Pages

Steps to Grad 10: Bertanya pun ada caranya

Bismillahirrahmanirrahiim,

dalam menahan rasa sejuk yang menusuk ke hati semasa zemi tadi, saya dan teman-teman satu lab yang lain masih setia mendengar sesi soal jawab antara Oribe Kun dengan Nagata Senpai. Senario yang biasa kelihatan tatkala zemi di lab saya. Presentasi 10 minit, dan sesi soal jawab biasanya 40 minit. Nagata Senpai antara salah seorang senpai kami yang tidak sunyi dengan soalan-soalan berbentuk pemikiran kritis yang berkaitan dengan eksperimen-eksperimen yang dilakukan.

Oribe  Kun masih jeda mendengar soalan yang dilontarkan Nagata Senpai. Penjelasan terhadap soalannya sahaja sudah panjang. Menjadi cabaran bagi kami yang sedang berada dalam tahun 4 ini untuk memahami soalan-soalan senpai yang rata-rata memang menguasai kajian masing-masing.
Namun, bagi saya (dan juga teman-teman lab seangkatan yang lain) memang agak kecut perut bila disoal bertubi-tubi tanpa belas kasihan oleh senpai. Seboleh-bolehnya kammi mengelak untuk menjawab dengan

" Sumimasen,wakarimasen ".

kerna pada ketika itulah kami dilatih dan diuji adakah kami benar-benar memahami eksperimen yang kami lakukan. Walaupun saya mengakui zemi selama sejam setengah ini memang bosan, mengantuk, muak dan apatah lagi di waktu sejuk-sejuk sebegini, selain disoal tanpa belas kasihan , ahli lab yang lain turut memberi pandangan untuk memperbaiki mutu kajian antara satu sama lain.

***

Sensei tetap setia duduk di belakang. Jarang sekali mengeluarkan suara ketika disesi soal jawab. Namun, sebelum berakhirnya zemi tadi sensei memberikan komennya.

Katanya, dalam kami (terutamanya senpai) seronok menyoal tanpa belas kasihan, sensei minta kami fikir soalan-soalan yang diutarakan.

Adakalanya pengetahuan yang dimiliki oleh presenter tidak setanding dengan soalan yang diberi.
Ataupun, kadang-kadang soalan yang diutarakan itu hanya menjurus kepada perincian perkara-perkara yang tidak berkaitan dalam kajian pun.

Saya memang sangat setuju lah dengan sensei!
( Tensi bila disoal bertubi-tubi tau ).

***

Kerna, berfikir itu memang perlu untuk menjawab soalan.

dan juga berfikir itu perlu untuk bertanya soalan.




p/s: sila fikir entri ini untuk dikaitkan dengan dakwah dan tarbiyah.
   

Kami golongan seleksi?


Sesungguhnya ideologi perubahan Islam mengkehendaki adanya SATU BARISAN yang terseleksi, dan mereka inilah yang menjadi pioneer dalam pembaikan. Namun demikian, perubahan ini harus tetap menyentuh MASYARAKAT, kerana disinilah akar dan kekuatan mereka.

Jika gerakan Islam tidak mahu berganjak dari tempatnya, setelah meliliki kader-kader pilihan, dan tidak mahu bergaul dengan masyarakat, mendidik, membimbing, mengarahkan , membantu, memimpin , meringankan kesulitan mereka dan melakukan perbaikan di tengah--tengah mereka, maka masyarakat akan meninggalkannya dan akhirnya gerakan ini akan hancur kerana tidak memiliki akar dan kekuatan di dalam masyarakat dalam melakukan pertarungan mempertahankan eksitensi.

Maha Benarlah Allah berfirman;
" Dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan seperti kamu " (Muhammad 47:38)



Apa lagi, jom keluar dari kepompong!
Masyarakat kita perlukan kegembiraan Islam yang kita "sorok"kan.

Dipetik dari buku Isti'ab, karangan Ustaz Fathi Yakan.

Steps to grad 9: Selepas ini awak sendiri ...

Bismillahirrahmanirrahiim,

saya membuka pintu kuning dan masuk ke bangunan persis kilang 2 tingkat itu. Dengan perlahan saya menutup semula pintu dan bergegas mahu kembali semula ke tempat saya selepas setengah jam berada di perpustakaan.
Saya melihat kelibat senpai di tingkat bawah, terus saya tanyakan padanya,

"今日のゼミどうします?"
(Bagaimana dengan zemi hari ini?)

Sensei juga masih disitu. Kelihatannya sedang sibuk mengelola eksperimen dengan senpai yang lain.

"まあ、俺ずっと先生と話し合って、もしハフィザが聞きたいことがあったら一人でゼミでいい"
( Saya hari ni dah seharian dengan sensei. Tapi kalau Hafizah ada benda yang nak ditanya, Hafizah zemi sendiri je lah ye)

Saya agak gusar sedikit lantaran minggu ini saya hanya membuat satu eksperimen sahaja.

"でも、データあまり取られてないんでどうしよう"
( Tapi, saya takde sangat data yang nak dibincangkan. Camne ni)

"ハフィザ、時々一人でゼミをやることがあるっけ。自分で聞きたいことを求めて、一人でやればいい。今度ハフィザが一人でゼミをやるのが多いかも。俺ただ修論向けなんて"
( Hafizah, kadang-kadang ade je keadaan awak akan zemi sendiri-sendiri dengan sensei. So, awak kena la bersedia untuk simpulkan data, dan perkara yang nak dibawa dalam zemi nanti. Nanti lagi banyak awak zemi sorang-sorang. Sebab lepas ni saya hanya fokus pada menulis tesis je).

Bila mendengar sahaja senpai saya menjawab begitu, terus saya kembali ke tempat saya dan cuba mencari perkara-perkara yang saya boleh tanyakan pada sensei. Seakan-akan ayat senpai saya itu memberi petunjuk untuk saya lebih berdikari dan jangan nak manja-manja lagi dah.

I have my work, and you have your own work too. 

Saya tak marah, apatah lagi nak sedih-sedih.
Entah, semenjak tinggal di Jepun ini rasa makin keras hati. Saya cuba lawan perasaan dengan mengutamakan logik akal. Saya tahu senpai buat begitu untuk kebaikan saya. Mahukan sesuatu, usahakan sendiri. Hidup atas kaki sendiri. Kerna bukan selamanya dia akan bersama-sama saya. Jika saya masih bergantung kepada dia sentiasa, maka senpai saya gagal untuk mendidik saya berdikari dan tidak berjaya menyediakan saya sebelum dia bergraduasi master.

***

Begitu juga dengan medan dakwah dan tarbiyah. Kadang-kadang binaan-binaan yang kita bakal tinggalkan merasa bimbang dengan kepulangan kita selepas tamat belajar.

Mungkin sudah masanya memberi kata putus seperti senpai saya tadi;
" Lepas ni enti bakal tinggal sendiri. Baik enti bersedia. Kurangkan bergantung pada kakak-kakak yang bakal pulang.. "


Steps to Grad 8: Fikir panjang sikit

Bismillahirrahmanirrahiim,

suatu hari saya ditanya,
"kenapa mahu sambung master? ".

Saya mendiamkan diri. Serasa saya pasti dia tahu apa jawapan saya.
"Minat? Untuk dakwah? ".

Saya memilih jawapan kedua.
Kami jeda sebentar.

"ukhti, mungkin ada baiknya ukhti fikir panjang sikit. Bukan untuk Jepun dan masa kini sahaja".

***

Jawapan itu sangat memberi kesan pada saya.
Apatah lagi bila ia terkait dengan masa hadapan yang bukannya terhad kepada dua atau tiga tahun selepas ini.

" Tunjukkan kami jalan yang lurus "
(1:6)


Osaka, dimana segalanya bermula.

Bismillahirrahmanirrahiim,

alhamdulillah hari ini Jumaat, tanggal 8 dzulhijjah 1432h. Masih berbaki 2 hari lagi sebelum menjengah hari kemuncak, hari yang ditunggu-tunggu. Iaitu hari raya aidiladha.

Dari jendela tingkat 7 ini, terasa langit begitu dekat dengan saya. Langit cerah hari ini, setelah semalam cuma awan kelabu yang mencorak penuh sepanjang hari. Dan alhamdulillah,  Allah memberi saya peluang untuk senyum sekali lagi hari ini, alhamdulillah.

Alhamdulillah, dengan peluang dan kudrat Allah, saya menulis catatan ini di tempat pertama yang saya jejaki waktu pertama kali saya tiba ke Jepun.

Osaka!

***

Saya tidak ingat entah ini kali keberapa saya ke bandar kosmopolitan ini. Jauh sekali dari saya ingin menyatakan betapa kerapnya saya ke sini, namun kunjungan saya ke bumi Osaka kali ini seakan-akan menguis kotak ingatan saya pada kali pertama saya tiba ke sini.

***

21 Mac 2008 saya dan teman-teman satu kursus yang lain mendarat di Kansai Airport Osaka.Saat pertama kali kaki memijak tanah keluar dari airport, saya rasakan amat teruja.
Pada pagi itu, cuaca masih lagi sejuk. Pohon-pohon masih belum mengeluarkan daun. Jalan-jalan masih lagi sunyi. Mungkin kenangan-kenangan itu sudah sangat lazim bagi pertama kali menjejakkan kaki ke bumi yang asing. Ya, saya juga merasakan yang perasaan-perasaan itu sekarang hanya biasa-biasa sahaja sebenarnya.

Tetapi, dalam kedinginan cuaca pagi itu, sambil mata terpana pada dahan yang malu-malu mahu menumbuhkan pucuk, saya menanam doa yang sangat dalam. Walaupun saya sedar betapa diri saya ketika itu sedang berada atas titik kelemahan saya yang paling bawah, tetapi saya mengharapkan sesuatu kepada Dia yang mentakdirkan saya ke sini.

" Ya Allah, jadikan penghijrahan saya disini mengenalkan saya denganMu, mendekatkan saya denganMu. Saya mahu buang jauh-jauh apa yang saya ingin tinggalkan di Malaysia. Izinkannya disini ya Allah ... ".

Saya mengaminkan sendiri doa saya dan saat itu yang paling saya kenang sehingga sekarang.
Walaupun saya sedar bukan satu hari, bukan dua hari, malah mungkin baru ditahun terakhir ini baru saya merasakan nikmat yang benar nikmat berada dalam peliharaanNya, namun saya mahu doa ini dikabulkan hingga akhir hayat saya.

***

Siapa sangka,

Tatkala dimana disinilah saya baru mengenal erti sebuah kegembiraan itu adalah hidup dalam celupan islam.

Tatkala dimana disinilah saya yang lebih suka menyendiri menjadi orang yang sangat memerlukan pendamping dari teman-teman yang soleh.

Tatkala dimana disinilah saya merasakan yang "asing" itu bukan satu kejanggalan malah ianya merupakan izzah (proud).

Tatkala dimana disinilah saya merasakan "orang mu'min itu bersaudara".

dan

tatkala dimana disinilah saya mengetahui bahawa obsesi di dunia ini hanya redha Allah dan syurgaNya.

***

Mungkin meneguk hanya sedikit nikmatmu.
dengan syukur yang tidak sampai sekelumitpun.

Tetapi, atas kelemahan yang saya berdiri inilah saya harapkan agar doa saya itu berpanjangan, dan diperpanjangkan kepada manusia lain.

***

Siapakah yang tega menangisi takdir Allah yang sudah tertulis?
Siapa tahu dalam kelamnya dan sesaknya Negeri Matahari Terbit ini dengan dunia yang sebenar-benar dunia,
ramai manusia yang menemui hidayah Allah di sini.

dan saya,
adalah salah seorangnya.



p/s: Emak, abah, terima kasih kerana memberi nama anakmu ini " Cahaya Yang Memelihara".

Steps to Grad 7: Tobikyu


Bismillahirrahmanirrahiim.

Alhamdulillah baru usai zemi kumpulan. Setiap kali zemi hari rabu berakhir, saya akan rasa lega yang amat. Biasanya, bila tiba sahaja hari rabu, saya agak resah sedikit. Sudah pastilah kerana ketika zemi nanti saya perlu persembahkan perkembangan saya sepanjang seminggu dan meminta pendapat sensei jika ada perkara yang saya ingin ketahui. Mulalah diri kelam kabut membuat eksperimen, menyimpulkan data, mencari soalan untuk ditanyakan kepada sensei. 

Senpai saya pun tidak ketinggalan. Biasanya saya ini suka menjadi pendengar setia bila sensei dan senpai berborak. Mengangguk bila faham, dan gelak bila terasa perkara itu kelakar. Mencabar juga mahu faham slang senpai, dan bahasa sensei. 

>.<

***

Berbanding zemi sebelum-sebelum ini, saya rasakan zemi kali ini membuatkan saya tersenyum hingga saya menapaki tangga masuk ke bilik kenkyu. Sensei dan senpai saya sebenarnya sedang risau dengan biasiswa saya. Saya rasa, pertama kali kot kata-kata sensei dan senpai berjaya menarik perhatian saya dan menyedarkan saya bahawa mereka mahukan saya tetap disini. 
" Siapalah patik pacal yang hina " ... ala-ala begitulah perasaan saya dalam kenkyu ini. 

Selepas itu, kami bersembang tentang tobikyuu. Tobikyuu ini membolehkan seseorang yang ingin mengambil master dan phD memendekkan tempoh belajarnya dari 5 tahun, kepada 3 tahun. 
Ops, saya terkejut. Sensei nak sarankan saya ambil tobikyuu ke ni? Sensei sudah fikir awal-awal macammana jika saya ambil tobikyu. Senpai pun menyokong. Dia kata, mahu letakkan nama saya dalam thesis masternya nanti. 

" Hafizah, 2015 nanti ada Heat Transfer Conference di Kyoto. ".. begitulah ujar sensei. 
Senpai pula membalas, " masa tu awak dah Doctor Course Tahun 1 ". Saya menterjemahkan bulat-bulat ayat sensei dan senpai. 

Berita apakah ini....?

Tatkala saya rasa bagai peluang untuk mendapatkan biasiswa itu mula malap, Allah memberi semangat baru melalui sensei dan senpai saya dengan perkataan tobikyuu ini. Walaupun saya tidak tahu mungkinkah ia bakal jadi realiti, ataukah sekadar perkataan yang akan menempati hati ini, wAllahua'lam. 

Sekurang-kurangnya hari ini saya akan mengemas beg untuk pulang ke rumah dengan muka tersenyum dan insyaAllah semakin bersemangat untuk meneruskan perjuangan saya disini. 
-takde la mandom dan tak bermaya je.. huhu-

Jika mahu dikaitkan, kejadian ini mengingatkan saya kepada situasi yang berlaku dalam Perang Khandak. InsyaAllah boleh rujuk di buku sirah Raheeq Makhtum (dan seumpamanya) dan juga rujuk surah al-ahzab ayat 20-23. 



Sweet la Allah ni. 

Alhamdulillah ^^.