Pages

kosong dua minggu

Alhamdulillah.. akhirnya tiba juga cuti pengajianku dalam musim sejuk ini. Seperti sebelum2 ini, insyaAllah aku akan mengembara lagi. Maaf ku ucapkan kerna tidak bisa meninggalkan sesuatu untuk kalian sebelum aku melangkah pergi untuk kembaraku. Boleh jadi Think Tanker ini bakal kosong tidak terisi selama dua minggu. Jika ku punya peluang dan kesempatan sepanjang dua minggu ini, mungkin aku bisa mencoretkan sesuatu untuk tatapan kalian.

Esok cuti.

Aku gembira dan tidak sabar bertemu 'kekasih2ku'.

Kerinduanku kepada 'kekasih2ku' makin membara. Gersang rasanya hati ini lantaran sudah lama kita tidak bertemu dan sama berteduh di bawah payungan rahmat ilmu. Moga perjalanan kita untuk pertemuan nanti dirahmati dan diredhaiNya.

'kekasih2ku'=akhawwat

terima kasih dari emak dan abah

Aku baru usai menelefon emak dan kelarga yang kini jauh dari pandangan mata kasarku. Mendengar suara emak, abah, dan adik2 bagaikan mereka berada dekat di sisiku. Semacam perasaan lega dan selamat menyusup dalam hati.

Adik2ku berebut2 mahu bercakap denganku melalui telefon. Mula2 telefon di tangan emak, kemudian Izah, abah, Dikdah, dan Nurul. Tidak ketinggalan si montel, Ashraf.

" Terima kasih, kakak. Ashraf dah dapat mainan tu. Tadi kitorang dah buat lori..."

Ucapan penghargaan ku terima daripada adikku, Ashraf. Alhamdulillah, barang2 yang ku kirim buat keluargaku sudah selamat tiba ke sana. Aku mengirimkan mainan buat Ashraf. Harapanku moga mereka menyukai walaupun barang2 yang ku kirim itu tidaklah seberapa nilainya.

" Fizah, lain kali tak payah la susah2 kirim barang ke sini. Tak payah buang2 duit ye. Duit tu simpan untuk belajar.."

" Takpe mak, barang tu barang murah je. Tak mahal mana pun. Fizah cuma teringin nak kirim barang ke sana.."

Emak dan abah mengingatkan aku agar tidak menyusahkan diri dan 'membuang duit' untuk mengirimi mereka barang2 dari Jepun. Alhamdulillah, biasiswa ku cukup selama ini. Cuma tempoh hari ada ku simpan sedikit daripada wang biasiswa untuk ku kirimi sedikit barang2 dari sini.

SURAT CINTA UNTUK MEREKA

Dalam bungkusan yang aku kirimi buat mereka, ku lampirkan sekali 'surat cinta' buat keluargaku. Walaupun menelefon keluargaku dengan kekerapan seminggu sekali, rasanya belum cukup untuk aku ceritakan kondisiku di sini. Biasanya telefon hanya bertanya khabar dan menyampaikan salam. Kesempatan yang ada ini aku gunakan sekali untuk ku lampirkan sekali 'surat cinta'ku buat ahli keluargaku tersayang. Seingat aku, suratku itu tidaklah berbaur emosi sehingga bisa menitiskan air mata. Kebanyakan ayatku dihabiskan dengan ayat " hehe.." ataupun " haha.." sebagai simbol aku berada dalam keadaan gembira. Namun,

" Fizah, mak dah baca surat tu..."

Alhamdulillah surat cintaku sudah di baca 'kekasih2ku'. Lega rasanya.

" Kelakar tak mak Fizah cerita macam2 dalam tu.."

Aku ketawa kecil. Namun emak membalas

" Habis kitorang baca sambil terjurai2 air mata. Emak mintak abah baca pun abah tak nak. Tak sanggup kot.."

Rasa bersalah menguasai diriku. Aku ingatkan surat cintaku itu bakal mengundang tawa kekasih2ku. Namun suratku itu menitiskan air mata mereka pula.

" Terima kasih Fizah. Susah2 hantar ni semua .."

Emak pula berterima kasih padaku. Ya Allah, tidaklah layak hambamu ini menerima lafaz terima kasih daripada orang yang melahirkan, membesarkan dan berkorban segalanya demi aku.

TERIMA KASIH DARI EMAK

Terima kasih emak itu membawa aku teringat kembali peristiwa 9 tahun yang lepas. Ketika itu emak baru melahirkan adikku, Izah pada 15 Ramadhan, 3 Januari 1999. Ketika itu aku aku masih di bangku sekolah rendah darjah 5. Memandangkan aku anak sulung, abah pula bekerja di luar,secara tidak langsung tugas2 emak selama ini berpindah kepadaku.

Ketika itu akulah emak, akulah suri rumah. Mujur ketika itu musim cuti sekolah. Dapatlah aku tumpukan pada tugas2 di rumah. Aku lakukan tugas sepertimana emak lakukan sebelum bersalin dahulu. Menyediakan sarapan, mencuci pakaian, dan sebagainya. Alhamdulillah ketika itu arwah nenek masih ada lagi. Dapatlah meringankan tugasku.

Tidak berapa lama selepas itu, sekolah dibuka. Aku pun bersekolah kembali bersama adik2ku yang lain. Kalau dahulu pergi dihantar dan balik dijemput emak dengan motosikal, tapi kini pergi dan balik berbasikal. Tugasku dirumah juga sama seperti sebelum ini. Memasak, mencuci pakaian dan sebagainya. Cuma tugas2ku bertambah dua kali ganda. Kerja sekolah dan rumah.

Kadang2 jiwaku yang masih mentah dan muda itu mudah merungut penat. Walaupun aku tidak pernah mengungkapkan penat itu dimulut, namun tingkah lakuku bisa membuktikannya. Misalnya air mukaku yang masam mencuka, aku mudah meninggikan suara pada adikku jika ada yang tidak kena dan berjalan dengan gaya menghentak2kan kaki. Walaupun aku tidak adukan pada emak, tapi emak tahu apa yang terbuku dalam hatiku.

Selepas sebulan lebih bersekolah, ujian bulanan pula menjelang. Apabila di umumkan keputusan peperiksaan, keputusan peperiksaanku merosot mendadak. Aku tunjukkan rekod keputusan peperiksaanku pada emak dan abah. Ketika itu aku bersedia untuk mendengar nasihat ( baca : bebelan ) abah atas eputusan ujian yang tidak memberangsangkan. Namun hairannya, abah terus menandatangani rekod tersebut tanpa banyak soal. Emak pun diam sahaja.

Apabila aku duduk2 dan mengusap2 rambut adik baruku di sebelah emak, emak bersuara.

" Fizah, mak minta maaf ye. Mak tak berniat nak susahkan Fizah. Cuma sekarang ni mak belum mampu nak buat kerja rumah. Mak minta maaf sangat2. Pelajaran Fizah merosot pun mak tahu tu sebab Fizah penat. Mak dengan abah tak kisah dengan keputusan tu.."

Emak tersedu sedn menangis di hadapanku. Aku berasa sungguh serba salah. Terpapar segala rungut penatku, tinggi suaraku dan tingkah lakuku yang teruk sepanjang aku mengambil alih tugas emak semasa emak berpantang. Aku pun turut menangis sambil meminta maaf pada emak. Rasa menyesal menguasai diriku ketika itu. Serik untukku ku ulangi perangai burukku itu.

" Terima kasih ye Fizah tolong mak..."

Ucapan maaf dan terima kasih yang tidak sepatutnya aku terima dari emak membuatkan aku menitiskan air mata ketika itu. Bahkan bukan ketika itu sahaja, tiap kali aku teringat peristiwa itu dan apabila rindu menguasai diri, terasa bagai air mata ini begitu murah sekali.

Moga Allah ampunka dosa kedua insan yang aku sayangi ini. Rahmati, redhai mereka berdua, Ya Allah.



Poketmu poketku jua ?


Peperangan Yarmuk berakhir dengan kemenangan besar tentera Islam. Di celah2 mayat yang bergelimpangan, kelihatan 3 orang mujahid yang masih bernyawa namun amat lemah dan tidak berdaya lantaran kecederaan parah yang mereka alami.

Al-Harith bin Hisyam, 'Ayyasy bin Abi Rabi'ah dan Ikrimah bin Abi Jahal.

Al-Harith yang kehausan, melaung minta diberikan air. Apabila air diberikan padanya, dia terpandang Ikrimah yang sedang memerhatikannya. Lantas di arahkan air itu diberi kepada Ikrimah.

Apabila air sampai kepada Ikrimah, 'Ayyash pula menoleh padanya. Ikrimah juga turut meminta supaya air itu diberikan kepada 'Ayyash. Akan tetapi, bila air itu dibawa kepada 'Ayyash, dia menghembuskan nafas terakhir. Bila air itu ingin dibawa kepada Ikrimah dan Al-Harith, mereka berdua juga sudah syahid.



CUMA 6 ULAS OREN

" Ditangan Fizah ni cuma ada 6 ulas oren je..."

Aku memulakan bicara sambil memegang 6 ulas oren ditangan. 8 orang teman yang sama duduk dalam satu bulatan bersamaku mula berkerut dahi selepas mendengar kata2ku.

" Malam ni nak makan oren ke Fizah ? "

Nampaknya masing2 sudah tidak sabar ingin mendengar jawab balas dariku. Aku diam seketika. Tingkahku itu bagai menghangatkan suasana.

" Haah. Malam ni kita akan makan oren. Tapi oren ni tak cukup tau. Kita ada 9 orang kat sini tapi oren ni cuma ada 6 ulas je ..."

" Ok.. malam ni kita akan main game. Senang je main ni. Fizah akan suap oren ni pada orang sebelah kanan. Lepas tu, orang sebelah kanan tu akan suap oren ni pulak kat orang sebelah kanannya. Kena pandai2 bajet oren tu. Suka hati nak makan banyak mana. Tapi yang penting, orang sebelah kiri Fizah akan suapkan oren kat Fizah. Senang kata, semua orang dalam bulatan ni akan dapat rasa oren tu.."

Aku memberi sedikit panduan untuk permainan malam itu. Aku memulakan permainan dengan menyuap seulas oren ke mulut teman sebelah kananku. Dia cuma makan setengah sahaja. Tidak sampai seulas pun. Barangkali bimbang jika teman2 lain tidak dapat merasa oren yang 6 ulas itu. Permainan berjalan lancar. Kedengaran juga gelak ketawa teman2 sewaktu permainan berjalan. Aku turut tidak ketinggalan. Tidak kering gusi melihat teman2 yang masih disuap teman yang lain walaupun sudah 'besar-panjang' .

Sampai pada giliran teman sebelah kiriku menyuap oren ke mulutku, oren ditangannya masih berbaki seulas setengah lagi.

" Ish, ni semua dah rasa oren ni ke ? "

Masing2 mengangguk tanda sudah merasa oren tadi.

" Ooo ni sebab sayang Fizah la ni. Sebab tu bagi lebih kat Fizah ye ? "

Sengaja aku memaniskan ayat mengumpan teman2ku. Masing2 sengaja menggelengkan kepala dan ada yang menjuihkan bibir. Aku tersenyum sahaja melihat tingkah mereka. Rasa lucu pun terselit sama.

Permainan bersama teman2ku ini ada kaitannya dengan secebis kisah yang aku tuliskan pada awal entri ini. Melebihkan orang lain setinggi2 tahap ukhuwwah seseorang dengan temannya itu. Rasa kagum dengan ketiga2 pejuang Allah yang syahid yang mana mereka tetap melebihkan insan lain melebihi kepentingan diri sendiri walaupun mereka lebih memerlukan dan kondisi mereka ketika itu bagai telur di hujung tanduk!

Subhanallah. Hebatnya Allah Maha Pengasih menciptakan perasaan ini dalam diri hambanya.

Ku lihat teman2ku yang berada dalam satu bulatan tadi terkena tempias sifat mulia ini.

" Hebat kan sahabat2 tu. Agaknya lah kan, kalau kita berada di tempat mereka, kita akan punyai sifat itu tak...? "

Senyap. Masing2 berdiam diri dan ada di antara temanku yang sudah jauh termenung. Bermuhasabah dan membandingkan diri dengan ketiga2 sahabat Rasullullah itu.

" Tadi Fizah tengok, waktu kita main game ni, ada yang bila di suap seulas, tapi dia gigit sikit je. Sebab takut kawan2 lain tak dapat rasa kan? Biar kita rasa sikit tapi kita lega suka kalau kawan kita yang lain dapat rasa lebih banyak dari kita.."

Teman2ku menganggukkan kepala tanda bersetuju dengan kata2ku. Alhamdulillah, jika masing2 sudah terkesan dengan sifat melebihkan orang lain. Teringat aku akan peristiwa hijrah Rasullullah SAW ke Madinah bersama sahabat2 yang lain. Hijrah ke Madinah cuma sehelai sepinggang. Keluarga, harta, kekayaan dan perniagaan semua ditinggalkan di Makkah. Yang dahulunya kaya raya tidak ada beza dengan si miskin semasa berhijrah. Akan tetapi, orang2 ansar yang mendiami Madinah mengasihi Muhajirin dari Makkah melebihi diri mereka sendiri. Muhajirin yang sehelai sepinggang ditawarkan tempat tinggal, perniagaan, pakaian, makanan, malah ada juga yang menawarkan isteri! MasyaAllah.

Sudah lama rasanya aku dengan teman2 tidak bertemu dalam majlis ilmu seperti ini. Dan hari ini dengan izin Allah, Alhamdulillah kami dapat berkumpul. Dua minggu lepas, aku masih ingat lagi peristiwa ini.

X : Fizah, minggu ni takde usrah ke ? Kenapa Kak Y tak bagi sms macam biasa pun ?
Aku : Minggu ni Kak Y kan ikut kengaku gi Kyouto ngan kitorang. Sebab tu takde usrah.
X : La.. ye ke. Ala...

Aku tersenyum bila teringat kata2 temanku itu. Temanku sudah lama tidak berpeluang menghadiri usrah lantaran dia punyai urusan tertentu. Bilamana dia punyai kesempatan untuk menghadiri usrah, naqibah kami pula yang punyai urusan.Ternyata jiwa fitrah manusia itu rindu untuk di basahkan dengan siraman2 ajaran wahyu tuhan. Ternyata betapa berharganya siraman itu. Lebih2 lagi jika siraman itu tidak datang pada waktu yang kita inginkan. Makin bertambah mahal siraman itu. Moga2 kami akan lebih menghargai dan tidak melepaskan siraman itu.

POKETMU POKETKU JUA

Aku teringat pada kata2 Kak Aleen tidak lama dahulu. Kak Aleen menceritakan peristiwa yang berlaku pada seorang sahhabat, Abu Hurairah. Suatu hari ada seorang lelaki datang kepada Abu Hurairah. Dia dengan tanpa segan silu mengucapkan

" Wahai Abu Hurairah, aku mencintaimu kerana Allah.."

Abu Hurairah tidak sewenang2nya membalas kata2 cinta itu. Abu Hurairah membalas

" Adakah poketmu adalah poketku ? "

Ketika aku dan teman2 yang lain mendengar cerita ini dari Kak Aleen, masing2 tersenyum dan ada juga yang ketawa. Lucu rasanya bila kata2 cinta dibalas dengan kata2 kepastian yang menguji. Bukan senang2 mengungkap cinta jika diri sendiri belum bersedia berkorban dan melebihkan kepentingan orang lain lebih dari diri sendiri.

" Inni uhibbuki lillahi ta'ala.."
( Aku menyayangimu kerana Allah)

" Adakah poketmu poketku jua..?"









perasaan yang semulajadi

Berpeluang melanjutkan pengajian ke Jepun merupakan antara ni'mat yang istimewa dariNya. Aku tidak memaksudkan mereka yang tidak berpeluang menjejakkan kaki di Bumi Sakura ini tidak bertuah, tetapi aku percaya tujuan dan matlamat kita masih sama. Cuma masing2 berjuang di jihat yang berbeza.

Sudah lama aku pendamkan, sudah lama aku perhatikan. Padaku, biar masa yang menentukan. Sejak berada di persediaan dahulu, sudah lama persoalan ini berlegar di kepalaku.

Kelmarin, dalam kuliyyah Bahasa Jepun, Akagi Sensei memulakan kelas dengan menceritakan perayaan2 yang disambut di Jepun dalam masa yang sama menunjukkan gambar2 yang berkaitan pada kami. Jou San, teman sekelasku dari China begitu ligat bertanya mengenai budaya2 dan perkara2 yang menarik perhatiannya. Bertubi2 butir2 soalan keluar dari mulutnya. Setiap kali usai melontarkan soalan, aku dapati perasaan tidak saba mahukan penjelasan daripada sensei mewarnai wajahnya.

Tika itu aku kurang menumpukan sepenuhnya tumpuan. Perhatianku terbawa2 ke luar. Memerhatikan, merenung, berfikir tentang soalan apa yang sepatutnya aku pilih dari karung persoalanku dalam kepala. Bila tiba sensei menunjukkan gambar kouyo ( pemandangan daun keperangan semasa musim luruh ), persoalan ini tiba2 terlintas di kepalaku.

" Sensei, nihonjin wa sakura toka, momiji wo miruto, donna kimochi wo shite iru desyouka ? "
( Sensei, apa perasaan orang Jepun bila mana melihat sakura dan kouyo ? )

Seringkali aku tertanya2 kenapa orang Jepun ini begitu menghargai sakura dan kouyo. Setiap kali tiba musim bunga ( haru ) dan musim luruh ( aki ), pasti adanya acara hanami dan koyoumi. Bila ku tanyakan soalan ini pada sensei, dengan senyuman sensei menjawab,

" Jiwa orang2 Jepun dan alam semuladi punyai hubungan yang sungguh rapat, sangat erat. Bila mata kami memandang keindahan alam, sakura dan kouyo contohnya, secara tidak langsung suara hati kami akan melagukan puisi memuja keindahan alam semulajadi...."

Wah! Sampai begitu sekali jiwa mereka menghargai alam semulajadi. Sehingga lagu2 puisi berbaur kesyukuran lahir secara fitrah dari hati tulus mereka.

" Kaki kueba kane ga naru nari..."
( Menikmati buah khaki, bagai mengundang loceng berbunyi..)

Maksudnya, betapa lazatnya rasa buah khaki yang ranum itu. Buahnya sedikit rangup dan bila dimakan, akan mengeluarkan bunyi seakan2 dengan bunyi loceng ( loceng suci yang biasanya terdapat di tokong ).

" Orang Jepun menghargai alam ini bukan sahaja kerana keindahannya, malah kerana kerana alam ini begitu kompleks.."

" Sebagai bukti yang menunjukkan mereka benar2 menghargai alam ini, lihat dalam surat2 yang ditulis oleh orang Jepun. Perkara pertama yang akan di tulis adalah mengenai cuaca. "

Aku mengangguk setuju. Patutlah menjadi budaya masyarakat Jepun ini bila bertemu sesama sendiri, perkara pertama yang keluar dari bibir mereka adalah kata2 yang mempunyai kaitan dengan alam semulajadi seperti cuaca.

" Kyou, tenki ga iidesune.."
( Hari ni cuaca baik kan )

Perkara itu bagai ' salam ' antara aku dan teman sekelasku bila bertemu. Misalnya suhu tertinggi untuk hari ini, jika hujan bawa payung atau tidak, perubahan suhu yang mendadak, dan seumpamanya.

Pelik bukan ?
Mereka yang tidak punyai kepercayaan pada Tuhan menghargai alam ini. Tidak pernahkah mereka lanjutkan persoalan ini kepada siapa Pencipta alam ini? Bagaikan kekaguman mereka terhadap alam ini hanya terhenti setakat kagum pada begitu kompleksnya struktur alam yang terbentang luas.

Tidak syak lagi. Walaupun secara zahirnya manusia boleh menidakkan adanya Tuhan yang layak di sembah, namun jiwa fitrah mereka tidak dapat menipu. Kagum dengan keindahan yang mustahil dapat dicipta oleh tangan manusia biasa. Lantas jiwa manusia tunduk akur akan kehebatan yang terpampang jelas depan mata. Tinggal hati mereka yang masih sombong dan terhijab dari mengakui bahawa alam ini ada pencipta. Dan hanya pencipta itu sahaja yang layak disembah dan di puja!


MAUT

Sekarang hampir jam 1 pagi.
Hairan. Mataku masih mahu terjaga, ku paksakan untuk memejamkannya, nyata nafsu tidurku masih belum menerpa.

Membelek2 buku puisi ' Menggeledah Nurani ' karangan Fahd Razy. Pintaku moga aku akan terkesan dengan puisi yang aku baca. Tiba di halaman 10, aku terkesima tatkala menghayati puisi ' Maut '

Maut

Meski terkunci rapat segala pintu dan tingkap
atau bergerubung di bawah selimut kejap,
namun pepisau sakarat
sentiasa bergerimincing
mendekat dan menyiat-nyiat
perca kelakian dalam senyap

Biar yang tuli dan buta
rencat dan gila,
atau berkuasa dan meraja
di riba Izrail tetap tergelupur menggagau nafas
dalam sembelihan takdir yang tak tertebus, betapa
antara nazak dan barzakh
adalah jawapan kefasadan;
" pulangkan rohku
kerana baru semalam aku merangkak melata
dan berilah esok
untuk aku kembalikan segugus sujud."

Antara nazak dan barzakh
tetap kitalah yang sentiasa mencicirkan

Takut, berdebar-debar.
Mengenangkan sakit dicabut nyawa umpama ditikam dengan 300 mata pedang.
Pintaku sentiasa moga esok masih ada.
Untuk ku perbaharui nafas kehambaanku.
Moga esok yang akan datang bukanlah menjauhkan aku dari Tuhanku.

Inginku lelapkan mata dan lena dalam maut yang sekejap ini. Moga dengan izin Kau, jika esok masih ada kesempatan buatku, bangunkan aku dengan nafas kehambaan.