Pages

tauladan hari raya


pejam celik, pejam celik hampir genap sebulan saya bercuti sempena ramadhan dan aidilfitri di Malaysia. Berat hati untuk saya tinggalkan semula keluarga, dan kampung halaman. Tapi apakan daya...

Cerita tentang raya, sudah pasti menjadi adat untuk berkunjung ke rumah saudara dan teman handai. Saya pun tidak turut ketinggalan.Apatah lagi ini kali pertama saya bercuti raya di Malaysia sejak berhijrah ke Jepun, sudah semestinya saya amat teruja untuk bertemu dengan sanak saudara dan teman-teman lama saya.

FOBIA UNTUK BERSALAM

Saya gembira dan teruja untuk bertemu sanak saudara. Tetapi, dalam keriangan saya meraikan hari raya dengan mereka, saya selalu dihantui kebimbangan. Bimbang untuk bersalam dengan sepupu dan saudara lelaki saya. Mungkin sudah jadi adat atau kebiasaan masyarakat kita untuk 'hentam keromo' menyalami sanak saudara lelaki dan wanita. Bagaimana ya agaknya untuk saya dengan hikmah dan bijak menangani masalah sekecil ini?

" Fiza, pergilah salam dengan wak. Kang nanti apa yang dia rasa.."

Bersungguh-sungguh emak memujuk untuk menyalami suami kepada makcik sebelah abah. Biasanya, jika ingin pulang kami adik beradik perempuan lekas-lekas mahu keluar. Kalau boleh mahu mengelak. Wak, makcik..kami bukan sombong ya?

Alhamdulillah, sepupu-sepupu saya yang kebanyakannyasudah sebaya abah dan emak sudah amat faham dengan perangai kami adik beradik. Kalau dulu, mungkin mereka masih terkejut kami mengelak untuk bersalam, dan membuatkan kami kekok untuk bersembang dan bergurau senda, tapi sekaran alhamdulillah keadaan sudah kembali ke sedia kala.

MENILAI DIRI DARI ZIARAH

Siang tadi saya, dan dua adik perempuan yang lain menziarahi teman-teman kami di sekitar Meru dan Klang. Alhamdulillah, kebetulan adik perempuan bawah saya sudah punyai lesen P, senang sahaja untuk kemana-mana bertiga. Jika tidak, sebelum ini saya lebih senang sekali menunggang motosikal.

Seronok, memang seronok saya kami berjalan siang tadi. Mungkin usia yang sudah semakin meningkat dewasa membuatkan perhatian dan tarikan saya bukan sekadar berziarah untuk bertemu teman, tapi membetulkan akhlak dan peribadi yang kurang.

Senang sekali saya melihat teman-teman adik saya melayan kami sebagai tetamu. Berkunjung ke rumahnya sambil menatap suasana indah dan tenang, ditambah lagi dengan layanan yang baik menyejukkan hati.

Ada diantara teman-teman adik saya yang ibu bapanya ustaz dan ustazah ( contoh orang soleh ), melihat cara mereka bergaul, gaya percakapan, kata-kata yang dilontarkan segalanya amat bermakna buat saya. Khususnya untuk bermuhasabah dan menilai kekurangan yang ada pada diri. Mungkin saya tertarik untuk memerhati, disebabkan kelemahan saya untuk bergaul dan bersembang dengan orang sekeliling ( pendiam barangkali ?).

Selain ziarah merapatkan hubungan dan menjalin kemesraan, mungkin tidak salah jika saya katakan melalui ziarah juga kita dapat berkongsi ilmu dan mencurah maklumat. Saya lihat abah yang menghadam bacaan dari surat khabar yang dibaca setiap hari tanpa sedar memanfaatkannya untuk menjuadi 'modal' sembang di aidilfitri.

Sewaktu saya berziarah ke rumah sepupu yang terletak begitu hampir dengan kediaman saya, kebetulannya ada sebuah keluarga lain yang turut berada di situ. Sempat saya berbual ringan dengan seorang makcik. Kebetulan dia juga punyai pengalaman ke luar negara seperti ke China, dan suaminya pernah belajar di Fakulti Kejuruteraan di Universiti Malaya, saya dan dia berbuak mengenai sudah payah hidup di perantauan.

Pengalaman yang semacam ini benar-benar menambah nilai ziarah sempena aidilfitri ini. Moga-moga tradisi ziarah ini tidak menjadi medan 'memakan daging saudara sendiri' tetapi menjadi wadah untuk pelbagai perkara yang membawa manfaat.

p/s: wa, semenjak bercuti di Malaysia, tanpa sedar diri terus-menerus leka.. ( futur?)

No comments:

Post a Comment