Pages

hidup dicatur peniaga

" Tudung Ikin..

...baju mawi,

selendang siti nurhaliza..."

Alahai, macam-macam lagi fesyen pakaian yang ada di pasaran sekarang. Bagi mereka yang tidak sabar untuk menyambut hari raya, fesyen-fesyen terkini sekarang bagai sumbu untuk menyala semangat mereka bergaya di hari raya.

2 minggu lalu, saya mengambil kesempatan untuk singgah ke Jalan Tunku Abdul Rahman. Alang-alang ingin membeli beberapa nashkah buku di Jalan Masjid India, saya guna peluang yang ada untuk menyusur jalan-jalan di situ dan singgah ke kedai-kedai pakaian yang ada. Niat di hati untuk membeli beberapa helai tudung. Maklum sahajalah, di Jepun mustahil untuk menjumpai tudung-tudung seperti di Malaysia.

Hampir sejam saya ronda-ronda mencari kain tudung yang saya mahukan. Namun tidak saya jumpai. Yang ada semuanya sama fesyen. 'Tudung Ikin' dari fabrik jersi, siap butang tersemat di belakang, dan sedikit keras di bahagian hadapan. Saya hampir-hampir terkejut bila saya lihat begitu ramai wanita yang lalu lalang di sekeliling saya ketika itu, mengenakan tudung yang sama fesyennya.

Teringat kata-kata saya pada emak tempoh hari, ketika awal-awal saya menjejakkan kaki ke Malaysia

" Mak, kalau semua perempuan kat Malaysia dok pakai tudung jenis ni, susah kita nak beza mana orang Malaysia, yang mana orang Indonesia nanti "

Saya tidak berapa protes pada fesyennya, tetapi saya amat kecewa kerana fesyen tudung tersebut menyalahi peraturan berhijab dalam agama. Terlalu pendek dan kadang-kadang, fabriknya dari kain yang mudah 'melekat' pada tubuh, membuatkan mata yang memandang kurang senang.

Itu baru soal tudung. Saya masih ingat lagi saat 'tudung bawal' hangat di pasaran suatu ketika dahulu. Mahalnya bukan main. Siap ada gred tertentu lagi. Yang hairannya, semakin mahal atau semaki tinggi gred tudung bawal itu, semakin tipis kainnya. Waktu itu seingat saya, orang berebut-rebut mahu memilikinya. Rasa lega jika punyai sekurang-kurangnya sehelai tudung bawal yang bergred tinggi itu. Alahai~

Saya percaya, di antara kita mampu duduk sebentar dan berbincang, kita akan lebih sedar bahawa gaya hidup kita, atau sebetulnya hidup kita ini seakan-akan di catur oleh peniaga. Contoh yang saya bawakan di atas hanyalah contoh picisan, contoh yang terlalu kecil berbanding banyak lagi contoh-contoh yang ada dalam hidup kita sekarang. Yang kita kejar, yang kita lumba-lumbakan.

Lebih malang jika semua ini di dalangi oleh mereka-merekan yang punya agenda untuk meruntuhkan benteng umat islam. Saya amat tersentuh hati bila wanita-wanita muslimah, saudara seagama saya menjadi sasaran utama diperalat untuk kepentingan mereka ini.

Wasilah atau jalannya mudah.

Rancangkan suatu fesyen yang berunsur 'islami', namakan fesyen itu berdasarkan nama selebriti yang 'sudah kembali ke pangkal jalan' (bertudung), lambakkan di pasaran-pasaran sehingga fesyen-fesyen lama dan fesyen yang menepati syarat itu tiada.

Mudah bukan? Kita seakan-akan tidak punya pilihan untuk memilih mengikut kehendak dan keinginan kerana kita dihidangkan oleh pilihan yang sedia ada di hadapan mata. Hati yang mula-mula dahulu keberatan, akan tewas akhirnya.
Saya bawakan contoh lain.
Sedar ataupun tidak, di kaca televisyen sekarang, terdapat banyak rancangan drama khususnya dari indonesia yang berbaur 'islami'. Malangnya, jalan cerita yang ditunjukkan sungguh berbeza dengan tema 'islami' yang terpapar pada tajuk cerita. Dan tidak mampu saya nafikan, penjenamaan semula rancangan-rancangan televisyen menggunakan perkataan 'islami' ini sekadar mahu mengaut keuntungan semata-mata.
Terlalu banyak contoh lain yang sehinggakan kita tidak sedar kita sebenarnya tenggelam dalam dunia yang menggunakan perkataan 'islam' untuk mengaut keuntungan. Contoh lain seperti penggunaan 'sistem kewangan islam' yang 'diamalkan' bank-bank konvensional seperti Maybank, Bumiputera dan sebagainya.
Alahai, sudah terang lagikan mahu bersuluh. Islam sudah semestinya bawa keuntungan kepada umatnya. Tetapi bukan untuk diamalkan sebahagian-sebahagian sahaja. Mana-mana perintah Allah yang tidak seakan selesa pada diri sendiri, atau seakan menekan privasi peribadi, automatiknya langsung ditolak tepi.
Sampai bila ya kita mahu begini?

No comments:

Post a Comment