Pages

hujan


Bismillahirrahmanirrahiim ..

Hari ini mungkin sudah masuk minggu ke berapa barangkali hujan lebat turun membasahi bumi Yamaguchi. Semalam, sewaktu saya menonton TV, terpapar amaran tentang hujan lebat dan tanah runtuh di Yamaguchi dan Fukuoka. Terus ingatan saya teralih pada Athiqah yang sedang dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Fukuoka. Saya mendail nombornya ..namun tidak diangkat. Mudah-mudahan selamat semuanya.

Hari ini seharian saya di sekolah. Kuliyah hari ini hanya pada waktu pertama, bermakna tamat pada jam 10.10 pagi. Hari ini saya berlalu dari kelas mungkin dengan 'kosong'. Kerja sekolah minggu lepas pun tidak saya hantar. Maaf, saya tidak faham. Sedangkan sejak awal kelas tadi lenguh juga tangan mencatit entah berapa banyak huruf dan nombor. Salin dan tidak sempat fikir. Jika fikir pun, tidak faham. Alahai...

Habis kuliyah, kerja rumah saya ada beberapa yang perlu di hantar. Hari rabu, hari khamis, dan jangan lupa hutang kerja sekolah tadi. Saya berniat untuk bertapa di perpustakaan sehari suntuk hari ini. Moga-moga Allah mudahkan.

Basikal saya yang sudah kemek dan berkarat meskipun usianya baru 2 tahun, saya kayuh perlahan-lahan menuju ke perpustakaan. Di hadapan saya , teman sekuliyahan saya berjalan berdua.

Selepas satu jam, mungkin dua, mungkin juga tiga jam saya bertapa di sana, hujan sudah mula lebat di luar. Sambil meregangkan leher, dan bersila diatas kerusi ..saya menjenguk ke luar.

'Ah. beruntungnya berdoa pada saat ini. Penuh rahmat tika hujan turun mencurah-curah. Bulan rejab pula '

Hujan menjadikan hati saya sedikit sejuk. Dan secara tidak langsung kenangan-kenangan bermain-main dalam kepala. Maklumlah, dengan ear-phone setia di telinga. Menambah lagi perasaan pada ketika itu.

'Seronoknya kalau waktu dulu saat hujan turun. Pasti saya akan basah lenjun bila pulang dari sekolah. Menelefon emak, dan menunggu sehingga emak datang dengan motorsikal. Dan pasti, baju hujan lusuh berwarna kuning akan ku pakai.

Mana mungkin saya lupa pada teman sekolah saya, Aina. Mungkin ketika itu kami di tingkatan 3. Dia dengan beraninya mahu mencuba eksperimen membuktikan kasut tidak basah dengan membalut kakinya beserta kasut dengan karung plastik. Aina memang berani! Dia bagai tidak rasa apa-apa walaupun mata-mata lain memandangnya dalam bas yang penuh sesak dengan penumpang. '

" Balik terus mandi . Basuh kepala sekali ", selalu mak dan abah berpesan sebegini. Tahu sahaja yang anaknya ini sangat tidak alah pada hujan , bahkan gerimis sekalipun.

' Ah, hujan-hujan begini saya teringat pada jaulah kami ke UK. Saat pertama kali sampai di bumi London. Jam 5 petang kami sampai Isra' menaiki bas double-decker berwarna merah. Hujan renyai-renyai pada saat itu, dan sungguh penerbangan selama 12 jam memang meletihkan! Ditambah lagi dengan jet-lag.

Kesian teman lain yang kelihatan sungguh penat dengan beg roda yang sarat. Malamnya perlu bertolak ke Gatwick, menanti penerbangan seawal jam 6.30 pagi ke Istanbul, Turkey! '

oh, hujan.

oh, kenangan.

4 comments: