ~"

Terus cucu ucapkan selamat tengahari dengan hati yang berbunga-bunga dan perasaan yang lapang. Langung hilang rasa beban tidak faham kuliyyah yang bersisa dalam hati sejak tadi. Baru cucu sedar, senyum yang hanyalah sekadar senyum, adalah pemberian yang paling bermakna.

Maka dengan itu, pembaca barangkali sudah lazim dengan mafhum hadith Rasullullah SAW yang menyebut senyuman itu adalah sedekah. Mungkin kita kurang menghayati kepentingan senyum itu. Tetapi, ketahuilah bagi cucu dan semua orang yang bertemu dengan pembaca sangat bahagia dengan senyumanmu itu.

Percayalah, cukup dengan senyummu itu membahagiakan cucu, dan kamu!

Terima kasih untuk senyum. (^^,)