Pages

maaf, saya bukan graduan mesir !


Bismillahirrahmanirrahiim,

Ramadhan Kariim.

Entri yang tiada kait mengait dengan perasaan marah, apatah lagi tidak puas hati. Ini amaran awal.

Ok lah, ana malas mahu berbasa-basi.. Meh ana nak ceritakan sesuatu.

***
Kelmarin, ana berhajat untuk mengunjungi sahabat lama ana, Sab di sekolah. Sab baru bergraduasi dari sebuah universiti di Jordan, mengambil kesempatan yang ada menjadi guru ganti di bekas sekolah kami. Ana buat keputusan untuk ke sekolah pun pada last-last minute...memang tiada persediaan langsung. Tambahan pula, Sab beritahu ana yang jadualnya penuh dari jam 10 hingga ke akhir masa. Pagi tu juga ana pecut menunggang motosikal. ( natsukashi sungguh! Dah lama tak bawa motor laju2 di highway... =)

Sampai sahaja di sekolah, ana terus hubungi Sab. Dia minta ana untuk ke bilik guru perempuan. Sampai sahaja disitu, ana hanya sempat bersalaman dengan Sab. Tak sempat nak bersembang pun. Cikgu-cikgu lain dah grab ana dulu. Tanya ana macam-macam tentang hidup di Jepun. Kasihan Sab, tak sempat kita nak borak lama kan..?

Kebetulan, pada hari itu...di adakan seminar untuk pelajar tingkatan 4 dan 6. Fasi-fasinya terdiri daripada pelajar-pelajar yang sedang menuntut di al-Azhar, Mesir. Sab beritahu ana tadi yang teman-teman lama ana seperti Atin, Heerwan termasuklah junior-junior ana turut serta dalam program tu.

Apa lagi, bila habis sahaja urusan ana di bilik guru...terus ana ke dewan, tempat dimana seminar itu berlangsung. Ketika itu, junior ana Ahmad, sedang beri taklimat pembahagian kumpulan. Ana tengok seluruh dewan, sambil memetik kamera yang ana bawa. Entahlah, ana rasakan amat tenang. Lama betul tidak merasai suasana sebegini, masakan tidak sudah 5 tahun ana tinggalkan sekolah. Dunia tempat ana diami sekarang pun realitinya sudah tidak begitu, tapi alhamdulillah...ana syukur kerna Allah temukan ana dengan jalan ini. Jalan yang memperkenalkan ana pada tarbiyyah, pada ukhuwwah.

Ana cari kelibat Atin. Kami bersalaman, dan berpelukan. Atin kini belajar di al-azhar, Mesir. Sebelum ini dia menghabiskan Diploma Tahfiz dan Qiraat di Darul Quran. Ana nampak juga kelibat junior yang muda setahun dari ana. Lantas, teringat ketika itu zamannya yang menjadi "otai-otai" sekolah. Kelakar juga bila teringat otai sekolah ni. Gayanya sama. Tudung bulat serupa cendawan, yang potongannya hanya cukup-cukup makan. Dengan lengan baju yang tidak di ketip, dan selalunya otai ini akan memakai kasut sekolah "high-cut" berjenama all-star.
Tapi, bila ana tengok junior ana ini, alhamdulillah. Sudah berubah. Dengan jubah hitam, dan mengenakan tudung labuh berwarna coklat tua..alhamdulillah. Siapa tahu kan, hidayah Allah itu diturunkan kepada siapa?

Adik-adik tingkatan 4 dan 6 itu dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut kelas. Ana sebagai tetamu yang tidak diundang, memilih untuk bersama-sama Atin. Kami duduk sekumpulan dengan adik-adik tingkatan 6 yang akan menduduki STAM. Ada juga adik2 itu yang masih mengenali ana. Benar, terasa diri sudah lanjut usia. Ana tidak ingat, generasi mana lagi yang sempat mengenali ana. Barangkali yang tingkatan 6 ini yang terakhir.

Atin dan teman-temannya lagi 2 orang, berkongsi mengenai pengalaman mereka di Mesir. Ana mendiamkan diri dan sekadar menjadi pendengar setia. Namun, tatkala dminta memperkenalkan diri rata-rata adik2 yang mendengar terkejut. Terkejut kerana ana bukanlah penuntut al-azhar, tapi Jepun. Ya, Jepun! Sedang menuntut tahun 3 dalam bidang kejuruteraan mekanikal. Bidang dan tempat yang 180 darjah berbeza dari Atin dan teman-temannya yang lain.

Bila diminta berkongsi sepatah dua, ana hanya katakan dua perkara. Satu, sebagai bekas pelajar sekolah agama... kita pegang title tu ke mana-mana. Dua, cintai islam, dan cuba kuasai bahasa arab. Ana sendiri sebenarnya sungguh rindu dengan bahasa arab, dan ilmu-ilmu islam yang lain. Sekarang ini pun, ana belajar bahasa arab dari pembacaan al-Quran itu sendiri. Baca satu ayat, lihat terjemahan. Maksud kalimah mungkin ana tahu, tapi mana mungkin ana dapat kuasai nahu, sarah, balaghah tanpa belajar dengan cara yang sepatutnya. T.T

Tamat sahaja sesi perkongsian secara berkumpulan, ada adik-adik yang mendekati ana. Minta email dan nombor telefon secara personal. Ana tidak tahu apa persepsi adik-adik ni terhadap orang yang belajar bukan bahasa arab mahupun pengajian islam. Tapi ana harap yang adik-adik ni tidak pandang rendah bahasa arab dan pengajian islam. Ana sungguh tidak minat kalau ada yang beranggapan dan memandang rendah bahasa arab sebagai pilihan ke 2, ataupun bukan pilihan sendiri.

Pernah juga terlintas dalam fikiran sekarang untuk menukar bidang ke pengajian islam dan bahasa arab selepas ana bergraduasi nanti. Tapi entahlah, ana lihat situasi ana dahulu. Wallahua'lam.

"maaf, saya bukan graduan mesir!"

kalau bukan dengan apa yang dituntut, kami serupa dari pakaian dan penampilan pun tidak apa kan..?

kerna sebaik-baik pakaian, adalah taqwa =)

p/s: moga masih sempat mengejar taqwa. Ramadhan berbaki 6 hari lagi ..

No comments:

Post a Comment