Pages

ujian cinta


Bismillahirrahmanirrahiim,

Mungkin sudah terlalu lambat untuk saya mengucapkan selamat hari raya aidiladha.
Namun, doa saya buat kalian.. " kullu a'am wa antum bi khoir " -moga di sepanjang tahun kamu dalam kebaikan-

Alhamdulillah, buat pertama kalinya pada tahun ini Allah beri kesempatan untuk turut serta bersolat sunat aidiladha di sini. Jika tahun sudah, waktu solat bertindih dengan jadual kelas.
Jawabnya, saya beraya sahajalah dalam kelas. :)

Raya di perantauan. Jauh sekali dengan menyambutnya di tanah air. Alhamdulillah saya belajar di kawasan yang punyai puluhan muslim, secara tidak langsung biah islam itu masih terasa.

Buka facebook, ramai juga yang meletakkan status ucap selamat hari raya.

Begitu juga YM.

Betul, suasana itu perlu dihisupkan sendiri. Memang kelakar bila mendengar cerita yang saya memainkan takbir di Youtube berkali-kali untuk menghidupkan takbir dalam bilik sekangkang kera ini. Risau juga kalau lupa sunnah ini.

Sunnah itu antara yang mampu saya lakukan untuk hari kebesaran ini.

*******

Pagi raya, 10 dzulhijjah 1431h.

Dalam kedinginan pagi musim luruh, saya bergegas-gegas menyiapkan diri. Emel dari wakil penduduk muslim disini megatakan takbir dan solat akan bermula pada jam 8.15 pagi. Usai membungkus sedikit juadah dan menyiapkan peralatan ke kelas, basikal tua berusia tiga tahun itu saya kayuh dengan pantas. Sedih jika tertinggal nanti.

******

Usai solat, Brother Babiker, saudara kami dari Sudan menyampaikan khutbah. Khutbah tanpa text dalam bahasa Inggeris yang membasahkan hati di pagi aidil adha.

Di kiri, dan kanan saya... ternyata saudara-saudara semuslim dari Indonesia khusyuk mendengar. Di hadapan, jemaah muslimiin duduk rapat dalam saf.
Antara saff muslimaat dan muslimiin, meja jadi penghadang. Tapi ternyata saff muslimiin lebih banyak berbanding kami.

Bro Babiker meyelitkan kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam khutbahnya.

Pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang menjadi teladan zaman berzaman.

**********

Mungkin sudah lazim bagi kita, dan saban kali kita mendengarnya pada musim hari raya aidiladha.

Korban bukan sekadar korban...tapi ia adalah ujian cinta.

Ya, cinta!

*****

Bayangkan, jika perkahwinan kita sudah mencapai lebih setengah abad, dan masih belum dikuriniakan cahaya mata. Namun, dengan takdir Allah, Allah mengurniakan cahaya mata selepas itu.

Begitulah kisahnya Nabi Ibrahim. Ayah mana yang tidak gembira mendapat cahaya mata setelah terlalu lama menunggu. Rasa cinta, dan akan menatang anak itu bagai minyak yang penuh.

Nabi Ibrahiim amat cinta, cinta yang amat pada Nabi Ismail a'laihumassalam.

Datang perintah Allah. Menyuruh Nabi Ibrahiim meninggalkan Siti Hajar dan Nabi Ismail yang ketika itu masih bayi sendirian di Makkah. Makkah ketika itu bak tanah gersang tak berpenghuni. Apatah lagi dengan panas gurun dan tiada sumber air sekalipun.

Allah menguji cinta Nabi Ibrahiim sekali lagi pada Nabi Ismail.
Allah mendatangkan mimpi pada baginda untuk menyembelih anaknya yang dikasihi, Nabi Ismail.

Nabi Ismail merelakan, dan Nabi Ibrahim, dalam sayangnya yang amat kepada anaknya, namun baginda patuh kepada perintah Allah.

Inilah ujian cinta.

Allah mendatangkan perkara-perkara yang akan membuatkan kita cinta padanya.
Tidak kiralah sama ada cinta itu kepada manusia, harta benda dan sebagainya. Sehinggakan, sampai suatu masa dek terlupa dan terleka, kita mencintai sesuatu itu melebihi cinta kita kepada Allah. Hingga membelakangkan Allah, Tuhan yang memberi kita cinta itu.

Jika dilihat pada kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail tadi, ternyata cinta baginda kepada anaknya, Ismail.. tidak bisa menandingi cintanya kepada Allah.

Allah Maha Pengasih, digantikan Ismail dengan kibas. Dan dari situ, bermulalah ibadah korban yang diperintahkan kepada kita.

Bila Allah memerintahkan korban di jalankan, cinta kita kepada harta benda akan teruji.

********

Tadhiyyah.

Bererti pengorbanan.

Subhanallah, yang memberikan kekuatan kepada adik-adik saya dalam meniti jalan tarbiyyah.
Tadhiyyah wang, sememangnya sunnatullah yang akan berlaku buat mereka yang melalui jalan ini. Jika dahulu, wang akan digunakan pada kesukaan-kesukaan dunia yang entah apa-apa.

Teringat kata-kata adik saya kelmarin,
" kak, duit kat wallet tinggal 20 yen je kak ".. adik itu berkata pada saya dengan nada yang amat biasa. Menunjukkan dia tidak risau, jauh sekali sedih hati.

Adik itu jauh, sangat jauh dari Tokyo. Letaknya jauh di selatan Jepun. Namun tadhiyyahnya, amat saya cemburui. Program-program yang sebelum ini banyaknya di buat di Kantou, tanpa rasa berat hati adik ini sangat semangat mahu ikut serta.

Tiket kapal terbang yang bukan murah.

Masa perjalanan yang panjang, harus dibahagikan dengan jadual belajar.

dan macam-macam lagi, ujian sekeliling yang datang.

adik, Allah memilihmu menikmati tarbiyyah ini. Moga tadhiyyahmu tetap utuh, kerna itu yang akan menguatkanmu...

Allah, sampaikan salamku buatnya. Moga tadhiyyahnya ku teladani, dan ku contohi.


Aidiladha, 1431h.

susun



Bismillahirrahmanirrahiim,

Alhamdulillah, tadi saya bersama keluarga besar Yamaguchi saya berkoyoumi (tengok daun merah2 musim luruh) di Iwakuni.


Dalam banyak-banyak aktiviti yang kami lakukan, saya secara tidak sengaja "terjoin" teman saya yang seorang ini bermain susun batu. Iyalah kan, sudah selesai mengisi perut sambil menikmati pemandangan air sungai yang mengalir.. datang pula idea hendak main susun-susun batu ni.

Semasa menyusun batu ini, " common sense " yang akan difikirkan oleh penyusun batu ini adalah bagaimana memilih bat yang paling sesuai untuk memastikan binaan yang bakal di bina itu tinggi dan yang paling penting, tidak jatuh.

Batu paling bawah,itulah yang paling asas. Jika salah memilih yang bawah.. jangan diharap akan terbina binaan yang tegak menjulang.

Dan yang paling saya takuti, ketika giliran saya meletakkan batu yang seterusnya.. binaan itu akan jatuh.

Ya, jatuh disebabkan tangan saya.

***

Begitulah, kita selalunya mengidamkan menuju ke Ustaziyatul A'lam. Kepingin agar islam itu kembali tertegak sebagaimana yang kita belek-belek dari kata-kata syuyukh, mahupun dari bacaan buku-buku sendiri.

Walaupun ketika mana UA itu terbina, dan kita tidak melihatnya.. tetapi kita selalu berharap moga kudrat kita yang sekerdil inilah yang menjadi tangan-tangan yang membina UA itu.

Hendak membina bangunan setinggi langit, asasnya lebih dalam dari tinggi bangunan itu.
Alah, macam iceberg!

Kita masih di fasa asas. Membina diri kita sendiri.
Ayuh, kuatkanlah,berpimpinlah menaiki tangga.


Jangan berangan-angan sahaja.