SHAH ALAM – Wacana Tarbawi anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia yang disampaikan Naib Mursyid Am Ikhwan Muslimin, Syeikh Jum’ah Amin dihadiri lebih 2,000 orang yang memenuhi dalam dan luar Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, semalam, Isnin 11 Julai 2011.
Wacana yang bertajuk “Tarbiah Ikhwan Muslimin dan Peranannya dalam Membangunkan Masyarakat” disampaikan oleh Syeikh Jum’ah dalam bentuk yang ringkas, mudah difahami dan meliputi seluruh aspek perubahan yang dilakukan oleh Ikhwan Muslimin dalam rangka membangunkan masyarakat.
Sebelum wacana, semua hadirin berdiri untuk menyanyikan lagu rasmi IKRAM dan Allah Ghayatuna dengan jemputan khas penyanyi rasmi, kumpulan Saff-One. Terjemahan wacana disampaikan oleh Ustaz Abdul Muhaimin Mohd Sahar dari JK Tarbiah IKRAM Pusat dan Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus dari JK Perhubungan Antarabangsa IKRAM Pusat.
Permulaannya, Syeikh Jum’ah menekankan bahawa Islam tidak akan tertegak dengan usaha individu, bahkan Islam tertegak dengan usaha secara kolektif iaitu dengan jamaah. Tanpa usaha secara kolektif, tidak akan akan tertegak syariat Islam secara menyeluruh dalam segenap aspek kehidupan. Tambahnya, Islam bukanlah milik individu atau jamaah, tetapi Islam adalah milik setiap Muslim yang wajib diperjuangkan dan dibela oleh mereka.
Katanya, apa yang diperjuangkan oleh Ikhwan Muslimin mempunyai manhaj perubahannya yang tersendiri berasaskan aqidah, syariat dan akhlak antaranya memperjuangkan hubungan kasih sayang dan ukhuwwah sesama ahli supaya kasih sayang itu tersebar kepada masyarakat dan seluruh alam.
Seterusnya, Ikhwan Muslimin berjuang melahirkan umat yang berkorban dalam menegakkan Islam. Menurutnya dalam perjuangan Islam, sudah pasti ada halangan dan cabarannya daripada musuh Islam, yang memerlukan insan yang ditarbiah dan mampu menghadapi dan mengatasi halangan daripada golongan tersebut.
Beliau menegaskan di hadapan ribuan hadirin bahawa tarbiah yang dibawa oleh Ikhwan Muslimin kepada masyarakat adalah tarbiah ke arah tercapainya pengisian dua kalimah syahadah iaitu jalan yang lurus, bertitik tolak dengan cahaya berupa petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah, dan penghujungnya berakhir dengan syurga. Perubahan masyarakat yang ingin dilakukan mestilah dengan menggunakan pendekatan lemah lembut dan berakhlak mulia. Beliau menyebut kata hikmah Saiyidina Ali r.a. iaitu “Sesiapa yang lembut kata-katanya, maka wajiblah mencintainya.”
Beliau menyorot kembali bagaimana bermulanya perjuangan Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Syeikh Hassan Al-Banna di Mesir. Katanya, keadaan ekonomi umat Islam pada masa itu amat menyedihkan ditambah pula dengan kemiskinan yang merata, maksiat serta jenayah yang berleluasa, dan amalan Islam pula difokuskan kepada beberapa juzuk ibadah sedangkan tiada usaha yang serius untuk membebaskan umat Islam daripada gejala tersebut. Jika ada yang beramal dengan Islam sekalipun, mereka dilihat sebagai kelompok yang terpencil, dipandang rendah dan hina.
Tambahan pula, kata beliau, gerakan Kristian yang menular di kalangan umat Islam menjadikan Syeikh Hassan Al-Banna mengambil peranan untuk melakukan perubahan besar dengan menubuhkan Ikhwan Muslimin lantaran untuk menyedarkan umat Islam yang tertanggal diri mereka semangat jihad, dikerumuni musuh Islam dan ditimpa penyakit wahn, iaitu cinta dunia dan takutkan kematian. Perubahan masyarakat dalam Ikhwan bermula dengan perubahan individu yang ditarbiah untuk mengembalikan kesedaran mereka untuk berjihad, berusaha untuk melakukan perubahan positif dalam masyarakat.
Menurutnya, antara prinsip perubahan yang diketengahkan oleh Ikhwan Muslimin ialah “As-Solah Qobla Al-Islah”, iaitu mengubah diri sebelum mengubah masyarakat. Mereka yang mampu mengubah dirinya, maka ia mampu melakukan Islah iaitu mengubah masyarakat di sekelilingnya.
Untuk mengubah ummah katanya, perlu menjadi abid dahulu, iaitu menghambakan diri kepada Allah swt dengan membanyakkan amal yang medekatkan diri dengan Allah swt.
“Jadilah kamu hamba (Allah swt) sebelum kamu menjadi pemimpin (ummah),” pesannya.
Beliau mengambil contoh program perubahan diri yang dilakukan oleh Ikhwan iaitu Katibah, iaitu malam kerohanian melalui mendengar tazkirah (peringatan) pada malamnya, pada paginya qiyamullail dengan solat tahajjud, berzikir dan membaca Al-Quran dengan penekanan tarbiah individu sebagai elemen perubahan.
Ikhwan Muslimin mengambil pendekatan tarbiah rabbaniyyah dengan cara mendidik ahlinya supaya rapat dengan Allah swt dengan membaca Al-Quran satu juzuk sehari, istighfar 100 kali sehari, qiyamullail minimum dua rakaat, berzikir secara ma’tsur supaya lidah basah dengan mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah swt. Syeikh Jum’ah mengambil kata hikmah Saiyidina Abu Bakr r.a. kepada tentera Islam tentang rahsia kemenangan ke atas musuh iaitu “Sesungguhnya kamu tidak akan dapat kemenangan selagi mana kamu tidak dekat dengan Allah.”
Beliau menyeru hadirin supaya rapatkan diri kepada Allah dengan solat apabila ada masalah. Beliau juga menasihatkan supaya sebelum merancang dan berbincang apa-apa program dakwah, hendaklah berwuduk dan melakukan solat hajat supaya pendakwah itu ingat bahawa Allah sentiasa bersama mereka. Setiap masalah dan ujian dalam dakwah akan mudah dihadapi dengan mendirikan solat.
Beliau turut menggariskan usaha-usaha yang dilakukan oleh Syeikh Hassan Al-Banna dalam membangunkan masyarakat antaranya dengan mengkaji cabaran, halangan dan masalah yang membelenggu ummah, mengkaji pengajaran sejarah Islam dan umat terdahulu dan mengkaji sejarah dan pengajaran gerakan kebangkitan di seluruh dunia. Al-Banna turut membahagikan masyarakat kepada empat golongan dengan pendekatan dakwah yang berbeza iaitu golongan yang percaya kepada kebenaran, golongan oportunis, golongan yang teragak-agak dan golongan yang menentang.
Syeikh Jum’ah turut berpesan supaya jangan kedekut masa dengan Allah swt dalam perjuangan Islam, jika kedekut, nescaya Allah akan ganti dengan kaum lain yang akan memperjuangkannya. Antara tanda Allah swt mencintai kita ialah Allah swt sentiasa memberi taufik kepada kita untuk taat kepada-Nya.
Beliau juga mengingatkan usaha para orientalis yang cuba memesongkan makna sebenar ayat-ayat Al-Quran daripada hati umat Islam supaya lahir individu Muslim yang cacat kefahamannya terhadap Islam yang sebenar. Menurutnya, orientalis cuba memomokkan bahawa isi kandungan Al-Quran adalah isi lama, tiada yang baru.
Beliau menambah, dalam membangunkan masyarakat, pentingnya pendakwah menunjukkan akhlak yang mulia yang merupakan kurniaan daripada Allah swt. Allah kurniakan akhlak seperti rezeki, berbeza antara satu sama lain. Dengan akhlak yang mulia, pendakwah itu akan dicintai oleh Allah swt.
“Allah swt memberi rezeki kepada semua hambanya, tetapi Allah swt tidak memberi agama ini (untuk diperjuangkan) kepada sesiapa yang tidak dicintai-Nya,” akhir pesanan beliau.
ihsan dari:
http://ikram.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=frontpage&Itemid=1
No comments:
Post a Comment