Pages

ayuh kembali ke sekolah - versi kasut new era


Sengaja cucu meletakkan tajuk diatas. Terngiang-ngiang lagu iklan kasut new era yang sangat terkenal ketika cucu dibangku sekolah. Untuk kembali ke sekolah, mungkin bagi cucu , pada suatu masa yang sangat mentah dahulu, kasut dan pelbagai alat keperluan lain sangat penting. Tetapi sekarang, mungkin dek kerana kematangan, dan kedewasaan, persediaan minda amatlah dititik beratkan.

Alhamdulillah, setelah diberi kesempatan menikmati cuti soifi ( musim panas ) sepurnama lamanya, cucu kembali ke semula ke Jepun. Cuma bezanya penerbangan kembali cucu ke Jepun kali ini, dek kerana kehabisan tiket ketika cucu menempahnya 4 bulan yang lepas, terpaksalah cucu yang duduk jauh dari Tokyo ini memilih penerbangan MAS Airline dari KLIA ke Narita.

26 September 2009, tarikh pulang cucu ke Jepun. Sengaja cucu memilih tarikh yang begitu hampir dengan hari buka sekolah. Alang-alang bercuti, biarlah hingga ke hujung bukan?

Erm, rasanya untuk penerbangan pulang ke Jepun kali ini, merupakan pengalaman yang sangat-sangat menarik dan bernilai.

Ketika cucu check-in di kaunter penerbangan KLIA, hampir-hampir cucu tunda penerbangan ke Narita dari 11.00 pagi ke 11.30 malam. Menurut kakak pramugari yang menjaga kaunter, penerbangan ketika itu sudah penuh. Jika cucu memilih penerbangan malam, cucu bakal mendapat bisness class, wang tunai RM 400 dan menginap di Hotel Pan Pacific. Cucu tidak mengambil masa yang lama untuk menerima tawaran tersebut. Macam durian runtuh pula rasanya. Lagipun cucu tidak punya kekangan apa-apa. Kebetulan penerbangan dari Haneda ke Ube, adalah pukul 12.30 tengah hari keesokan harinya. Cuma, abah cucu rasa sedikit tidak puas hati, lantas mempersoalkan kenapa tiket cucu yang harus ditunda sedang cucu sudah menempah sejak awal lagi. Hendak dipendekkan cerita, durian yang dijangkakan runtuh itu kekal pada tempatnya walaupun ditiup angin yang kencang. Setelah mendapat maklumat terbaru dari pengurus penerbangan, kakak pramugari memberitahu bahawa cucu boleh terbang mengikut jadual yang asal. Senyum memanjang sahajalah cucu waktu itu. Yang seronoknya, bagasi cucu yang melebihi had yang dibenarkan, dibenarkan melepasi kargo tanpa sebarang bayaran. Alhamdulillah, cempedak runtuh la tu kan?

Akhirnya cucu pun terbanglah kembali ke Narita, menerusi penerbangan yang dijadualkan pada jjam 11.00 pagi

Pada awalnya penerbangan, keadaan seperti biasa. Cuma cuaca yang kurang baik pada hari itu menghalang penglihatan dari menikmati pemandangan yang cantik di luar tingkap. Namun, ketika cucu sedang enak menikmati pencuci mulut kek keju, tiba-tiba pesawat yang cucu naiki bergegar sedikit, dan menjadi tidak seimbang. Turun dan naik. Cucu yang dari tadi tersangat asyik menikmati pencuci mulut itu terus sahaja menjadi mual. Mulalah peluh merenik di dahi, tangan kiri cucu terus merapati tepi tingkap. MasyaAllah, Allah sahaja yang tahu cuaknya hati cucu ketika itu. Tanpa diundang, cucu terbayang sekiranya pesawat tidak dapat di kawal dan menjunam. Mengucaplah cucu dua kalimah syahadah.

Alhamdulillah, setelah beberapa kali pesawat bergegar tidak tentu hala, akhirnya keadaan sudah kembali ke sedia kala. Cuma dari saat itu, cucu rasa kurang selesa. Pantang ada sedikit gerakan yang lain, mulalah tangan berpeluh-peluh dan degup jantung menjadi sangat pantas. Alahai, janganlah alah pada kapal terbang pula selepas ini.

KITA, PAGI DAN MALAM

Masa penerbangan sepanjang 6 jam, kebanyakannya cucu habiskan dengan lena. Terik matahari yang memancar di luar, semua penumpang seakan sepakat menutup tingkap. Sehinggakan lampu malap dipasang dalam pesawat. Lebih kurang jam 6.00 petang, cucu buka semula tingkap untuk menikmati pemandangan di luar. MasyaAllah, pemandangan yang terik tadi kini sudah beransur gelap. Sangat-sangat indah bila melihat mentari terbenam, meninggalkan tompok jingga di kaki langit. Suasana yang cucu rasakan sama seperti mentari hari mahu terbit di pagi hari. Cuma bezanya perasaan kita yang melihat.

Ada manusia yang sukakan mentari terbit, kerana hari yang dinanti bakal bermula. Dan sedih bila mentari terbenam kerana harinya berakhir. Begitu juga sebaliknya. Siang dan malam yang Allah ciptakan, yang ibarat putaran alam yang belum berkesudahan, sangat dekat dengan manusia. Kehidupan manusia sebetulnya.

Dari tiada di bumi, manusia lahir dan mendiami bumi, kemudian, sampai masa, tiada lagi di bumi. Jika mentari mampu berjasa kepada makhluk sepanjang hari, jika dibandingkan dengan manusia, apa yang sudah kita lakukan sepanjang musafir kita di bumi Allah?

Subhanallah...

TIBA

Setelah meredah penerbangan selama 6 jam diudara, alhamdulillah tiba juga cucu ke Narita pada jam 7.00 malam. Perubahan musim dari musim panas ke musim luruh, membuatkan malam menjengah lebih awal. Keadaan di luar sudah gelap. Sebaik sahaja mengambil bagasi, terus cucu poskan ke kediaman cucu di Ube. InsyaAllah dijadualkan tiba 2 hari selepasnya. Selepas itu, cucu terus bergegas mendapatkan tiket keretapi ke Saitama untuk menumpang bermalam di rumah teman cucu di sana.

Dan insyaAllah cucu bakal terbang lagi ke Ube dari Lapangan Terbang Haneda keesokan harinya.

p/s: boleh la turun lagi ke Narita lepas ni. Itupun kalau ada tiket kapal terbang murah dari Haneda ke Ube sebanyak 12000yen.


No comments:

Post a Comment