Kebetulan tadi, baru sebentar aku menelefon keluargaku di kampung halaman. Aku hajatkan untuk menelefon semalam. Tetapi apakan daya, lantaran tidak aku tidak berdaya di bantai dengan kepenatan kuliyyah dari awal pagi sehingga lewat senja, langsung aku lupa untuk menghubungi mereka. Rasa bersalah juga kerana semalam jatuhnya pada ulangtahun hari lahir adikku, Dikda yang ke-15.
Selamat Hari Lahir Dikda!
Moga iman, amal dan akhlakmu mekar kembang seiring usiamu yang semakin bertambah. Doakan juga kita bisa menjadi anak2 emak dan abah yang soleh dan solehah.
Banyak juga perubahan yang terjadi kepada keluarga sementelahan dua bulan aku kembali ke Jepun ini. Nampaknya bilangan isi rumah yang mendiam di rumahku ini berkurangan lantaran adikku, Nurul menyambung pelajaran ke Matrikulasi Negeri Sembilan. Katanya dia terpilih untuk ke jurusan Sains Fizikal. Pernah juga ku tawarkan untuk TIDAK menyambung pengajian dalam bidang sains fizikal. Namun aku tidak bisa mengongkong, pilihan di tangannya.
Jika tidak silapku, sudah dua minggu Nurul di situ. Bermakna sudah dua kali juga aku menelefon rumah sebelum ini. Dan pada saat itu jugalah aku menjadi tempat curahan kebosanan adikku Dikda yang mengadu rumah kini terlalu sunyi, terlalu sepi. Masakan tidak, yang meningkat remaja hanyalah dia seorang. Sedang dua orang adik di bawahnya yang masing2 berusia 10 dan 6 tahun hanyalah kanak2 comel yang hanya tahu bermain dan menyiapkan kerja sekolah. Jika sebelum ini Dikda lebih cenderung untuk menumpang di bahu Nurul, namun bila Nurul tiada disisi, ibarat patah sebelah kaki..alahai~
" Kakak, nak tahu tak. Rumah ni kan...sunyi sangat ni. Adik rasa bosan la takde Kak Nurul "
Dikda mengadu padaku tempoh hari.
" Ala, sekarang ni kan ko dah jadi kakak kat rumah. Adik2 kan ada kat rumah. Ko pulak la yang kene jadi kakak sulung "
Aku ingin mengejutkan dia dari sedar. Bukan selamanya mesti bermanja. Tanggungjawab yang terhidang di hadapan harus di jamah sebaiknya.
" Ala, adik kan, adik. Tak nak jadi kakak "
Dikda masih membahasakan dirinya 'adik' meskipun ada dua lagi adik yang lain dibawahnya. Barangkali jarak yang agak jauh antara Dikda dan Izah selama 5 tahun bagai mencipta jurang antara mereka, berbeza fasa. Sebelum Izah lahir menambah seri hidup kami, aku, Nurul, dan Dikdah bagaikan 3 beradik yang selalu beriringan. Jarak masing2 pun seragam 3 tahun. Bermain, bergaduh, selalunya bertiga. Sebab itu Dikda membahasakan dirinya 'adik'.
" Ala Dikda. Kelakarlah ko ni. Dah besar2 pon nak panggil adik jugak..."
Getusku dalam hati.
SATU2 PERGI
Bila Nurul keluar terpisah dari keluarga untuk menyambungkan pengajian ke matrikulasi, tanpa sedar aku terfikir, inilah realiti yang mak dan abah perlu hadapi. Tambahan lagi kami berempat anak perempuan. Mungkin sekarang ini kami terpisah disebabkan menyambung belajar, mana tahu di masa hadapan terpisah dengan keluarga untuk membina keluarga sendiri. Realiti yang selalunya begitu.
Aku tidak dapat membayangkan suasana rumah yang kekosongan seseorang. Kebetulan aku anak sulung, sebelum ini jika aku berada di rumah, secara tidak langsung akan lengkaplah keluargaku.
Tiada satupun dalam adik-beradikku yang memilih untuk duduk asrama. Bahkan aku yang kononnya sulung dan ingin berdikari pernah memilih untuk 'mencuba' duduk di asrama. Namun seingatku hanya bertahan 3 bulan. Lalu aku memilih untuk berpindah sekolah dan kembali bebas di sekolah lamaku. Abah pun sejak dari dahulu seakan tidak membenarkan kami untuk berpisah jauh dari keluarga. Walaupun abah nampak tegas, tetapi bila tindakannya begitu, itulah kasih abah yang tak tenilai. Mungkin lelaki sinonim untuk memendam kasih sayang dari bicara. Tapi daripada gerak laku, tidak terhingga kasih sayang seorang abah.
Pernah suatu hari Nurul mengadu padaku lantaran abah seakan tidak membenarkannya untuk ke Matrikulasi Negeri Sembilan.
" Abah suruh Nurul tunggu tawaran lain lagi. Mana tau dapat yang dekat2 KL atau Selangor. Geram juga Nurul nak terangkan kat abah. Abah macam nak semua anak2 dia belajar dekat UM macam kakak agaknya. Senang nak ambil. Boleh balik tiap minggu "
Alahai, abah. Bukan mudah untuk mendapat tempat yang sekitar Selangor. Rezeki masing2.
Teringat aku ketika memilih tempat untuk ke matrikulasi. Pilihan pertamaku, Kedah. Kedua, Perak. Ketiga, Negeri Sembilan. Sengaja memilih yang jauh untuk pilihan pertama. Seingatku, aku tidak pernah keluar dari Selangor sejak aku bersekolah. Malah untuk berjalan jauh keluar dari Selangor pun hanya sekali dua. mungkin adik-adikku juga sehati sejiwa juga denganku untuk memilih tempat yang jauh2. Alang2 boleh keluar, biar jauh2. Atas alasan itu jugalah aku bisa tercampak sejauh ini!
Oh, lupa tajuk entri berkenaan anak sulung. Meleret jauh sehingga ini.
Bukan apa. Bila ku fikir2kan kembali, tugas 'anak sulung' di rumah kini bertukar ganti. Dulu aku, kemudian Nurul mengambil tempat. Sekarang Dikda pula menjawat. Nurul yang dahulunya seorang yang agak manja, kurang membantu membuat kerja2 rumah menjadi seorang yang sangat bertanggungjawab. Menjaga dan memikirkan hal adik2 sehingga runsing.
Sudah masanya Dikda berubah selaras dengan jawatan yang dimiliki kini.
Anak Sulung.
Jawatan tanpa gaji dan tanpa tawaran jawatan. Segalanya semulajadi. Secara tidak langsung jawatan semulajadi inilah yang mendidik seseorang lebih2 lagi sebagai pembantu. Pembantu emak, pembantu abah mentadbir hal keluarga. Walaupun semudah menyapu sampah.
Alhamdulillah, rasa lega bila melihat adik2 mampu memikul tanggungjawab mengganti ku sebagai 'anak sulung' dengan lebih baik lagi. Moga Dikda dapat menerima segalanya dengan lapang hati, dan dapat membaiki diri dari semasa ke semasa.
saya rindukan asyraf!!!
ReplyDeleteashraf dah besar sekarang ni nik..dia banyak sangat cakap. aku rasa kalau dengar dia nyanyi, atau ajuk suara upin ipin, kop boleh gelak guling2
ReplyDelete