Dua gerabak. Lambat-lambat. Dua jam satu
Aku membawa pandanganku ke arah jendela. Aku kini dalam perjalananku pulang ke “kampung”. Terasa begitu lama ku tinggalkan “kampungku” Yamaguchi. Aku kira lebih sebulan aku membawa diri mengembara ke kawasan Kantou. Dan hari ini aku kembali. Jujur untuk aku katakan yang kini aku terasa amat janggal. Kalau dahulu aku di himpit di celah-celah himpitan “sardine manusia”. Tapi dalam futsu densya yang sedang aku naiki ini aku bebas sama ada mahu duduk atau berdiri. Malah aku bisa sekali berbaring jika aku mahu!
“すいませんね…” Tiba-tiba beg yang ku sandarkan di tepi kerusi jatuh menimpa kakiku. Seorang makcik tua yang sedar dirinya secara tidak sengaja menjatuhkan begku meminta maaf sambil melemparkan senyuman yang sangat manis. Aku rindukan senyuman itu. Pada saat itulah aku sedar yang aku bagai “kehilangan” senyuman itu. Selama sebulan lebih aku di kawasan bandar, selama itulah aku kehilangan senyuman dan ucapan walaupun sekadar ucapan “こんにちは..”. Barangkali terlalu sibuk mengejar masa dan tidak sempat walau sekadar untuk memaniskan wajah. Sedar tak sedar, aku turut terpengaruh dengan keadaan itu.
Bukan niatku untuk menyalahkan sesiapa di sana. Jauh sekali untuk membandingkan antara satu sama lain. Kita berada di negara orang. Terima dengan terbuka, ambil sebagai ibrah melayari bahtera kehidupan. Cuma aku teringat kembali pandangan Haji Google ( baca: Ustaz Hasrizal ) bila mana beliau di Tanya bagaimana untuk berdakwah di kalangan masyarakat Jepun. Konsep dakwah itu luas. Janganlah dipersempitkan fikiranmu itu. Masih ingat lagi dengan konsep input, proses dan output yang telah sama kita hadamkan di Summer Camp dulu? Aqidah sebagai input, ibadah sebagai proses, dan akhlak itu pula output. Nah! Memaniskan muka itu juga satu akhlak yang mulia bukan? Sama-sama kita tunjukkan kbahawa Islam itu punyai umat-umat yang ceria, yang menyejukkan dan seterusnya mengikat hati-hati yang memandang terpikat dengan keindahan Islam.
Kini aku sudah kembali ke “kampungku” Yamaguchi. Mengisi sisa-sisa akhir percutianku di sini membuatkan aku rindu pada pengembaraanku. Menghayati keindahan malam di Odaiba, kehalusan dan keunikan senibina Venus Fort di Pallete Town, keseronokan di Kota Keriangan Disney Land dan banyak lagi. Bukan itu semua! Bukan!
Aku rindukan saat mengisi hari-hari dalam bulan Ramadhan bersama teman-temanku. Satu per tiga malam di isi untuk sama-sama bermunajat kepadaNya sebelum mengisi perut untuk bersahur. Hari siangnya pula tidak di sia-siakan. Mengisi masa seoptimum mungkin untuk menambah kredit dalam Ramadhan. Dan yang paling menyentuh hatiku pabila melihat semangat teman-temanku bermujahadah untuk turutsama berjamaah dan beriktikaf di masjid. Walaupun mengambil masa lebih dari satu jam, terpaksa bertukar densya beeberapa kali ditambah lagi berjalan kaki selama lebih setengah jam untuk tiba ke masjid. MasyaAllah, moga Allah limpahkan ganjaran sebanyak-banyaknya untuk mujahadahmu itu.
Benar kata Haji Google, ibadah itu merupakan amalan yang “hidup” hasil kepercayaan yang mendalam terhadap akidah yang di anuti dan di yakini. Walau sejauh mana, sesusah mana sekalipun, jika iman berpasak teguh dalam diri, ia bukan menjadi batu penghalang untuk merebut kesempatan mendekatkan diri padaNya.
Moga2 perjalananku ini dapat mendekatkan diri ini dengan Penciptaku, Lillahi Rabbi.
Bak kata cucutokjanggut.."sambil bermotoran merentasi perjalanan..membuka mata dan deria..kutip ibrah yang ada..agar sedar diri itu hamba"
No comments:
Post a Comment