Pages

[repost] Cerpen: Aku ingin mencintai-MU




Mungkin kali ini merupakan ikhtiar terakhir usaha pihak Quraisy untuk menghentikan dakwah Rasullullah SAW. Pelbagai usaha telah mereka cuba, namun umat Islam tetap bertahan. Walau didesak, dan diejek sedahsyat mana sekalipun, mereka masih tetap mempertahankan iman. Maka, pada hari itu, dengan perantaraan bapa saudara Rasullullah SAW, pembesar terhormat dari suku kaum bani hasyim, mereka berunding.


“Muhammad, tinggalkanlah apa yang kau bawa. Sekiranya kau mahukan kekayaan, kami akan beri dengan sebanyaknya. Jika kau ingin kuasa, kami akan tabalkan kau jadi ketua kami..”
Abu Jahal menawarkan tawaran kepada Rasullullah SAW, menyangka bahawa tawaran sebegitu bisa memalingkan hati Rasulullah SAW dari terus berdakwah.

“ Baiklah, wahai Abu Jahal mahukah kau jika aku ajarkan padamu suatu kalimah yang dengannya kamu bakal menguasai seluruh tanah arab seluruh pelusuk dunia?.”

Mata utusan Quraisy mula bersinar-sinar bila mendengar kata balas dari Rasulullah SAW. Memang lumrah seorang pembesar, yang ada di mata hanyalah kuasa, pangkat dan harta!

“ Ucapkanlah…La ilaha Ilallah. Muhammad urrasulullah. “

Tenang rasullullah SAW menuturkan kalimah haq itu.

Air muka Abu Jahal dan pembesar-pembesar Quraisy di situ berubah terus menjadi merah padam. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia membunuh Muhammad ketika itu juga.

“ Muhammad! Jika kalimah inilah yang engkau maksudkan, kau bukan sahaja menempah padah dari suku arab, malah dari seluruh pelusuk dunia!”

Ada apa dengan dua kalimah itu sehingga Abu Jahal rasa tergugat sebegitu rupa?

***


Masih terngiang-ngiang saat Kak Asma' menyelitkan kisah yang sudah berlaku lebih 1400 tahun yang lalu di Autumn Gathering minggu lepas. Segalanya bagai masih basah dalam ingatan. Kehairanan tatkala membayangkan Abu Jahal yang kafir itu begitu takut dengan kalimah dua syahadah yang bagi kita selama ini hanyalah kalimah yang terkandung perkataan Allah sebagai Tuhan. Dan Muhammad sebagai rasul. 


Cukup.

“ Kerana Abu Jahal itu sudah terlalu fahamlah dia menolak sekeras-kerasnya kalimah syahadah itu…” , ujar Kak Asma' lagi.

Entahlah,sebelum ini, selama lebih 20 tahun menghirup nafas, hidup dipayungi atmosfera Allah, tidak aku persoalkan, tidak aku cuba fahami kenapa syahadah itu membawa pengertian yang amat besar sekali. Pentingnya kalimah ini sehingga menjadi rukun pertama dalam rukun Islam. Melebihi tuntutan solat dan dan syariat yang lain. Rupa-rupanya syahadah itu tidak aku fahami, tidak aku rasai, dan tidak berbekas dalam hati.

“ Lailahaillah…maksudnya penafian atas segala sembahan selain Allah..”.

Ya, mungkin yang terbayang di kepala untuk menjadi ‘islam’, hanya perlu mengucapkan dua kalimah syahadah dan tidak menyembah atau dalam erti kata lain tidak sujud dan tunduk kepada ‘berhala’. Wah, mungkin berhala itu ‘valid’ sebagai sembahan untuk orang kafir pada zaman itu sahaja.


“ Jangan lupa, orang Arab tu sebenarnya sudah tahu yang Allah itu Tuhan. Tetapi ada satu perkara yang mereka tidak buat, kerana, jika mereka percaya dan meyakini perkara itu,mereka takut terputus mata pencarian “, Kak Asma' menyambung pengisian. Aku terus berkedip-kedip mata. Ku lihat ketika itu, teman-teman yang lain seperti Ros dan Deena juga sama sepertiku. Tidak sabar mahu mendengar butir bicara seterusnya dari Kak Asma'. Walaupun hanya dua baris syahadah yang sudah lama kita ucapkan, namun bagai sekarang baru mengenalinya.

“ Sembahan itu besar maknanya. Menurut Abul A’ala Al-Maududi, sembahan itu membawa pengertian sebagai benda yang bila dengannya kita menjadi tenang. Dengannya kita menyandarkan perlindungan, selalu rindu dan terkenang-kenangkannya dan selalu bangat terkenangkannya ..”

Alahai, bagai merindu seorang kekasih pula. Maka dengan makna sembahan yang inilah membuatkan Abu Jahal dan pembesar lain juga menolak dengan sekeras-kerasnya syahadah. Walaupun mereka sangat-sangat faham, lebih faham dari kita!

Tanpa sedar, kenanganku yang telah luput dari hidupku, bagai berputar-putar kembali dalam ingatan. Bermain bagai layar di panggung wayang.

***
Umur aku ketika itu masih muda, muda remaja. 18 tahun ketika itu. Saat dimana darah muda hangat mengalir dalam tubuh. Saat kawan adalah segalanya, bukan keluarga. Saat di mana diri mengharap di kasihi seorang insan bukan sejenis bernama lelaki. Mengikat hubungan yang dinamakan cinta bersamanya.

Cinta yang aku faham ketika itu tiada lain hanya cinta untuk sang kumbang. Belajar cinta dari televisyen, dari novel-novel, dari masyarakat sekeliling. Maka ketika itu aku menterjemahkan cinta mengikut tafsiranku sendiri. Hari-hari bergelumang dengan kata indah, hati yang selalu berbunga-bunga, bak kata nenek moyang, ‘makan tak kenyang, mandi tak basah’.

Hari-hari yang aku lalui bagai suatu keasyikan. Yang ada di mata, dalam pandangan setiap masa hanyalah dia, insane yang aku cinta.

Tetapi Allah itu Maha Penyayang. Allah tarik aku yang ketika itu menjadikan sang kumbang itu Ilah dalam hidup aku ketika itu.

Dua tahun berlalu, dua tahun juga aku mengikat cinta dengannya. Takdir Allah mendahului, dia pergi meninggalkan aku dan dunia buat selamanya akibat penyakit barah hati. Sedihnya tidak tergambar dek perasaan masa itu. Kolam air mata sudah kering, tidak mampu kutumpahkan air mata lagi.

Allah lah sebaik-baik perancang, aku mendapat tawaran belajar ke Negara Matahari Terbit. Sepatutnya aku pergi dengan gembira, dengan rasa bersyukur kerna terpilih dari sejumlah orang lain yang mendambakan peluang belajar sebegitu. Entah mengapa, sejak kehilangan dia..aku rasakan hidup aku bagai tidak bermakna.
***
Tanpa sedar, ada butir halus mengalir. Lama sungguh aku melayar lamunan. Teman-teman lain masih khusyuk mendengar pengisian di hadapan. Aku kesa air mata yang tumpah itu dengan hujung tudung. Seboleh-bolehnya aku tidak mahu ada yang perasan.

Air mata yang gugur, bukan lagi sedih dengan kehilangannya. Tapi aku menyesal dan sedih bila aku kenang saat itu. Sejak Kak Asma menerangkan makna Illah dalam kalimah syahadah itu, baru aku faham maksud yang sebenarnya.

“ Astaghfirullah, rupa-rupanya selama ini aku menjadikan dia sebagai Ilah menggantikanMu, ya Rab. Di mana ketika itu aku lupa padaMu. Yang memberi aku nafas, yang memberi aku segala macam nikmat. Tapi aku buta, aku tenggelam dalam nafsu. Menjadikan cintaku pada manusia melebihi cintaku padaMu. Malah zalimnya aku tanpa sedar menjadikan dia sebagai Ilahku”, aku bermonolog sendiri.

Bibirku tidak henti-henti mengucapkan tasbih dan tahmid kepada Allah yang menyelamatkan aku dari menjadi hamba cinta manusia. Yang sepatutnya aku salurkan seluruh cinta, seluruh pengharapan, seluruh pengabdianku kepada Allah.

“ Macam-macam Ilah tu boleh di tafsirkan dalam kehidupan kita. Contohnya jika ada yang terlalu asyik belajar sehingga menombor duakan Allah, maka belajar itu menjadi sembahannya. Bagi yang sibuk bekerja, menepikan hak kepada Allah, maka jaga-jaga, kerja itu juga adalah sembahannya. Dan bagi adik2 dan kawan2, begitu juga cinta kita pada makhluk. Jika melebihi, dan menghalang kita dari mencintai Allah, itulah yang menjadi Illah kita. Nauzubillah..”

Tidak semena-mena, hatiku terasa di jentik. Titisan jernih mengalir. Aku tertunduk, mendiamkan diri.
***
“ Akak nampak, awak menangis masa Kak Asma' beri pengisian tadi. Kenapa, ada apa-apa yang tidak kena ke?”, Kak Nawfal merapati aku dan nada suaranya rendah bagai berbisik padaku. Aku membalasnya dengan senyuman, tanpa sebarang kata. Pantas tanganku mencapai seketul shirome fry dengan sepit dan menghidangkannya dalam piring kecil atas dulang. Salad, hirisan timun, beberapa tomato kecil bersama dengan goma-dressing nampak begitu menyelerakan. Aku memberi isyarat pada Kak Nawfal untuk duduk semeja denganku. Ada sesuatu ingin ku sampaikan.

“ Kak, pertama sekali, terima kasih sangat-sangat. Akak ajak saya ke program Autumn Gathering di Nigata ini. Saya dapat jumpa kawan-kawan yang dah lama saya tak jumpa. Saya dapat berkenalan dengan kakak-kakak dan teman-teman lain. Saya rasa tenang sangat bila ada dalam suasana sebegini..”

Kak Nawfal memandang dengan pandangan yang menyejukkan hati. MasyaAllah.
“ Berterima kasihlah pada Allah yang mengerakkan hati, yang membawa langkah awak ke sini. Bayangkan, dalam berapa ratus ribu orang yang sebaya awak di Malaysia, awak yang terpilih untuk belajar ke Negara Matahari Terbit ini. Dan dalam ribuan mereka disini, awak yang Allah pilih untuk ke Autumn Gathering. Alhamdulillah.. “, Kak Nawfal mengalihkan rasa terima kasihku kepada Allah. Dia merendahkan hati , mengingatkanku bahawa yang datang itu semua dari Allah.

“ Baru saya tersedar, kak. Ilah saya selama ini bukan Allah. Mungkin secara pandangan luar saya belum pernah tinggalkan solat, saya baca al-Quran. Tetapi dahulu dalam hati saya penuh dengan ingatan dan kasih saya pada makhluk. Bila saya dengar maksud sembahan yang sebenarnya tadi, saya rasa amat takut. “, ada sedikit getar dalam nada suaraku. Kak Nawfal sebenarnya sudah aku beritahu tentang kisah silamku.

“ Tak mengapa, Allah itu sangat sayangkan awak. Sebab itu Allah takdirkan untuk awak kehilangan dia. Sebab Allah cemburu lihat awak terlalu cintakan makhluk. Sedang Allah itu setiap saat sangat menantikan hambaNya untuk mengingatinya. .“, kata-kata Kak Nawfal bagai air sejuk yang menyejukkan tekak yang kehausan. Aku tersenyum lebar.

“ Kak, pimpin saya kak. Pimpin saya pada jalan Allah. Saya berazam nak menyembah Allah. Tak nak dah Ilah lain dalam jiwa saya. Saya nak perbaiki diri”, usai aku menyatakan hasratku, Kak Nawfal menggenggam erat tanganku.
“ InsyaAllah, sama-sama kita baiki diri kita. Kalau awak tak keberatan, akak ajak awak untuk turut serta dalam liqa’. Kawan-kawan sebaya awak pun ada. InsyaAllah, dari situ kita sama-sama didik diri untuk menjadi individu muslim yang lebih baik”. Aku tersenyum, senyumku menguntumkan harapan.

***

Hari ini merupakan hari terakhir setelah 3 hari berprogram di Niigata. Terasa terlalu berat hati ini untuk melangkah pergi untuk berpisah. Bagaimana hati yang baru berjumpa, boleh terus menyulam cinta. Belumpun berpisah, rindu sudah datang menerpa. Inilah keindahan ukhuwwah.

Kami membentuk sebuah bulatan, tangan teman-teman di kiri dan kanan aku rangkul erat-erat, tidak mahu lepas. Sama-sama mengalunkan lagu ‘Aku ingin MencintaiMu’ nyanyian Edcoustic. Irama lagu kami nyanyikan dengan sangat harmoni.

Dan air mataku, tumpah untuk kesekian kali..
Tuhan betapa aku malu
atas semua yang Kau beri
padahal diriku terlalu sering membuat-MU kecewa
Entah mungkin karna ku terlena
sementara Engkau beri aku kesempatan

Berulang kali
agar aku kembali
dalam fitrahku sebagai manusia untuk menghamba pada-MU
betapa tak ada apa-apanya
aku dihadapan-MU

Aku ingin mencintai-MU

setulusnya
sebenar-benar aku cinta
dalam doa
dalam ucapan
dalam setiap langkahku
aku ingin mendekatimu-MU
selamanya
sehina apapun diriku
kuberharap
untuk bertemu dengan-MU
ya Rabbi......

Keterikatan hati, yang dipateri dengan sedar bahawa penyaksian dalam dua kalimah itu harus di tunaikan. Dalam kesedaran, mahu memimpin ummah kembali kepada Ilah sebenar, cinta dan ukhuwwah adalah penguat. Mana lagi kalau bukan menagih cinta dari teman seperjuangan, yang bakal menemani , yang akan menopang jika hampir tersungkur di tengah jalan.

Teman-teman, tidak sabar rasanya mahu kembali bertemu. Aku sudah membenih cinta dan rindu, moga ketemunya kita di Fuyu Gathering Nagano nanti, Allah sudah sebati menjadi Ilah dalam jiwa kita .

***
Yang mengaku beriman itu, bila lagi mahu menyungkur sujud menyerah diri dengan sepenuh hati. ?

Allah sebagai Ilah. Tapi berapa ramai yang menidakkannya. Jika aku pernah meng’ilah’kan seorang manusia atas dasar cinta nafsu yang rapuh, bagaimana pula yang lainnya. Betapa setiap saat adakah kita, yang mengucapkan dua kalimah suci dalam rakaat terakhir setiap solat, sudah menunaikannya?

Pergantungan hanya pada Allah,

Rindu..rindukan Allah.

Tenang jiwa, hanya dengan mengingati Allah.

Namun, entah berapa ramai, sedang aku sendiri yang mendustakan.

“ Nikmat Tuhanmu yang mana lagikah mahu engkau dustakan?” , berulang-ulang di sebut dalam surah Ar-Rahman.

Aku mahu hanya Allah sebagai Ilahku. 


Bukan sembahan harta, bukan sembahan manusia, bukan sembahan hiburan dunia.

Lailaha Ilallah. Muhammadur Rasulullah.

dan air mataku tumpah, dan tumpah lagi..


(tulisan ini berformat cerpen dan tidak diniatkan untuk individu tertentu)

fuhh...

Bilakah lagi yang mengaku beriman itu
untuk sujud menyungkur dengan sebenar khusyuk?

Terlalu banyak ni'mat yang dikecap
syukur hanya setitis dari selautannya.

Bila lagi mahu menyembah Dia dengan sebenar-benar sembah?
sedang hati masih dipasung sembahan lain.

Cukup..cukup.
Bila lagi mahu mengunggu.

as-sufi 109

dulu pandang-pandang, jeling-jeling


Siapa sangka kan, yang dahulu tidak berapa mahu kenal, sekarang sudah jadi makin sangat akrab.MySpace
Siapa sangka kan, kalau dahulu setakat pandang-pandang, jeling-jeling, dan senyum-senyum
..sekarang boleh usik-mengusik dan bergurau senda.MySpace

Siapa sangka kan, kalau dahulu bersembang pun tentang perkara yang entah apa-apa, sekarang masing-masing boleh saling mengingatkan tentang Pencipta.MySpace

Siapa sangka kan, kalau dahulu tidak ada lebih perasaan melainkan sebagai teman yang biasa-biasa, tapi sekarang sudah jatuh cinta.MySpace

Aaaa...manisnya ukhuwwah~

Teringat akan perihal saya sejak kecil mengundang ke remaja. Saya bukanlah orang yang pandai berkawan. Bukan sombong, tapi saya rasa rimas bila melihat teman-teman sebaya yang punyai geng sendiri begitu obses. Kemana-mana pun dalam geng yang sama. Mungkin itu menjadi salah satu sebab yang amat kuat sehinggakan saya lebih suka bersendirian dalam urusan kehidupan sejak di bangku sekolah rendah lagi. Mungkin juga pengaruh dari nasihat abah yang sentiasa menasihatkan kami adik-beradik agar berdikari, jangan bergantung pada orang lain dan yang paling saya tidak boleh lupa, jangan ikut-ikut kawan. Tarbiyah ala-ala askar gitu kerana abah pun bekas askar.

Mungkin dek peredaran zaman, di tambah lagi dengan persekitaran yang agak membimbangkan, abah lebih senang dan lebih percaya jika saya berjalan berseorangan daripada mengikut teman. Jika ingin mengikut teman, lebih panjang sedikit perlu bersoal jawab dengan abah. Jalan dengan siapa? Nak ke mana? Balik pukul berapa? Paling menghairankan, abah lebih percaya lagi jika saya menunggang motorsikal jika ingin kemana-mana, walaupun ke Kuala Lumpur secara bersendirian. Alhamdulillah, kepercayaan abah pada saya, saya tidak khianati.

Mahu diringkaskan cerita, saya tidak menikmati perasaan bagaimana manisnya berkawan. Ya lah, saya dahulu pun bukanlah pelajar yang menetap di asrama. Maka sehingga tamat persekolahan jugalah saya belum punyai teman akrab. (sebetulnya saya tidak pernah buka peluang untuk mempunyai teman akrab). Kerna bagi saya, semua adalah teman saya. Saya adili sama rata.

Sehinggalah saya melangkah setapak lagi ke pusat persediaan sebelum saya melanjutkan pelajaran ke sini. Tidak dinafikan, situasinya masih lagi sama seperti di bangku sekolah. Konsep geng-geng itu masih wujud. Dan saya masih seperti dibangku dahulu yang atas pagar. Saya berkawan dengan semua orang. Namun saya masih boleh bezakan yang mereka-mereka dari geng yang mana satu.

Namun...hijrah saya ke bumi sakura ini, membuatkan saya yang suka bersendiri itu lenyap ditelan masa dan tarbiyah di sini. Di sini baru saya kenal apa itu ukhuwwah. Bukan saya tidak pernah dengar apa itu 'ukhuwwah' di bangku sekolah. Tetapi mungkin hati tak terbuka, dan jiwa belum terusik.

Saya masih ingat lagi ketika pertama kali saya hadir ke program di sini iaitu Golden Week Gathering 2008 di Saitama. Jarak antara tempat saya, Yamaguchi dan Saitama(Tokyo) itu bukanlah satu jarak yang dekat. Jauhnya sahaja melebihi 1000km. Pada mulanya bimbang juga saya, di mana saya mahu menetap, sedangkan saya masih baru di sini. Ketika itu saya baru 3 bulan di Jepun. Senior saya di sini memberikan nombor untuk saya hubungi. Katanya saya boleh menumpang dirumahnya dan bergerak bersama-sama untuk ke program esoknya.

Subhanallah, pertama kali menjejak kaki ke bumi Tokyo yang ketika itu sangat baru bagi saya, Allah temukan saya dengan kakak-kakak yang sangat-sangat baik. Kami seperti sudah kenal lama. Malah saya tidak rasa kekok, mahupun segan. Perasaan saya selesa.

Dari situ, ukhuwwah sudah mula mendekati saya. Sedikit demi sedikit, saya membuka hati untuk itu.

Masa berganti masa berkadar langsung dengan tarbiyah berterusan. Alhamdulillah, saya semakin faham apa ukhuwwah yang sebenarnya.

" Ukhuwwah islamiah adalah hubungan hati yang di ikat dengan akidah kepada Allah. Maka hubungan yang bukan berlandaskan akidah islamiah itu bukan ukhuwwah "

Mungkin ramai yang pernah mendengar perkataan ukhuwwah.
Tapi, kita tidak tahu apa ukhuwwah yang sebenarnya. Ukhuwwah kah itu jika di dasari untuk kepentingan diri sendiri, demi keseronokan semata-mata? Bila luput kepentingan kita dalam hubungan itu maka kita akan tinggalkan teman kita begitu sahaja?

walaupun jarang sekali bertemu, walau jarak memisahkan, dan kadang-kadang belum pernah lagi kita bersua muka jangan hairan jika kita sudah jatuh cinta. Atas dasar akidah islamiah. Sudah pastinya sesama lelaki muslim dan sesama perempuan muslim.
-kami dahulu hanya pandang-pandang dan senyum-senyum sahaja-

Ukhuwwah itulah yang memaniskan tarbiyah kita, yang menguatkan langkah kita pada jalan Allah. Tanpa ukhuwwah, hati kita kering, jiwa kita kontang. Dan dengan ukhuwwah jugalah yang menggerakkan kaki untuk melangkah bertemu, walau jauh beribu batu, walau dengan beban yang terpikul..

kerna ukhuwwah dan cinta jugalah yang menggerakan saya ke sana~



bertambah satu


Alhamdulillah, bermula semalam cucu layak untuk bergelar sebagai pengundi pilihanraya Malaysia. Jazakumullah, terima kasih cucu ucapkan buat abah, emak, adik, dan teman-teman yang menghantarkan kiriman ucapan selamat hari lahir melalui sms, facebook dan ym. Moga-moga, doamu untuk cucu,menjadi penguat dan bekalan untuk menghadapi masa sekarang dan yang bakal menjelang (insyaAllah jika umur panjang).

Jika dalam entri tahun lepas ("selamat tinggal satu"), ketika cucu bercerita tentang ulang tahun kelahiran cucu yang ke-20, mungkin lebih banyak menceritakan proses transformasi cucu dari kecil ke dewasa, perubahan kematangan yang cucu lalui, dan ada juga cucu selitkan tentang kisah cucu ketika di alam sekolah dahulu. Al-maklumlah, rasa teruja bila umur meningkat dari 10-an ke 20-an. Hehe..

"Fizah, kalau besday fizah kan, mesti kena dengan exam kan?"

Ya tak ya juga lah. Kebetulan yang difikirkan, tetapi sudah disuratkan. Teringat kembali 11 November, dua tahun yang lepas, ulangtahun hari lahir cucu jatuh pada tarikh yang sama dengan peperiksaan EJU. Peperiksaan yang menentukan layak atau tidak untuk menyambung pelajaran ke Jepun. Dan semalam, jatuhnya juga pada hari cucu menduduki peperiksaan pertengahan semester. Maka, mahu atau tidak, cucu dengan redhanya menerima hadiah peperiksaan itu sebagai hadiah ulangtahun kelahiran :).

Masa berlalu tanpa kita sedar, tanpa kita hitung. Jika kita sedar, pasti kita mahu penuhi setiap masa dengan perkara yang bermakna.Sudah menjejak ke angka 21 tahun, tetapi cucu akan terdiam jika ditanyakan apa perkara yang sudah cucu lakukan sepanjang usia 21 tahun yang lepas. InsyaAllah, jika masih diberi kesempatan oleh Allah, moga-moga cucu dapat memaknakan usia mendatang.

Semalam, sewaktu membaca ucapan-ucapan selamat hari lahir menerusi facebook, ada juga teman-teman yang bertanya;

" Fiza, selamat hari lahir. Bila mau kawen?"

Aduhai, cucu rasa pelik kenapa mesti isu kahwin yang dibangkitkan? Bukan cucu tidak senang hati, atau tidak selesa, cuma sedikit pelik. Lalu cucu lontarkanlah persoalan itu pada seorang teman. Dia pun membalas;

" Umur 21 tu, orang tengok macam dah betul-betul dewasa. Kalau umur 20 tu kan, ibarat macam baru nak tukar alam dari remaja ke dewasa. Tak hairanlah kalau ada orang bangkitkan isu kahwin bila umur 21 tahun ke atas. Lagipun kawan sebaya kita kalau kat Malaysia kan ramai juga yang dah merancang untuk berkahwin ketika usia begini. Dorang pun dah habis belajar, dah ramai yang kerja. Cuma mungkin kita je yang tak rasa tu semua sebab kita masih belajar lagi kat sini "

Barulah cucu mengangguk faham. Bukanlah bermaksud yang usia 21 tahun sesuai untuk kahwin, tetapi apa yang cucu anggukkan itu adalah berkenaan dengan kedewasaan. Sama ada dewasa penampilan, atau yang lebih penting, dewasa pemikiran.

MESEJ DARI ABAH

" Happy birthday to you, dan selamat menjawab peperiksaan. Doa dari abah dan mak moga berjaya! Jangan lupa doa wahayyi' lana min amrina rasyada (dari surah al-kahfi, ayat 10)"

Cucu membaca mesej yang dikirimi abah di skrin telefon bimbit. MasyaAllah, rasa teruja yang amat bila membaca ucapan dan doa dari abah dan emak.Entahlah, rasa jarak yang semakin jauh ini bagai suatu rahmat. Jika dahulu, hari lahir kami 'diraikan' dengan sebiji kek dan cukup setakat itu. Tetapi hari ini, mesej abah pagi semalam sangat bermakna.Tidak terasa pun sudah 21 tahun cucu bergelar anak kepada abah dan emak. Rasa bagai mahu membesar dengan abah dan emak disisi.

UCAPAN DARI TEMAN

Lewat senja semalam, saya menerima panggilan dari teman rapat saya dari Tsukuba. Berkali-kali dia meminta maaf kerna kelewatan mengucapkan ucap selamat untuk cucu. Dek kerana cucu punyai urusan lain selepas itu, tidak dapat kami berborak panjang seperti biasa. Tetapi, sebelum itu sempat juga dia menitipkan pesan buat cucu;

" Fizah,happy birthday. Selamat menghampiri hari kematian "

Gulp.! Cucu menjawab salamnya dan menekan butang menutup talian. Dan ucapannya itu benar-benar buat cucu terfikir.

" S, jazakillah buat ucapanmu itu. Dalam ramai yang meraikan aku, kau kembalikan ingatanku untuk tujuan yang SATU ".

AKHIRNYA

Jazakumullah sekali lagi buat mereka-mereka yang mengingati hari lahir, dan mengirimkan ucap selamat untuk cucu. Tidak dilupakan teman-teman Jepun satu kuliyah di sini, Uki, Momo, Ueda, Hibinaga dan Yamamo.Juga, yang mengirimkan ucapan di facebook, ym, sms dan yang berhadapan, ketahuilah ucapanmu menggembirakan cucu.

dan cucu mohon maaf sekiranya ada ucapan-ucapan yang tidak sempat cucu balas.

" Selamat hari lahir. Moga umurmu dimasa lepas diredhai "

Amin...


salahku


hati pedih,
seakan-akan ada bilah yang menghiris.

sesak dada,
hela nafas bagai tak terdaya.

aku yang bersalah,
tidak mampu menjadi hamba.

sunshine 109

sejuk


Bismillahirrahmanirrahim...

Sambil tubuh yang menggigil menahan sejuk yang menggigit, cucu kuatkan juga jari untuk memetik kekunci. Menulis sesuatu, mencoret laman ruang kosong yang sekian lama ditinggalkan. Bukan tidak sudi untuk berkongsi, tapi dek diri sendiri yang kurang pandai mengurus masa. Malu untuk mengatakan yang saya ini sibuk, cuma khilaf cucu yang memang kurang pandai mengurus masa.

Musim luruh yang sudah tiba, mengganti musim panas yang ditinggalkan lebih sebulan lalu, membawa makna tersendiri. Ya, sememangnya untuk ulul albaab, untuk ahli fikir, setiap kejadian Allah atas muka bumi ini semakin meluaskan pemikiran, membawa kerendahan hati yang amat, hati dan jiwa tunduk menyerah pada kudrat yang Maha Agung. Moga cucu dan pembaca semua tergolong dikalangan mereka, insyaAllah.

Musim luruh, yang mengganti musim panas. Beza, memang berbeza. Dari darjah kepanasan suhunya, dari suasananya, dan dari segala segi. Dikala musim panas dahulu sang pohon yang merimbun pasti bangga kerna dirinya punyai daun yang hijau lebat, punya bunga yang mekar gemilang, pasti di musim luruh ini dia bakal menundukkan diri. Rela dan redha bila daun yang ada pada tubuh pohon akan gugur, dan gugur, dan gugur dengan sebanyaknya bila tiba masa. Malah, yang hdaun yang hijau bertukar rupa. Dari hijau bertukar merah. Dari merah, bertukar kuning, langsung bertukar coklat dan gugur terus mencium tanah.

Nikmat dunia yang dibangga, yang dipuja-puja seperti dedaun itulah. Tidak kekal berpaut di pohon. Sampai masa bakal pergi. Jika nikmat dunia seperti perempuan, harta kekayaan, pangkat yang tinggi-tinggi jadi sandaran, itu menjadi satu kerugian.

Jika dipandang dedaun itu bagai diri yang teracun dengan dunia dan nafsu, gugurkanlah daun itu. Bermunajatlah pada Allah. Mohon diberi perlindungan dan kekuatan. Jika Allah beri kesempatan lagi, moga-moga kita koreksi diri. Bagai pucuk-pucuk dan kudup-kudup bunga yang bakal tumbuh bila musim bunga menjengah.

Kesejukan yang melanda sekarang. Moga kita tergolong dalam orang yang berfikir, orang yang bersyukur. Angin yang bertiup kencang, suhu yang makin rendah, titis hujan yang makin bertambah, kita sambut dengan tahmid. Biar kita sepadu dengan alam yang sedang bertasbih, sama-sama mengakui Allah itu Maha Agung.

Moga kita tidak jadi seperti yang bukan muslim;

" Sejuknya..kuatnya angin..Kenapa sejuk sangat ni?"

Kerna mereka tidak lihat disebalik semua ini ada keagungan yang patut kita rendahkan diri.

Sejuk yang melanda, moga tidak membekukan hati.,moga akal tidak cair untuk berfikir, moga tidak mengeraskan jiwa untuk tunduk dan merendah hati.

Aaah..moga jadi golongan yang berfikir, siapa lagi kalau bukan seperti Ulul Albaab..

dahaga


sungguh hairan aku,
bagaimana bisa tenang hati seorang manusia tanpa mengingatiNya.
ya, di luar mereka gembira,
tertawa bagai mereka terhibur dengan macam-macam perkara.

tentang perempuan,
tentang permainan,
tentang musik yang jadi siulan,
tentang wayang cerita yang sudah diketahui penghujungnya,
tentang itu,
tentang ini.

hairan aku memandang manusia,
ya, pastinya hairan memandang diriku juga.

sedang manusia tahu yang dia tidak pernah puas.
berilah segunung emas,
pasti dirayu lagi segunung permata.

meneguk dunia,
tidak akan memuaskan dahaga.

sunshine 109