Pages

Mendung


Aku masih setia melukut di jendela,
Menunggu bila kelabu mendung bertukar cerah,
Kerna aku sedang gundah,
Jika masih tidak ketemu cahaya.

p/s: bila cuaca mempengaruhi perasaan, beginilah jadinya

ayuh kembali ke sekolah - versi kasut new era


Sengaja cucu meletakkan tajuk diatas. Terngiang-ngiang lagu iklan kasut new era yang sangat terkenal ketika cucu dibangku sekolah. Untuk kembali ke sekolah, mungkin bagi cucu , pada suatu masa yang sangat mentah dahulu, kasut dan pelbagai alat keperluan lain sangat penting. Tetapi sekarang, mungkin dek kerana kematangan, dan kedewasaan, persediaan minda amatlah dititik beratkan.

Alhamdulillah, setelah diberi kesempatan menikmati cuti soifi ( musim panas ) sepurnama lamanya, cucu kembali ke semula ke Jepun. Cuma bezanya penerbangan kembali cucu ke Jepun kali ini, dek kerana kehabisan tiket ketika cucu menempahnya 4 bulan yang lepas, terpaksalah cucu yang duduk jauh dari Tokyo ini memilih penerbangan MAS Airline dari KLIA ke Narita.

26 September 2009, tarikh pulang cucu ke Jepun. Sengaja cucu memilih tarikh yang begitu hampir dengan hari buka sekolah. Alang-alang bercuti, biarlah hingga ke hujung bukan?

Erm, rasanya untuk penerbangan pulang ke Jepun kali ini, merupakan pengalaman yang sangat-sangat menarik dan bernilai.

Ketika cucu check-in di kaunter penerbangan KLIA, hampir-hampir cucu tunda penerbangan ke Narita dari 11.00 pagi ke 11.30 malam. Menurut kakak pramugari yang menjaga kaunter, penerbangan ketika itu sudah penuh. Jika cucu memilih penerbangan malam, cucu bakal mendapat bisness class, wang tunai RM 400 dan menginap di Hotel Pan Pacific. Cucu tidak mengambil masa yang lama untuk menerima tawaran tersebut. Macam durian runtuh pula rasanya. Lagipun cucu tidak punya kekangan apa-apa. Kebetulan penerbangan dari Haneda ke Ube, adalah pukul 12.30 tengah hari keesokan harinya. Cuma, abah cucu rasa sedikit tidak puas hati, lantas mempersoalkan kenapa tiket cucu yang harus ditunda sedang cucu sudah menempah sejak awal lagi. Hendak dipendekkan cerita, durian yang dijangkakan runtuh itu kekal pada tempatnya walaupun ditiup angin yang kencang. Setelah mendapat maklumat terbaru dari pengurus penerbangan, kakak pramugari memberitahu bahawa cucu boleh terbang mengikut jadual yang asal. Senyum memanjang sahajalah cucu waktu itu. Yang seronoknya, bagasi cucu yang melebihi had yang dibenarkan, dibenarkan melepasi kargo tanpa sebarang bayaran. Alhamdulillah, cempedak runtuh la tu kan?

Akhirnya cucu pun terbanglah kembali ke Narita, menerusi penerbangan yang dijadualkan pada jjam 11.00 pagi

Pada awalnya penerbangan, keadaan seperti biasa. Cuma cuaca yang kurang baik pada hari itu menghalang penglihatan dari menikmati pemandangan yang cantik di luar tingkap. Namun, ketika cucu sedang enak menikmati pencuci mulut kek keju, tiba-tiba pesawat yang cucu naiki bergegar sedikit, dan menjadi tidak seimbang. Turun dan naik. Cucu yang dari tadi tersangat asyik menikmati pencuci mulut itu terus sahaja menjadi mual. Mulalah peluh merenik di dahi, tangan kiri cucu terus merapati tepi tingkap. MasyaAllah, Allah sahaja yang tahu cuaknya hati cucu ketika itu. Tanpa diundang, cucu terbayang sekiranya pesawat tidak dapat di kawal dan menjunam. Mengucaplah cucu dua kalimah syahadah.

Alhamdulillah, setelah beberapa kali pesawat bergegar tidak tentu hala, akhirnya keadaan sudah kembali ke sedia kala. Cuma dari saat itu, cucu rasa kurang selesa. Pantang ada sedikit gerakan yang lain, mulalah tangan berpeluh-peluh dan degup jantung menjadi sangat pantas. Alahai, janganlah alah pada kapal terbang pula selepas ini.

KITA, PAGI DAN MALAM

Masa penerbangan sepanjang 6 jam, kebanyakannya cucu habiskan dengan lena. Terik matahari yang memancar di luar, semua penumpang seakan sepakat menutup tingkap. Sehinggakan lampu malap dipasang dalam pesawat. Lebih kurang jam 6.00 petang, cucu buka semula tingkap untuk menikmati pemandangan di luar. MasyaAllah, pemandangan yang terik tadi kini sudah beransur gelap. Sangat-sangat indah bila melihat mentari terbenam, meninggalkan tompok jingga di kaki langit. Suasana yang cucu rasakan sama seperti mentari hari mahu terbit di pagi hari. Cuma bezanya perasaan kita yang melihat.

Ada manusia yang sukakan mentari terbit, kerana hari yang dinanti bakal bermula. Dan sedih bila mentari terbenam kerana harinya berakhir. Begitu juga sebaliknya. Siang dan malam yang Allah ciptakan, yang ibarat putaran alam yang belum berkesudahan, sangat dekat dengan manusia. Kehidupan manusia sebetulnya.

Dari tiada di bumi, manusia lahir dan mendiami bumi, kemudian, sampai masa, tiada lagi di bumi. Jika mentari mampu berjasa kepada makhluk sepanjang hari, jika dibandingkan dengan manusia, apa yang sudah kita lakukan sepanjang musafir kita di bumi Allah?

Subhanallah...

TIBA

Setelah meredah penerbangan selama 6 jam diudara, alhamdulillah tiba juga cucu ke Narita pada jam 7.00 malam. Perubahan musim dari musim panas ke musim luruh, membuatkan malam menjengah lebih awal. Keadaan di luar sudah gelap. Sebaik sahaja mengambil bagasi, terus cucu poskan ke kediaman cucu di Ube. InsyaAllah dijadualkan tiba 2 hari selepasnya. Selepas itu, cucu terus bergegas mendapatkan tiket keretapi ke Saitama untuk menumpang bermalam di rumah teman cucu di sana.

Dan insyaAllah cucu bakal terbang lagi ke Ube dari Lapangan Terbang Haneda keesokan harinya.

p/s: boleh la turun lagi ke Narita lepas ni. Itupun kalau ada tiket kapal terbang murah dari Haneda ke Ube sebanyak 12000yen.


tauladan hari raya


pejam celik, pejam celik hampir genap sebulan saya bercuti sempena ramadhan dan aidilfitri di Malaysia. Berat hati untuk saya tinggalkan semula keluarga, dan kampung halaman. Tapi apakan daya...

Cerita tentang raya, sudah pasti menjadi adat untuk berkunjung ke rumah saudara dan teman handai. Saya pun tidak turut ketinggalan.Apatah lagi ini kali pertama saya bercuti raya di Malaysia sejak berhijrah ke Jepun, sudah semestinya saya amat teruja untuk bertemu dengan sanak saudara dan teman-teman lama saya.

FOBIA UNTUK BERSALAM

Saya gembira dan teruja untuk bertemu sanak saudara. Tetapi, dalam keriangan saya meraikan hari raya dengan mereka, saya selalu dihantui kebimbangan. Bimbang untuk bersalam dengan sepupu dan saudara lelaki saya. Mungkin sudah jadi adat atau kebiasaan masyarakat kita untuk 'hentam keromo' menyalami sanak saudara lelaki dan wanita. Bagaimana ya agaknya untuk saya dengan hikmah dan bijak menangani masalah sekecil ini?

" Fiza, pergilah salam dengan wak. Kang nanti apa yang dia rasa.."

Bersungguh-sungguh emak memujuk untuk menyalami suami kepada makcik sebelah abah. Biasanya, jika ingin pulang kami adik beradik perempuan lekas-lekas mahu keluar. Kalau boleh mahu mengelak. Wak, makcik..kami bukan sombong ya?

Alhamdulillah, sepupu-sepupu saya yang kebanyakannyasudah sebaya abah dan emak sudah amat faham dengan perangai kami adik beradik. Kalau dulu, mungkin mereka masih terkejut kami mengelak untuk bersalam, dan membuatkan kami kekok untuk bersembang dan bergurau senda, tapi sekaran alhamdulillah keadaan sudah kembali ke sedia kala.

MENILAI DIRI DARI ZIARAH

Siang tadi saya, dan dua adik perempuan yang lain menziarahi teman-teman kami di sekitar Meru dan Klang. Alhamdulillah, kebetulan adik perempuan bawah saya sudah punyai lesen P, senang sahaja untuk kemana-mana bertiga. Jika tidak, sebelum ini saya lebih senang sekali menunggang motosikal.

Seronok, memang seronok saya kami berjalan siang tadi. Mungkin usia yang sudah semakin meningkat dewasa membuatkan perhatian dan tarikan saya bukan sekadar berziarah untuk bertemu teman, tapi membetulkan akhlak dan peribadi yang kurang.

Senang sekali saya melihat teman-teman adik saya melayan kami sebagai tetamu. Berkunjung ke rumahnya sambil menatap suasana indah dan tenang, ditambah lagi dengan layanan yang baik menyejukkan hati.

Ada diantara teman-teman adik saya yang ibu bapanya ustaz dan ustazah ( contoh orang soleh ), melihat cara mereka bergaul, gaya percakapan, kata-kata yang dilontarkan segalanya amat bermakna buat saya. Khususnya untuk bermuhasabah dan menilai kekurangan yang ada pada diri. Mungkin saya tertarik untuk memerhati, disebabkan kelemahan saya untuk bergaul dan bersembang dengan orang sekeliling ( pendiam barangkali ?).

Selain ziarah merapatkan hubungan dan menjalin kemesraan, mungkin tidak salah jika saya katakan melalui ziarah juga kita dapat berkongsi ilmu dan mencurah maklumat. Saya lihat abah yang menghadam bacaan dari surat khabar yang dibaca setiap hari tanpa sedar memanfaatkannya untuk menjuadi 'modal' sembang di aidilfitri.

Sewaktu saya berziarah ke rumah sepupu yang terletak begitu hampir dengan kediaman saya, kebetulannya ada sebuah keluarga lain yang turut berada di situ. Sempat saya berbual ringan dengan seorang makcik. Kebetulan dia juga punyai pengalaman ke luar negara seperti ke China, dan suaminya pernah belajar di Fakulti Kejuruteraan di Universiti Malaya, saya dan dia berbuak mengenai sudah payah hidup di perantauan.

Pengalaman yang semacam ini benar-benar menambah nilai ziarah sempena aidilfitri ini. Moga-moga tradisi ziarah ini tidak menjadi medan 'memakan daging saudara sendiri' tetapi menjadi wadah untuk pelbagai perkara yang membawa manfaat.

p/s: wa, semenjak bercuti di Malaysia, tanpa sedar diri terus-menerus leka.. ( futur?)

saya tidak setanding kalian

Alhamdulillah, semalam saya berpeluang bertemu teman-teman satu kelas semasa saya mengambil kelas tingkatan 6 STAM dua tahun yang lalu. Walaupun saya cuma berpeluang berada bersama-sama mereka sekitar dua bulan ( menunggu keputusan SPM ), jemputan untuk ke alumni 2006 yang datang kepada saya melalui emel dari seorang teman, banar-benar membuatkan saya terharu. Terasa diri tidak dilupakan. Jemputan itu membuatkan saya ternanti-nanti pertemuan bersama mereka.
Walaupun yang hadir tidak seramai yang dijagkakan, barangkali masing-masing sibuk dengan pengajian masing-masing, peluang bertemu teman-teman saya yang kesemuanya kini belajar dalam kursus yang berbeza dengan saya, membuatkan saya benar-benar terpana.
Masakan tidak, tika kami yang telah lama tidak berjumpa, bila bertemu semalam, masing-masing berubah gaya dan cara. Teman-teman saya lepasan STAM 2006 kebanyakannya kini melanjutkan pengajian di Al-Azhar Mesir, USIM, Jordan, KUIS, dan serata bumi-bumi arab yang lain. Jika saya terlalu tersasul mengeluarkan perkataan-perkataan bahasa Jepun dalam percakapan saya, tidak kurang juga dengan teman-teman saya ini. Perkataan-perkataan arab yang keluar membuatkan saya benar-benar rindu dengan bahasa arab yang saya tinggalkan. Bahkan sebetulnya saya sanga-sangat cemburu. Bukannya apa, beruntungnya teman-teman saya itu. Bisa memahami bahasa al-Quran. Sedangkan saya masih merangkak-rangkak cuba memahami al-Quran melaui terjemahan di sebelah ayat.
Dalam pertemuan kami semalam, masing-masing diminta mengongsikan pengalaman di tempat pengajian masing-masing. Semasa slide dipertontonkan, saya cuma mampu mendiamkan diri dan mengangguk bisu. Sedangkan teman-teman yang lain sungguh ceria
" Ni la tempat rumah banin, sebelah tu rumah banaat..
kat sini takde lif. Biasanya masing-masing semangat nak belajar bila membayangkan dapat memijak tangga yang sama digunakan oleh sheikh-sheikh..
kelas aku ni, kalau bukak pintu depan, boleh terus nampak bukit uhud "
MasyaAllah, saya benar-benar cemburu dengan teman saya yang seorang ini. Alhamdulillah, rezeki dia dapat peluang belajar di Universiti Islam Madinah. Rasa teruja yang amat bila mendengar dia bersolat di Masjid Nabawi hampir setiap hari. Saya sahaja sangat-sangat menginginkan kunjungan ke sana.
Bila tiba ke giliran saya, saya tahu teman-teman saya yang lain itu amat menunggu-nunggu cerita tentang Jepun. Saya tidak terasa jika teman-teman saya itu hanya tahu Jepun sebagai sebuah negara yang maju dari segi teknplogi dan hiburan. Amat berbeda sekali Jepun dengan Mesir, mahupun dengan kota suci Madinah itu.
Saya cuma terangkan serba sedikit suasana di Jepun, hidup saya di Jepun bagaimana,dan apa gaya hidup dan pegangan masyarakatnya. Berkali-kali saya ditanya apa yang menjadi pegangan masyarakat jepun yang bersungguh-sungguh berkerja dan menjaga tatatertib walaupun mereka tidak punya pegangan agama, apatah lagi tiada kepercayaan terhadap tuhan. Saya cuma menjawab mereka punya kepercayaan diri yang tinggi. Tiada perkataan mustahil dalam kamus hidup mereka dalam mencuba.
Dalam banyak-banyak perkara yang saya cemburui pada mereka, dalam hati saya rasa syukur ditempatkan di Jepun. Masakan tidak, menurut cerita teman-teman saya dari Mesir dan Madinah, mereka amat sukar untuk meneruskan kelangsungan tarbiyah di sana. Pantang sahaja mendengar perkataan 'usrah' ataupun pertemuan yang nampak macam ingin membuat 'usrah', akibatnya bakal menempah nahas di Mesir. Jika sesiapa yang membaca sejarah, pastinya mengenal kekejaman pemerintahan Jamal Naser di Mesir yang sangat-sangat anti dengan Ikhwanul Muslimin.
Walau apapun, saya percaya Allah mengatur hidup saya dan teman-teman saya dengan perancangan yang sangat cantik. Moga-moga, walaupun saya mengaji dalam jurusan kejuruteraan, saya dapat menghayati alQuran dan merasai cantiknya islam.

hidup dicatur peniaga

" Tudung Ikin..

...baju mawi,

selendang siti nurhaliza..."

Alahai, macam-macam lagi fesyen pakaian yang ada di pasaran sekarang. Bagi mereka yang tidak sabar untuk menyambut hari raya, fesyen-fesyen terkini sekarang bagai sumbu untuk menyala semangat mereka bergaya di hari raya.

2 minggu lalu, saya mengambil kesempatan untuk singgah ke Jalan Tunku Abdul Rahman. Alang-alang ingin membeli beberapa nashkah buku di Jalan Masjid India, saya guna peluang yang ada untuk menyusur jalan-jalan di situ dan singgah ke kedai-kedai pakaian yang ada. Niat di hati untuk membeli beberapa helai tudung. Maklum sahajalah, di Jepun mustahil untuk menjumpai tudung-tudung seperti di Malaysia.

Hampir sejam saya ronda-ronda mencari kain tudung yang saya mahukan. Namun tidak saya jumpai. Yang ada semuanya sama fesyen. 'Tudung Ikin' dari fabrik jersi, siap butang tersemat di belakang, dan sedikit keras di bahagian hadapan. Saya hampir-hampir terkejut bila saya lihat begitu ramai wanita yang lalu lalang di sekeliling saya ketika itu, mengenakan tudung yang sama fesyennya.

Teringat kata-kata saya pada emak tempoh hari, ketika awal-awal saya menjejakkan kaki ke Malaysia

" Mak, kalau semua perempuan kat Malaysia dok pakai tudung jenis ni, susah kita nak beza mana orang Malaysia, yang mana orang Indonesia nanti "

Saya tidak berapa protes pada fesyennya, tetapi saya amat kecewa kerana fesyen tudung tersebut menyalahi peraturan berhijab dalam agama. Terlalu pendek dan kadang-kadang, fabriknya dari kain yang mudah 'melekat' pada tubuh, membuatkan mata yang memandang kurang senang.

Itu baru soal tudung. Saya masih ingat lagi saat 'tudung bawal' hangat di pasaran suatu ketika dahulu. Mahalnya bukan main. Siap ada gred tertentu lagi. Yang hairannya, semakin mahal atau semaki tinggi gred tudung bawal itu, semakin tipis kainnya. Waktu itu seingat saya, orang berebut-rebut mahu memilikinya. Rasa lega jika punyai sekurang-kurangnya sehelai tudung bawal yang bergred tinggi itu. Alahai~

Saya percaya, di antara kita mampu duduk sebentar dan berbincang, kita akan lebih sedar bahawa gaya hidup kita, atau sebetulnya hidup kita ini seakan-akan di catur oleh peniaga. Contoh yang saya bawakan di atas hanyalah contoh picisan, contoh yang terlalu kecil berbanding banyak lagi contoh-contoh yang ada dalam hidup kita sekarang. Yang kita kejar, yang kita lumba-lumbakan.

Lebih malang jika semua ini di dalangi oleh mereka-merekan yang punya agenda untuk meruntuhkan benteng umat islam. Saya amat tersentuh hati bila wanita-wanita muslimah, saudara seagama saya menjadi sasaran utama diperalat untuk kepentingan mereka ini.

Wasilah atau jalannya mudah.

Rancangkan suatu fesyen yang berunsur 'islami', namakan fesyen itu berdasarkan nama selebriti yang 'sudah kembali ke pangkal jalan' (bertudung), lambakkan di pasaran-pasaran sehingga fesyen-fesyen lama dan fesyen yang menepati syarat itu tiada.

Mudah bukan? Kita seakan-akan tidak punya pilihan untuk memilih mengikut kehendak dan keinginan kerana kita dihidangkan oleh pilihan yang sedia ada di hadapan mata. Hati yang mula-mula dahulu keberatan, akan tewas akhirnya.
Saya bawakan contoh lain.
Sedar ataupun tidak, di kaca televisyen sekarang, terdapat banyak rancangan drama khususnya dari indonesia yang berbaur 'islami'. Malangnya, jalan cerita yang ditunjukkan sungguh berbeza dengan tema 'islami' yang terpapar pada tajuk cerita. Dan tidak mampu saya nafikan, penjenamaan semula rancangan-rancangan televisyen menggunakan perkataan 'islami' ini sekadar mahu mengaut keuntungan semata-mata.
Terlalu banyak contoh lain yang sehinggakan kita tidak sedar kita sebenarnya tenggelam dalam dunia yang menggunakan perkataan 'islam' untuk mengaut keuntungan. Contoh lain seperti penggunaan 'sistem kewangan islam' yang 'diamalkan' bank-bank konvensional seperti Maybank, Bumiputera dan sebagainya.
Alahai, sudah terang lagikan mahu bersuluh. Islam sudah semestinya bawa keuntungan kepada umatnya. Tetapi bukan untuk diamalkan sebahagian-sebahagian sahaja. Mana-mana perintah Allah yang tidak seakan selesa pada diri sendiri, atau seakan menekan privasi peribadi, automatiknya langsung ditolak tepi.
Sampai bila ya kita mahu begini?

resensi : VT



Alhamdulillah, dalam tempoh saya menghabiskan cuti di tanah tumpah darah sepanjang ramadhan ini, saya berkesempatan menghabiskan sebuah novel bertajuk VT.

Apa itu VT?

Jika pembaca gemar mengklik senarai laman web yang saya lampirkan diruang kanan lama ini, pambaca pasti pernah mendengar nama laman Langit Ilahi bukan? Ha, Hilal Asyraf pemilik laman blog Langit Ilahi jugalah yang menulis novel mantap VT ini.

Secara dasarnya, novel ini berkisar pejuangan sekumpulan pelajar menempuh pelbagai cabaran dan onak diri untuk menerajui sukan bola tampar sebagai medium memartabatkan islam dalam sukan.

Saya amat tertarik dengan cara penulisan saudara Hilal Ashraf yang begitu santai, gaya penulisan dalam novel VT yang sarat dengan istilah2 berkenaan bola tampar ini seakan-akan menarik saya untuk turut sama beraksi bermain bola tampar sewaktu saya membaca novel ini.

Adegan saspens, watak-watak yang mencuit hati, ditammbah lagi dengan rasa kagum saya pada watak Coach Hussam yang begitu bijak menyusun strategi membuatkan saya terus menerus mengikuti setiap halaman dengan penuh asyik.

Yang paling penting, mesej yang ingin disampaikan jelas, bahawa islam itu tetap tertinggi walau dalam bidang sukan.

Jika berkesempatan, ambil masa, nikmati novel ini dan rasakan anda sebagai pemain bola tampar yang punya rasa izzah sebagai muslim dalam diri. Malah tidak keterlaluan jika saya menyarankan bahawa novel ini berkategori MESTI baca selepas "Justeru Impian di Jaring " karya Zaid Akhtar, malah secara peribadinya VT ini saya rasakan sengatannya lebih berbisa.

Wassalam

tamat hibernasi


Assalamualaikum,

buat diri saya sebagai pembaca primer dan mungkin anda diluar sana sebagai pembaca sekunder. Hampir sebulan saya mendiamkan diri, berhibernasi, mencantas dahan dan semak samun yang tidak sepatutnya saya letakkan di ruang ini. Selama itulah akal saya bagai terhenti sejak saya menutup laman ini. Tapi alhamdulillah, dalam tempoh hibernasi yang sekejap ini juga ada tenang yang saya kutip sepanjang persinggahan saya yang sekejap.

Alhamdulillah.

Maafkan saya buat kali kedua kerana melanggar 'janji' saya tempoh hari. Kalau masih ada yang sudi untuk membaca, terima kasih daun keladi :).

Sekian untuk 'salam pengenalan' kembali dari saya.

Wassalam