Pages

PnK: dari kaca mataku

Subhanallah, wal hamdulillah, wala ilaha illallah. Allahu akbar.

Tidak tergambar kalimat yang lain, melainkan kalimat puji2an buat Allah. Yang menggerakkan hati2 kami untuk ke program ini. Yang menggerakkan hati2 kami untuk bertemu dengan jiwa2 yang merindukan pertemuan keranaMu. Yang meringankan langkah dan gerak kami untuk ke sini. Meskipun jalan yang ditempuh, bukan mudah. Alhamdulillah untuk segala2Nya ya Allah.

16 Mei hingga 17 Mei, seperti mana yang sedia tertera dalam entri sebelum ini, program Palestin dan Kita diadakan di Hagi Seinen no Ie, Yamaguchi-Ken. Memandangkan aku menetap di Yamaguchi, bolehlah dikatakan bahawa kami ini 'tuan rumah'. Meskipun perjalanan untuk ke sana sahaja memakan masa dua jam.

" Barangsiapa yang meredah jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan mudahkan jalannya ke syurga "
( Riwayat Muslim )

Maka untuk menggapai jalan mudah ke syurga itu sememangnya bukan jalan yang senang. Kami yang dari Yamaguchi ini sahaja merempuh pelbagai halangan sepanjang 2 jam perjalanan. Meredah jalan yang sempit di kawasan hutan, turun naik bukit, sesat hingga dapat mengelilingi seluruh pulau. Agak bimbang juga dan terpalit rasa simpati pada Kak P yang memandu. Moga Allah limpahkan selautan rahmat dan kebaikan buatmu.

Alhamdulillah, tepat jam 11.00 pagi, kami tiba di Hagi Seinenno Ie. Rasa terharu bila melihat rombongan dari Okayama yang berbondong2 datang dengan 3 buah MPV. Seingatku, lebih 20 orang yang Okayama yang bakal turut serta. Rombongan dari Oita juga sudah selamat tiba. Apatah lagi yang dari Hiroshima yang khabarnya menaiki shinkansen untuk ke sini. MasyaAllah, tidak terbayang pengorbanan yang perlu mereka tempuh untuk ke sini. Bertolak seawal jam 5.00 pagi, belum dikira wang yang dibelanjakan...masyaAllah, Allah sahaja tahu betapa besar ganjaran yang dijanjikan buat kalian.

PALESTIN DAN KITA

Palestin dan Kita...

Tajuk yang menjadi pilihan untuk program ini. Menyingkap rahsia di sebalik apa yang menimpa Palestin sebagai titik yang bakal diketengahkan untuk menyingkap perkara yang lebih besar. Kerana tanpa sedar, isu Palestin hanyalah satu juzuk kecil daripada apa yang sebenarnya berlaku kini. Bagaimana bisa kita menganjak paradigma berjuang untuk Palestin jika pada akarnya kita masih belum bisa mengenal siapa kita sebenarnya.

Isu Palestin dipandang sepi. Itu jujur dari aku. Dipandang sepi dari dunia, malah dari saudara2 yang mengaku seagama termasuk aku yang ralit dan lupa. Sedang mereka yang di sana bertempur jiwa dan raga di bumi suci. Memandang Palestin sebagai bukan negara sendiri merupakan kesilapan yang besar hasil ketidak fahaman terhadap agama itu sendiri. Malah ini didorong oleh rancangan jahat Yahudi laknatullah untuk mengasing2kan umat islam menjadi bangsa dan negara yang berasingan. ( Idea pemisahan mengikut negara dan bangsa. Buku sejarah Tingkatan 5)

" Besar sangatke isu Palestin ni. Ada kaitan dengan kefahaman Islam ? "

Besar, memang sangat besar. Bila di suatu jihat, ada umat Islam yang diganyang habis-habisan, sedangkan di kawasan besar yang lain umatnya tidak mempedulikan. Bahkan terlampau asyik meneguk dunia yang sekejap. Berhibur, berkerja, hidup bagai robot yang mengulang2 perkara yang sama setiap hari. Yang suatu masa akan menemui mati, namun masih tidak tahu untuk apa dia diturunkan ke bumi. Inilah yang paling malang, yang paling rugi.

Hal ini tidak akan terjadi jika kita faham untuk apa kita berada di muka bumi ini. Bagaikan seorang pencipta yang punyai tujuan tertentu untuk ciptaannya, begitu juga kita ciptaan Allah ini.

Tidak tahu untuk apa kita dicipta?

Nah, kita kan punya modul dari Ilahi. Al-Quran dan Sunnah. Jika diteliti al-Quran itu, tujuan penciptaan kita ini hanyalah dua.

Ibadah,

dan khalifah

" Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu "
( Surah Az-Zaariyat 51 : 56 )

" Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat : Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi........"
( Surah al-Baqarah 2: 30 )

Hamba?
Ya, tunduk dengan segala perintah Allah. Tinggal segala apa yang Allah larang.

Khalifah?
Ajaklah orang lain kembali memperhambakan diri kepada Allah. Tegakkan syariat Allah dimana2. Hingga bisa tertegaknya Islam sebagai tamadun di muka bumi. Berusaha sehingga seluruh alam sarwajagat tunduk kepada Allah.


Terkulat2 juga mahu menghadam gula2 ilmu yang disampaikan. Kadangkala tertewas syahid dipertengahan semasa menadah telinga. Geli hati juga melihat ada yang tersengguk2 menahan kantuk. Tidak terkecuali, aku. Mata segar bugar kembali usai tamat slot. Aduhai~

Antara perkara yang tidak dapat aku lupa sepanjang program, bila diadakan sambutan hari lahir bagi mereka yang lahir pada bulan Mei. Usai tamat slot hari pertama, Akh Athif membuat pengumuman yang sambutan hari jadi diadakan bagi mereka yang menyambut hari lahir pada bulan Mei. Tiba2 dari pintu belakang, Kak Siti masuk sambil menatang kek keju yang dihias molek dengan whipping cream dan penuh ceri segar diatasnya. Terasa cemburu juga dengan mereka2 yang disambut hari lahirnya ketika itu. Tanpa nyanyian yang bukan2, tanpa riuh rendah tepukan tangan tapi hari lahir disambut dengan ucap selamat dan doa. Lebih2 lagi diadakan di tempat sebaik 'taman syurga' dunia.

DI LAPANGAN PERANG BRIGED AL-AQSA DAN TENTERA YAHUDI

Demi mewujudkan rasa sebenar bagaimana kehidupan yang dilalui oleh rakyat Palestin, pihak urusetia program merancang aktiviti riadhah bercorak 'war games'. Pihak peserta sebagai Briged Al-Aqsa, manakala pihak urusetia sebagai tentera Yahudi. Seawal jam 5.00 pagi kami berhimpun di dataran hadapan shizen no ie. Meskipun pagi itu diramalkan hujan turun, dengan awan mendung, cuaca yang sayu dan suram, masing2 bersemangat untuk bermain. Di kepala masing2, terikat kemas sehelai bandana yang seragam. Tanda semangat ingin berjuang. Senjata yang digunakan hanyalah air dan kertas yang digumal berfungsi bagai batu bila dibasahkan dengan air. Pihak urusetia menyerahkan panji kepada Briged Al-Aqsa. Tanda permainan bakal bermula.

Hujan gerimis mula turun renyai2. Sebaliknya semangat ingin bertempur semakin membara.

Di check point pertama, para peserta yang bergerak dalam kumpulan masing2, perlu menjawab soalan2 yang dikemukakan urusetia yang bertindak sebagai Yahudi. Menjawab soalan perlu mengikiut masa yang ditetapkan. Jika tidak, maka dalam kumpulan perlu dikorbankan seorang sebagai tawanan. Yang mana tawanan tersebut perlu diikat tangannya oleh ahli kumpulannya sendiri.

Di check point kedua, peserta diuji dengan ujian kelasakan. Berlari merentas halangan dalam masa yang singkat. Seakan2 berada ditembok pemisah, sudahlah disoal siasat, jika mahu merentas tembok halangan juga, perlulah merempuh kesusahan yang menyakitkan. Teringat kata2 akh yang menyampaikan slotnya semalam,

" Tembok pemisah ini sungguh menyiksakan. Bayangkan jika ingin merentas masuk, bukan sahaja perlu merentasi ketinggiannya, malah perlu juga merentas kawat duri. Tidak cukup dengan itu, ada pula wayar renjatan elektrik. "

Bahkan tembok ini sebenarnya dibina dalam Palestin . Tembok yang memisahkan antara penduduk2 Palestin sendiri. Terbayang penderitaan rakyat Palestin yang terpisah antara satu sama lain.

Sebaik sahaja tamat dikedua2 check point, tibalah masa untuk bertempur di check point ketiga. Sementara pihak Briged Al-Aqsa merancang strategi bertempur, pihak urusetia yang memainkan peranan sebagai Yahudi mengambil tempat persembunyian. Sebaik sahaja permainan bermula, pertempuran sengit berlaku. Aku yang bersembunyi disebalik pohonan agak pelik bila pihak lawan masih belum kunjung tiba. Bila ku intai, pihak Briged al-Aqsa masih tidak berganjak dari tanah lapang. Mereka bertempur habis-habisan di situ. Pihak Yahudi menyerang dengan 'bom surat khabar'. Maka serangan itu dibalas secara bertalu2 oleh pihak Briged al-Aqsa. Ramai Yahudi yang tewas bertempur. Pihak Briged al-Aqsa mara ke hadapan. Sekelip mata mereka berjaya memacakkan panji kebanggaan. Terbukti pihak Islam menang menentang lawan.



Bila diminta seorang wakil dari peserta untuk membuat ulasan tentang 'war games', ulasannya benar2 menarik hati



" Sewaktu kami merancang strategi, kami dah bersetuju untuk bermain di tanah lapang berbanding lari bersembunyi. Biar semua bersatu hati. Nampak sahaja teman yang di serang, cepat2 kami selamatkan. Lagipun, kami sudah agak tentu urusetia tidak berminat bermain di tanah lapang dan ramai yang bersembunyi di tempat lain.."



Ujarnya sambil tergelak kecil. Aku juga terasa geli hati memikirkan musuh yang ditunggu tidak tiba2. Rupanya mereka punyai strategi yang cekap. Bukan seperti kami yang tidak merancang dengan terperinci. Mungkin juga didorong semangat untuk menyerang hendap seperti yang disaksikan di kaca televisyen. Sedikit sebanyak terselit rasa kagum bila mereka menyatakan rasa bersatu hati dan sama2 melindungi. Ya, permainan ini hanyalah permainan. Mana tahu bisa menebak hati2,untuk merasa betapa gentingnya saudara kita yang bertarung hidup di sana.



BOM TOPOGRAFI



Rasa kagum bila Akh A menyatakan yang stuktur HAMAS yang begitu licik. Walaupun diserang bertubi2 oleh pihak Yahudi laknatullah, walaupun ramai yang terkorban, masih ramai juga tentera mereka. Kelicikan strategi mereka sehingga angka yang masih ada tidak dapat dikenal pasti. Bila Akh A mengimbau kembali peristiwa hitam yang berlaku pada awal tahun ini, rasa sebak mengenangkan ribuan yang syahid di Palestin. Nampaknya Yahudi benar2 kaum yang penakut, malah pengecut! Menyerang insan yang lemah dan tidak berupaya, dalam tembok pemisah yang mereka bina sendiri. Sudah pastilah penduduk didalamnya tidak dapat lari menyelamatkan diri.



Namun, perancangan Allah adalah sebaik2 perancangan. Dan semangat jihad mereka terutamanya wanita2 masih utuh. Walaupun mereka tidak bisa mengangkat senjata, mereka punyai bom yang ampuh. Mereka membina bom topografi!



Tidak dinafikan, dalam serangan awal tahun lalu, begitu ramai yang terkorban. Akan tetapi, maha suci Allah, Palestin mencatatkan kadar kelahiran berganda, 2 kali ganda melebihi angka yang syahid. Bersemangat para ibu untuk melahirkan bakal pejuang. Tidak tergambar rasanya bagaimana anak yang dilahirkan nanti dibesarkan dalam suasana yang menuntut mereka untuk berjihad. MasyaAllah, pasti hebat anak itu!



SELAMAT TINGGAL PnK!



Tepat jam 2.00 petang, hari kedua merangkap hari terakhir program, maka PnK melabuhkan tirainya. Dua hari berprogram, walaupun jika dikira secara jam, hanyalah 24 jam program berjalan, bila terisi dengan sesuatu yang bernilai, maka serasaku masa nya lebih dari 24 jam. Tanpa sedar, selain mengisi dada dengan ilmu dan penghayatan, terbina juga sebuah hubungan. Aku yang sebelum ini hanya mengenali beberapa nama sebelum ini, bila dapat bersama di PnK ini, terasa begitu erat sekali. Sudah pastilah saat ini merupakan saat yang sayu bagi kami.



Sebelum menamatkan program, kami sama2 berganding tangan. Lagu doa rabithah dimainkan. Satu2 lirik lagu yang merupakan doa disebut dan dihayati.



" Aku tidak berseorangan, inilah teman2 yang bakal memimpin tanganku dalam satu barisan. Moga kami diberi kekuatan untuk berjuang. Satukanlah hati kami..."



butir2 harapan berbunga di hati.



Tasbih kafarah dan Surah Al-Asr dibaca. Masing2 bersalam dan berpelukan sebelum pulang. Hujan gerimis yang turun bagai tahu perasaanku yang sayu.



" Moga kita dapat bertemu lagi. Pertemuan kita tidak bernoktah di sini, insyaAllah kita bakal bertemu lagi..."



Moga berjumpa lagi di 'taman syurga' akan datang, insyaAllah



















No comments:

Post a Comment