Pages

' Homework " dari Kak Hanny

Membaca komen dari Kak Hanny dalam entri yang lepas. Kak Hanny men'tag' aku rupanya.

Jika Kak Hanny menerima tugasan 'tag' yang diturunkan kepadanya sebagai 'homework'. Aku sebagai penyambung waris pun menurut sebagai 'homework'.

Cucutokjanggut jawab ye, Kak Hanny.

1) copy badge"2009 CUTE'S BLOGGER AWARD"untuk letakkan diblog anda.

2) Link/ceritakan kembali siapa yang memberikan award ini kepada anda?

Seperti yang aku nyatakan di awal tadi, Kak Hanny yang anugerahkan award ni. Terima kasih banyak2 Kak Hanny. Jika nak ceritakan serba sedikit siapa Kak Hanny pada pandangan cucutokjanggut ni, Kak Hanny ni salah seorang super-senpai ( super-senior ) di Yamaguchi ini. Sekarang menuntut sebagai pelajar PhD di Yamaguchi Daigaku. Kak Hanny sudah mendirikan rumah tangga dengan Abang Farid, dan punyai 2 orang anak lelaki yang comel ( serasaku sudah makin kacak ). Kami ini punyai satu persamaan yang nyata. Huhu..kami ini orang jawa, tapi Kak Hanny jawa Johor. Kak Hanny ini lah tempat kami menumpang kasih ibu, mengadu jika ada galau di hati, tempat meminta pandangan juga nasihat.

Antara satu perkara yang ingin aku tonjolkan, Kak Hanny ini merupakan pendorong pertama aku untuk berblog. Masih teringat lagi tatkala Kak Hanny mengajar aku dan temanku, Nas bagaimana mahu berblog. Kebetulan, blog ini sudah jadi semacam budaya di Yamaguchi. Aku hanya menambah bilangan sahaja! Kredit untukmu Kak Hanny...

3) Setiap blogger mesti menyatakan beberapa fakta/hobi diri sendiri sebelum memilih penerima award seterusnya.

> Kenapa cucutokjanggut? Awak ni betul2 cucu Tok Janggut ke? Masakan darah cucutokjanggut mengalir dalam kapilariku. Tok Janggut orang Kelantan, aku orang jawa. Jauh panggang dari api. Cuma, nama cucutokjanggut itu aku ambil sempena....

Ah, biarkan dahulu ia menjadi rahsia.

> Aku ini peminat motosikal berkuasa tinggi. Tapi itu dahulu, sekarang pun minat lagi. Cuma ada suatu kejadian yang buat minatku tidak tercapai untuk menunggang motor besar sekarang.

Apa kejadiannya? Oh, seperti biasa..aku rahsiakan dahulu.

> Benda yang paling aku minat di Jepun ini adalah menaiki keretapi. Tidak kiralah, yang futsu densya ke, yang chikatetsu ke,.....shinkansen aku naik jika tiada pilihan lain. Jika berpeluang, cubalah aku mempelawa untuk sesiapa merasai pengalaman menaiki densya di Tokyo! InsyaAllah, saikou!!!!!!!!

> Dahulu aku sukakan warna biru, tapi sekarang warna itu bukan lagi jadi kegemaran. Tapi hitam, coklat dan warna2 tanah tetap jadi idaman.

> 111188...oh ini bukan nombor plat motor.

4) Anda perlu memilih 6 pemenang award seterusnya dan menyatakan pada mereka diblog anda...

Hurm, Kak Hanny dah langgar peraturan dengan kurangkan dua calon. Kalau cucutokjanggut nak anugerahkan kepada semua bloggers boleh?


sekkaku..せっかく

" Sekkaku nihon ni ryuugakushiteiru toki ni nihonjin ya gaikoku jin no tomodachi wo takusang tsukuritai "
- Alang2 belajar di Jepun, saya mahu berkawan dengan seramai mana nihonjin dan pelajar asing yang lain-

Sekkaku.

Perbendaharaan baru yang ku belajar dari kuliyyah Nakamizo Sensei kira2 2 minggu yang lalu. Perkataan sekkaku itu, jika ingin diterjemahkan ke bahasa Melayu, lidahku enak mengandaikannya sebagai 'alang2'.

Contoh yang sensei beri itu seakan tepat dan seirama dengan pesan senpai kepadaku beberapa bulan lepas.

" Korang, dah sekkaku duduk nihon ni, berkawanlah dengan ramai kawan nihonjin. "

Bukan niat untuk menghalang perpaduan ke'melayu'an yang terbentuk di antara pelajar2 di Malaysia di sesebuah negara asing. Tapi, alang2 sudah belajar di sini, peluang untuk berkawan dengan teman2 yang bukan senegara aku kira amat menguntungkan!

Itu mesej yang aku faham dari pesan senpaiku itu.

LOGHAT

"..........................jake.."

" Ish dia ni. kalau cakap mesti nak ada 'kke' kat belakang. Apalah maksud benda ni. Dia cakap pun aku jadi tak faham "

Keluhku sewaktu awal2 aku di Jepun dahulu. Terngiang2 suara Uki menyebut 'jakke' disetiap hujung ayat yang keluar.

Suatu hari, bila kami duduk berehat dan berbual2, Uki dan Momo sedar bahawa aku kadangkala terkulat2 dan mengerutkan dahi bila perkatan 'jakke' keluar.

" Hafiza, jakke tte shitteru? "
- Hafiza, tahu maksud 'jakke' tu?

" Iie ( sambil menggelengkan kepala). Shiran "
-Tak. Tak tahu apa maksud dia.

" Jakke wa ne, Hiroshima hougende dakara to iu imi"
-Jakke tu kan, loghat Hiroshima. Maksud dia 'dakara'.

Aduh! Rasa rugi pula untuk bertanya sejak awal2 dahulu. Serasaku, bila mendengar Uki bercakap, awal ayatnya dapat sahaja aku fahami. Cuma bila tiba sahaja perkataan 'jakke' itu, secara tidak langsung membuatkan aku tidak faham keseluruhan ayat yang diucapkan.

KELEBIHAN KENAL YANG LAIN

" Wahai manusia! Sungguh Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa2 dan bersuku2 agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha teliti. "
( Surah al-Hujuraat 49 : 13 )

Indahnya bila dapat melihat keunikan Allah menciptakan berbagai2 bangsa di muka bumi ini. Jika yang namanya bangsa Jepun, di kenali sebagai yang menepati masa, menjaga prioriti orang lain, sangat teliti dan macam2 lagi. Jika yang namanya bangsa Melayu, sinonim dengan perwatakan yang ceria, mudah bergaul mesra, malas? ( Ops, jangan dtimpakan malas itu kepada semua Melayu ya! :D ), bersopan santun, dan banyak lagi.

Bukan ingin melihat bangsa mana yang paling cantik, bangsa mana berkulit putih, bangsa mana yang kaya atau miskin, tapi Allah muliakan sesuatu bangsa itu pun atas nilai ketakwaan. Nilai tunduk dan patuhnya hamba itu kepada Allah. Adil kan? Maka tidak wujudlah banding beza berdasarkan pandangan fizikal yang menyenangkan hati manusia seperti yang disebutkan diatas.

Sangat salah jika menganggap yang berkulit putih itu lebih mulia berbanding yang berkulit hitam. Luqmanul Hakim , walaupun berkulit hitam, Allah rakamkan kata2nya menjadi satu surah khusus dalam al-Quran.

Bergaul dengan bangsa2 lain ini, bukan untuk menyerap keseluruhan budaya mereka. Kita kan punya penapis akal dan hati yang bisa berfungsi? Maka tapislah budaya lain yang masuk. Yang baik kita serap dan adaptasikan dalam hidup. Yang tidak baik kita jadikan sempadan dan lontarkan jauh2.

Kadangkala aku bertanya pada diri, antara aku dan bangsa lain ini, siapa yang jadi nila yang pekat?

Nila yang bisa mempengaruhi warna cecair lain bila dicampurkan walaupun setitis.

Menjadi nila yang membawa fungsi cantiknya Islam itu. Yang bisa menyebar dan mengubah unsur kurang baik dalam daya hidup dan budaya mereka. Dan jika diizinkan Allah, Allah akan tebak pintu hidayah buat mereka. Aku juga insan yang masih lagi punyai sangat2 banyak cacat cela dan kurangnya. Moga Allah beri kekuatan untuk jadi nila pekat itu.

REALITI

" Ala, tengok TV je pon dah boleh belajar Nihongo. Boleh juga belajar budaya dari mereka "

Ohho. Lupakah kita ini berada dimana?
Jika begitu, baik belajar di Malaysia sahaja. Tak gitu ?

Belajar dari TV, alhamdulillah, banyak juga pelajaran yang kita perolehi. Bukan setakat bahasa, malah lebih dari itu. Cuma jika di TV, ia bukanlah realiti. Ia cuma suatu bonus. Bila masuk sendiri dalam masyarakat yang sebenar2 nya, tahulah kita bagaimana sesuatu bangsa itu. InsyaAllah bisa beri nilai berharga untuk kehidupan kita.

Jika dapat berkawan dengan saudara seislam yang berlainan bangsa, kita dapat lihat cara mereka yang unik. Paling jelas, dan paling ketara, bila tiba bulan puasa, saat menunaikan solat tarawikh, nampak berbeza cara mereka. Unik bukan?

Alhamdulillah, dalam ramai2 masyarakat Melayu di Malaysia, kita terpilih untuk ke suatu negara yang jauh berbeza dengan Malaysia. Emas yang bakal dibawa pulang nanti bukan sekadar segulung ijazah, sebuah motorsikal besar, tapi yang lebih berharga, nilai hidup yang di perolehi. Nilai kehambaan yang bertambah.

P/S: Dalam masa yang sama, moga2 persaudaraan kita yang sseagama dan serumpun ini bertambah utuh.

InsyaAllah, sama2 kita usahakan ya!

Dia lah Sulung

Jarang2 sekali aku membuat jarak sebegini panjang antara sesebuah entri. Biasanya, setiap hari ada sahaja yang inginku luahkan. Bukan sengaja ingin menempel debu di sini, tapi ada sesetengah perkara yang seeloknya aku simpan sahaja. InsyaAllah, moga aku diberi kekuatan untuk terus mengalirkan listrik fikir, walaupun aku tidak menitipkan sebagai perkongsian di sini.

Kebetulan tadi, baru sebentar aku menelefon keluargaku di kampung halaman. Aku hajatkan untuk menelefon semalam. Tetapi apakan daya, lantaran tidak aku tidak berdaya di bantai dengan kepenatan kuliyyah dari awal pagi sehingga lewat senja, langsung aku lupa untuk menghubungi mereka. Rasa bersalah juga kerana semalam jatuhnya pada ulangtahun hari lahir adikku, Dikda yang ke-15.

Selamat Hari Lahir Dikda!
Moga iman, amal dan akhlakmu mekar kembang seiring usiamu yang semakin bertambah. Doakan juga kita bisa menjadi anak2 emak dan abah yang soleh dan solehah.

Banyak juga perubahan yang terjadi kepada keluarga sementelahan dua bulan aku kembali ke Jepun ini. Nampaknya bilangan isi rumah yang mendiam di rumahku ini berkurangan lantaran adikku, Nurul menyambung pelajaran ke Matrikulasi Negeri Sembilan. Katanya dia terpilih untuk ke jurusan Sains Fizikal. Pernah juga ku tawarkan untuk TIDAK menyambung pengajian dalam bidang sains fizikal. Namun aku tidak bisa mengongkong, pilihan di tangannya.

Jika tidak silapku, sudah dua minggu Nurul di situ. Bermakna sudah dua kali juga aku menelefon rumah sebelum ini. Dan pada saat itu jugalah aku menjadi tempat curahan kebosanan adikku Dikda yang mengadu rumah kini terlalu sunyi, terlalu sepi. Masakan tidak, yang meningkat remaja hanyalah dia seorang. Sedang dua orang adik di bawahnya yang masing2 berusia 10 dan 6 tahun hanyalah kanak2 comel yang hanya tahu bermain dan menyiapkan kerja sekolah. Jika sebelum ini Dikda lebih cenderung untuk menumpang di bahu Nurul, namun bila Nurul tiada disisi, ibarat patah sebelah kaki..alahai~

" Kakak, nak tahu tak. Rumah ni kan...sunyi sangat ni. Adik rasa bosan la takde Kak Nurul "

Dikda mengadu padaku tempoh hari.

" Ala, sekarang ni kan ko dah jadi kakak kat rumah. Adik2 kan ada kat rumah. Ko pulak la yang kene jadi kakak sulung "

Aku ingin mengejutkan dia dari sedar. Bukan selamanya mesti bermanja. Tanggungjawab yang terhidang di hadapan harus di jamah sebaiknya.

" Ala, adik kan, adik. Tak nak jadi kakak "

Dikda masih membahasakan dirinya 'adik' meskipun ada dua lagi adik yang lain dibawahnya. Barangkali jarak yang agak jauh antara Dikda dan Izah selama 5 tahun bagai mencipta jurang antara mereka, berbeza fasa. Sebelum Izah lahir menambah seri hidup kami, aku, Nurul, dan Dikdah bagaikan 3 beradik yang selalu beriringan. Jarak masing2 pun seragam 3 tahun. Bermain, bergaduh, selalunya bertiga. Sebab itu Dikda membahasakan dirinya 'adik'.

" Ala Dikda. Kelakarlah ko ni. Dah besar2 pon nak panggil adik jugak..."

Getusku dalam hati.

SATU2 PERGI

Bila Nurul keluar terpisah dari keluarga untuk menyambungkan pengajian ke matrikulasi, tanpa sedar aku terfikir, inilah realiti yang mak dan abah perlu hadapi. Tambahan lagi kami berempat anak perempuan. Mungkin sekarang ini kami terpisah disebabkan menyambung belajar, mana tahu di masa hadapan terpisah dengan keluarga untuk membina keluarga sendiri. Realiti yang selalunya begitu.

Aku tidak dapat membayangkan suasana rumah yang kekosongan seseorang. Kebetulan aku anak sulung, sebelum ini jika aku berada di rumah, secara tidak langsung akan lengkaplah keluargaku.

Tiada satupun dalam adik-beradikku yang memilih untuk duduk asrama. Bahkan aku yang kononnya sulung dan ingin berdikari pernah memilih untuk 'mencuba' duduk di asrama. Namun seingatku hanya bertahan 3 bulan. Lalu aku memilih untuk berpindah sekolah dan kembali bebas di sekolah lamaku. Abah pun sejak dari dahulu seakan tidak membenarkan kami untuk berpisah jauh dari keluarga. Walaupun abah nampak tegas, tetapi bila tindakannya begitu, itulah kasih abah yang tak tenilai. Mungkin lelaki sinonim untuk memendam kasih sayang dari bicara. Tapi daripada gerak laku, tidak terhingga kasih sayang seorang abah.

Pernah suatu hari Nurul mengadu padaku lantaran abah seakan tidak membenarkannya untuk ke Matrikulasi Negeri Sembilan.

" Abah suruh Nurul tunggu tawaran lain lagi. Mana tau dapat yang dekat2 KL atau Selangor. Geram juga Nurul nak terangkan kat abah. Abah macam nak semua anak2 dia belajar dekat UM macam kakak agaknya. Senang nak ambil. Boleh balik tiap minggu "

Alahai, abah. Bukan mudah untuk mendapat tempat yang sekitar Selangor. Rezeki masing2.

Teringat aku ketika memilih tempat untuk ke matrikulasi. Pilihan pertamaku, Kedah. Kedua, Perak. Ketiga, Negeri Sembilan. Sengaja memilih yang jauh untuk pilihan pertama. Seingatku, aku tidak pernah keluar dari Selangor sejak aku bersekolah. Malah untuk berjalan jauh keluar dari Selangor pun hanya sekali dua. mungkin adik-adikku juga sehati sejiwa juga denganku untuk memilih tempat yang jauh2. Alang2 boleh keluar, biar jauh2. Atas alasan itu jugalah aku bisa tercampak sejauh ini!

Oh, lupa tajuk entri berkenaan anak sulung. Meleret jauh sehingga ini.

Bukan apa. Bila ku fikir2kan kembali, tugas 'anak sulung' di rumah kini bertukar ganti. Dulu aku, kemudian Nurul mengambil tempat. Sekarang Dikda pula menjawat. Nurul yang dahulunya seorang yang agak manja, kurang membantu membuat kerja2 rumah menjadi seorang yang sangat bertanggungjawab. Menjaga dan memikirkan hal adik2 sehingga runsing.

Sudah masanya Dikda berubah selaras dengan jawatan yang dimiliki kini.

Anak Sulung.

Jawatan tanpa gaji dan tanpa tawaran jawatan. Segalanya semulajadi. Secara tidak langsung jawatan semulajadi inilah yang mendidik seseorang lebih2 lagi sebagai pembantu. Pembantu emak, pembantu abah mentadbir hal keluarga. Walaupun semudah menyapu sampah.

Alhamdulillah, rasa lega bila melihat adik2 mampu memikul tanggungjawab mengganti ku sebagai 'anak sulung' dengan lebih baik lagi. Moga Dikda dapat menerima segalanya dengan lapang hati, dan dapat membaiki diri dari semasa ke semasa.




PnK: dari kaca mataku

Subhanallah, wal hamdulillah, wala ilaha illallah. Allahu akbar.

Tidak tergambar kalimat yang lain, melainkan kalimat puji2an buat Allah. Yang menggerakkan hati2 kami untuk ke program ini. Yang menggerakkan hati2 kami untuk bertemu dengan jiwa2 yang merindukan pertemuan keranaMu. Yang meringankan langkah dan gerak kami untuk ke sini. Meskipun jalan yang ditempuh, bukan mudah. Alhamdulillah untuk segala2Nya ya Allah.

16 Mei hingga 17 Mei, seperti mana yang sedia tertera dalam entri sebelum ini, program Palestin dan Kita diadakan di Hagi Seinen no Ie, Yamaguchi-Ken. Memandangkan aku menetap di Yamaguchi, bolehlah dikatakan bahawa kami ini 'tuan rumah'. Meskipun perjalanan untuk ke sana sahaja memakan masa dua jam.

" Barangsiapa yang meredah jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan mudahkan jalannya ke syurga "
( Riwayat Muslim )

Maka untuk menggapai jalan mudah ke syurga itu sememangnya bukan jalan yang senang. Kami yang dari Yamaguchi ini sahaja merempuh pelbagai halangan sepanjang 2 jam perjalanan. Meredah jalan yang sempit di kawasan hutan, turun naik bukit, sesat hingga dapat mengelilingi seluruh pulau. Agak bimbang juga dan terpalit rasa simpati pada Kak P yang memandu. Moga Allah limpahkan selautan rahmat dan kebaikan buatmu.

Alhamdulillah, tepat jam 11.00 pagi, kami tiba di Hagi Seinenno Ie. Rasa terharu bila melihat rombongan dari Okayama yang berbondong2 datang dengan 3 buah MPV. Seingatku, lebih 20 orang yang Okayama yang bakal turut serta. Rombongan dari Oita juga sudah selamat tiba. Apatah lagi yang dari Hiroshima yang khabarnya menaiki shinkansen untuk ke sini. MasyaAllah, tidak terbayang pengorbanan yang perlu mereka tempuh untuk ke sini. Bertolak seawal jam 5.00 pagi, belum dikira wang yang dibelanjakan...masyaAllah, Allah sahaja tahu betapa besar ganjaran yang dijanjikan buat kalian.

PALESTIN DAN KITA

Palestin dan Kita...

Tajuk yang menjadi pilihan untuk program ini. Menyingkap rahsia di sebalik apa yang menimpa Palestin sebagai titik yang bakal diketengahkan untuk menyingkap perkara yang lebih besar. Kerana tanpa sedar, isu Palestin hanyalah satu juzuk kecil daripada apa yang sebenarnya berlaku kini. Bagaimana bisa kita menganjak paradigma berjuang untuk Palestin jika pada akarnya kita masih belum bisa mengenal siapa kita sebenarnya.

Isu Palestin dipandang sepi. Itu jujur dari aku. Dipandang sepi dari dunia, malah dari saudara2 yang mengaku seagama termasuk aku yang ralit dan lupa. Sedang mereka yang di sana bertempur jiwa dan raga di bumi suci. Memandang Palestin sebagai bukan negara sendiri merupakan kesilapan yang besar hasil ketidak fahaman terhadap agama itu sendiri. Malah ini didorong oleh rancangan jahat Yahudi laknatullah untuk mengasing2kan umat islam menjadi bangsa dan negara yang berasingan. ( Idea pemisahan mengikut negara dan bangsa. Buku sejarah Tingkatan 5)

" Besar sangatke isu Palestin ni. Ada kaitan dengan kefahaman Islam ? "

Besar, memang sangat besar. Bila di suatu jihat, ada umat Islam yang diganyang habis-habisan, sedangkan di kawasan besar yang lain umatnya tidak mempedulikan. Bahkan terlampau asyik meneguk dunia yang sekejap. Berhibur, berkerja, hidup bagai robot yang mengulang2 perkara yang sama setiap hari. Yang suatu masa akan menemui mati, namun masih tidak tahu untuk apa dia diturunkan ke bumi. Inilah yang paling malang, yang paling rugi.

Hal ini tidak akan terjadi jika kita faham untuk apa kita berada di muka bumi ini. Bagaikan seorang pencipta yang punyai tujuan tertentu untuk ciptaannya, begitu juga kita ciptaan Allah ini.

Tidak tahu untuk apa kita dicipta?

Nah, kita kan punya modul dari Ilahi. Al-Quran dan Sunnah. Jika diteliti al-Quran itu, tujuan penciptaan kita ini hanyalah dua.

Ibadah,

dan khalifah

" Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu "
( Surah Az-Zaariyat 51 : 56 )

" Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat : Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi........"
( Surah al-Baqarah 2: 30 )

Hamba?
Ya, tunduk dengan segala perintah Allah. Tinggal segala apa yang Allah larang.

Khalifah?
Ajaklah orang lain kembali memperhambakan diri kepada Allah. Tegakkan syariat Allah dimana2. Hingga bisa tertegaknya Islam sebagai tamadun di muka bumi. Berusaha sehingga seluruh alam sarwajagat tunduk kepada Allah.


Terkulat2 juga mahu menghadam gula2 ilmu yang disampaikan. Kadangkala tertewas syahid dipertengahan semasa menadah telinga. Geli hati juga melihat ada yang tersengguk2 menahan kantuk. Tidak terkecuali, aku. Mata segar bugar kembali usai tamat slot. Aduhai~

Antara perkara yang tidak dapat aku lupa sepanjang program, bila diadakan sambutan hari lahir bagi mereka yang lahir pada bulan Mei. Usai tamat slot hari pertama, Akh Athif membuat pengumuman yang sambutan hari jadi diadakan bagi mereka yang menyambut hari lahir pada bulan Mei. Tiba2 dari pintu belakang, Kak Siti masuk sambil menatang kek keju yang dihias molek dengan whipping cream dan penuh ceri segar diatasnya. Terasa cemburu juga dengan mereka2 yang disambut hari lahirnya ketika itu. Tanpa nyanyian yang bukan2, tanpa riuh rendah tepukan tangan tapi hari lahir disambut dengan ucap selamat dan doa. Lebih2 lagi diadakan di tempat sebaik 'taman syurga' dunia.

DI LAPANGAN PERANG BRIGED AL-AQSA DAN TENTERA YAHUDI

Demi mewujudkan rasa sebenar bagaimana kehidupan yang dilalui oleh rakyat Palestin, pihak urusetia program merancang aktiviti riadhah bercorak 'war games'. Pihak peserta sebagai Briged Al-Aqsa, manakala pihak urusetia sebagai tentera Yahudi. Seawal jam 5.00 pagi kami berhimpun di dataran hadapan shizen no ie. Meskipun pagi itu diramalkan hujan turun, dengan awan mendung, cuaca yang sayu dan suram, masing2 bersemangat untuk bermain. Di kepala masing2, terikat kemas sehelai bandana yang seragam. Tanda semangat ingin berjuang. Senjata yang digunakan hanyalah air dan kertas yang digumal berfungsi bagai batu bila dibasahkan dengan air. Pihak urusetia menyerahkan panji kepada Briged Al-Aqsa. Tanda permainan bakal bermula.

Hujan gerimis mula turun renyai2. Sebaliknya semangat ingin bertempur semakin membara.

Di check point pertama, para peserta yang bergerak dalam kumpulan masing2, perlu menjawab soalan2 yang dikemukakan urusetia yang bertindak sebagai Yahudi. Menjawab soalan perlu mengikiut masa yang ditetapkan. Jika tidak, maka dalam kumpulan perlu dikorbankan seorang sebagai tawanan. Yang mana tawanan tersebut perlu diikat tangannya oleh ahli kumpulannya sendiri.

Di check point kedua, peserta diuji dengan ujian kelasakan. Berlari merentas halangan dalam masa yang singkat. Seakan2 berada ditembok pemisah, sudahlah disoal siasat, jika mahu merentas tembok halangan juga, perlulah merempuh kesusahan yang menyakitkan. Teringat kata2 akh yang menyampaikan slotnya semalam,

" Tembok pemisah ini sungguh menyiksakan. Bayangkan jika ingin merentas masuk, bukan sahaja perlu merentasi ketinggiannya, malah perlu juga merentas kawat duri. Tidak cukup dengan itu, ada pula wayar renjatan elektrik. "

Bahkan tembok ini sebenarnya dibina dalam Palestin . Tembok yang memisahkan antara penduduk2 Palestin sendiri. Terbayang penderitaan rakyat Palestin yang terpisah antara satu sama lain.

Sebaik sahaja tamat dikedua2 check point, tibalah masa untuk bertempur di check point ketiga. Sementara pihak Briged Al-Aqsa merancang strategi bertempur, pihak urusetia yang memainkan peranan sebagai Yahudi mengambil tempat persembunyian. Sebaik sahaja permainan bermula, pertempuran sengit berlaku. Aku yang bersembunyi disebalik pohonan agak pelik bila pihak lawan masih belum kunjung tiba. Bila ku intai, pihak Briged al-Aqsa masih tidak berganjak dari tanah lapang. Mereka bertempur habis-habisan di situ. Pihak Yahudi menyerang dengan 'bom surat khabar'. Maka serangan itu dibalas secara bertalu2 oleh pihak Briged al-Aqsa. Ramai Yahudi yang tewas bertempur. Pihak Briged al-Aqsa mara ke hadapan. Sekelip mata mereka berjaya memacakkan panji kebanggaan. Terbukti pihak Islam menang menentang lawan.



Bila diminta seorang wakil dari peserta untuk membuat ulasan tentang 'war games', ulasannya benar2 menarik hati



" Sewaktu kami merancang strategi, kami dah bersetuju untuk bermain di tanah lapang berbanding lari bersembunyi. Biar semua bersatu hati. Nampak sahaja teman yang di serang, cepat2 kami selamatkan. Lagipun, kami sudah agak tentu urusetia tidak berminat bermain di tanah lapang dan ramai yang bersembunyi di tempat lain.."



Ujarnya sambil tergelak kecil. Aku juga terasa geli hati memikirkan musuh yang ditunggu tidak tiba2. Rupanya mereka punyai strategi yang cekap. Bukan seperti kami yang tidak merancang dengan terperinci. Mungkin juga didorong semangat untuk menyerang hendap seperti yang disaksikan di kaca televisyen. Sedikit sebanyak terselit rasa kagum bila mereka menyatakan rasa bersatu hati dan sama2 melindungi. Ya, permainan ini hanyalah permainan. Mana tahu bisa menebak hati2,untuk merasa betapa gentingnya saudara kita yang bertarung hidup di sana.



BOM TOPOGRAFI



Rasa kagum bila Akh A menyatakan yang stuktur HAMAS yang begitu licik. Walaupun diserang bertubi2 oleh pihak Yahudi laknatullah, walaupun ramai yang terkorban, masih ramai juga tentera mereka. Kelicikan strategi mereka sehingga angka yang masih ada tidak dapat dikenal pasti. Bila Akh A mengimbau kembali peristiwa hitam yang berlaku pada awal tahun ini, rasa sebak mengenangkan ribuan yang syahid di Palestin. Nampaknya Yahudi benar2 kaum yang penakut, malah pengecut! Menyerang insan yang lemah dan tidak berupaya, dalam tembok pemisah yang mereka bina sendiri. Sudah pastilah penduduk didalamnya tidak dapat lari menyelamatkan diri.



Namun, perancangan Allah adalah sebaik2 perancangan. Dan semangat jihad mereka terutamanya wanita2 masih utuh. Walaupun mereka tidak bisa mengangkat senjata, mereka punyai bom yang ampuh. Mereka membina bom topografi!



Tidak dinafikan, dalam serangan awal tahun lalu, begitu ramai yang terkorban. Akan tetapi, maha suci Allah, Palestin mencatatkan kadar kelahiran berganda, 2 kali ganda melebihi angka yang syahid. Bersemangat para ibu untuk melahirkan bakal pejuang. Tidak tergambar rasanya bagaimana anak yang dilahirkan nanti dibesarkan dalam suasana yang menuntut mereka untuk berjihad. MasyaAllah, pasti hebat anak itu!



SELAMAT TINGGAL PnK!



Tepat jam 2.00 petang, hari kedua merangkap hari terakhir program, maka PnK melabuhkan tirainya. Dua hari berprogram, walaupun jika dikira secara jam, hanyalah 24 jam program berjalan, bila terisi dengan sesuatu yang bernilai, maka serasaku masa nya lebih dari 24 jam. Tanpa sedar, selain mengisi dada dengan ilmu dan penghayatan, terbina juga sebuah hubungan. Aku yang sebelum ini hanya mengenali beberapa nama sebelum ini, bila dapat bersama di PnK ini, terasa begitu erat sekali. Sudah pastilah saat ini merupakan saat yang sayu bagi kami.



Sebelum menamatkan program, kami sama2 berganding tangan. Lagu doa rabithah dimainkan. Satu2 lirik lagu yang merupakan doa disebut dan dihayati.



" Aku tidak berseorangan, inilah teman2 yang bakal memimpin tanganku dalam satu barisan. Moga kami diberi kekuatan untuk berjuang. Satukanlah hati kami..."



butir2 harapan berbunga di hati.



Tasbih kafarah dan Surah Al-Asr dibaca. Masing2 bersalam dan berpelukan sebelum pulang. Hujan gerimis yang turun bagai tahu perasaanku yang sayu.



" Moga kita dapat bertemu lagi. Pertemuan kita tidak bernoktah di sini, insyaAllah kita bakal bertemu lagi..."



Moga berjumpa lagi di 'taman syurga' akan datang, insyaAllah



















Meneguk Haloba 1

" Betapa secawan usia
yang dihirup
pekatnya tak pernah
menyamankan
dahaga dunia yang menyusup "

FAHD RAZY

ditebak hidayah

Aku menanti sepenuh sabar untuk menulis entri kali ini. Mana tidaknya, tika hati meluap2 untuk menulis, idea mencurah dan melimpah, pada waktu yang sama laporan monotzukuri ku menuntut aku menyelesaikan segera. Alhamdulillah, selesai segalanya. Dan kini jariku pantas menekan kekunci sepantas degup perasaan ghairahku untuk menulis.

" I bound to You O' Allah "

Tiada tergambar perasaan aku sejak semalam. Mendapat khabar gembira yang bisa menggoncang hati, meluruh jiwa hingga gugur air mata. Perancangan Allah memang kita tidak jangka. Siapalah kita, hanya hamba. Hanya hamba...

Jiwaku yang sesak ditimpa beban kerja dan duga dunia jadi lapang selapang2nya. Masakan tidak, tidak mampu ku gambarkan perasaan syukur dan gembira bila jiwa insan yang aku sayang ditebak hidayah Allah. Maha Suci Allah, sedangkan Dia Illah, Pencipta manusia, dan aku ini siapa? Hanyalah hambaNya. Hanyalah hambaNya.

" Barangsiapa dikehendaki Allah mendapat hidayah (petunjuk) Dia akan membukakan dadanya untuk menerima Islam. Dan barangsiapa yang dikehendakinya menjadi sesat, Dia jadikan dadanya sempit dan sesak, seakan2 dia sedang mendaki ke langit. Demikianlah Allah menimpakan siksa kepada orang2 yang tidak beriman " (Surah Al-An'am 6: 125)

Terlintas pula dalam benak hadith yang pernah ku hadam dan sering di sebut2 pada muqaddimah ISK,

" Barangsiapa dikehandaki Allah kebaikan, maka Allah akan memberikannya kebaikan dalam agama "

" Beruntung kau, temanku. Allah memilih kau ketika ini. Ketika yang mengaku muslim, mengaku bertutup litup tapi kecelaruan jalan, Allah tunjukkan jalan padamu. Tahniah, dan moga kita sama2 saling memperbaiki diri. Moga kita makin dekat dengan Maha Pencipta "

InsyaAllah, aku masih ingat kata2nya semalam yang masih basah,

" Fza, berhijab bukan bermakna tutup aurat, tutup itu, tutup ini je kan? Bila kita pakai hijab ni lah rupa2nya secara tak langsung akhlak kita pun kita ambil kira. Menutup, bukan menutup yang zahir je, tapi membenih rasa malu. Disamping hijrahku untuk berhijab ini, masih banyak benda yang perlu aku belajar.. "

" Takpe, sama2 kita belajar ye. Aku pun masih banyak benda yang tak betul lagi "

Subhanallah, nikmat inikah yang kau rasa dikala aku yang sudah berhijab ini pun baru terkesan dengan kata2mu. Maka benarlah kata2 Allah,

"Wahai anak cucu Adam! Sesungguhnya Kami telah menyediakan pakaian untuk menutupi auratmu dan untuk perhiasa bagimu. Tetapi pakaian taqwa, itulah yang lebih baik. Demikianlah sebahagian tanda2 kekuasaan Allah, mudah2an mereka ingat " (Al-A'raf 7: 26 )

Memandang ke langit membiru yang terlalu tinggi, sedang kaki memasak ke bumi, rupa2nya tanpa sedar kadangkala kita lupa siapa kita. Sibuk dengan dunia yang cuma sejengkal, kadangkala lupa dengan kesudahan yang tak berpenghujung. Memenuhkan hati dengan curahan tipu dusta dunia, yang makin diteguk, makin mendahagakan. Tanpa memberi ruang sedikit pun untuk mengunakan akal, merasai jiwa hamba sebenar2 hamba. Adakah jiwa yang yang lupa bisa ditebak hidayah Allah jika tiada sedikit ruang pun dibuka?

" Alhamdulillah. Moga kau diberi kekuatan untuk meneruskan syariat Allah ini. Jangan segan, jangan malu. Tuhan Maha Tahu apa yang dikehendaki. Mungkin kau risau bakal terasing di celahan manusia, tapi ketahuilah dengan gembira, yang sebenarnya Allah menjemput kau untuk makin dekat ke sisiNya "

pembelian yang dimaafkan?

" Katchatta ! "

Aku memekik sendiri dalam hati. Usai kenyang menjamu udon, Along mengajakku untuk singgah ke kedai buku Miyawaki di sebelah. Aku cuma mengangguk setuju. Tiada niat langsung mahu membeli walau senaskhah buku pun.

Sebaik sahaja menjengah masuk ke dalam kedai, aku terus menuju ke rak yang menempatan buku2 berbahasa Inggeris. Aku yang masih belum punya niat membeli, sekadar membelek2.

Satu2 buku aku tatap. Sambil menunggu Along dan Has memilih dan buku2, aku ralit memerhati satu2 buku disitu.

" Janganlah jumpa buku yang aku nak. Janganlah jumpa..janganlah jumpa.."

Aku bagai berdoa kuat dalam hati. Mana tidaknya, aku sedang berhadapan dengan titik kelemahanku. Buku2 berdaya kuat menarik perhatianku. Sehinggalah pandanganku tiba pada satu buku.

" Surely, ..."

Setakat itu tajuk yang dapat aku lihat. Selebihnya terlindunga dengan kertas yang membaluti hampir separuh buku tersebut. Aku yang masih berniat tidak mahu membeli, mengambil buku tersebut untuk ku pastikan tajuknya.

" Surely, you're joking Mr. Feynmen. Yabai!!!! (teruk!!!!) "

Buku ini yang ku cari ketika pulang ke Malaysia lebih sebulan lalu. Hampir segenap kedai buku MPH aku geledah, buku itu tiada dalam stok. Dan kini, buku yang aku idam ada depan mata! Gembira? Keliru? Ah, Allah sahaja yang Maha Tahu. Harganya pun boleh tahan. Bisa menambah tipis poketku.

" Adakah ini pembelian yang di maafkan ?"

Bertalu2 hatiku diketuk pertanyaan yang sama. Sehingga aku serahkan notku di kaunter baru hatiku lega. Tapi aku ini nampaknya bagai menambah koleksi buku yang belum dibaca di pustaka rumahku.

Suka membeli, sukar untuk membaca. Oh, apakah ini satu dosa? Atau satu penyakit?

Jika sakit, penawarnya?

p/s: aku sangat hargai jika ada sesiapa yang berkongsi petua dan cara bagaimana mahu menghadam buku bercorak fikrah dan da'wah. Aku sukar sekali untuk membenihkan minat membaca buku2 ini.

usah ditanya kenapa

hujan?

usah ditanya kenapa hujan
bila turunnya diluar jangka

panas?

usah ditanya kenapa panas
bila diharap dingin yang menerpa

rumput?

barangkali aku lupa pada rumput sejemput
yang tasbihnya tak putus

daun?

barangkali aku lupa pada sehelai daun
yang doanya tulus dan mulus

aku?

ya, aku kalah dengan rumput dan daun
tasbihku putus tidak bersambung
doaku hadir dalam lewa

menagih dan meminta
sedang syukur tak pernah menjelma

12 mei 2009
Higashi Kaji Gaeshi 2-18-8

kejar mentari

Dalam satu hari, ada suatu masa yang akan buat aku gembira.

dan dalam satu hari juga, ada suatu masa yang bisa buat aku berduka.

Disebabkan subuh di sini masuk pada awal2 pagi, sekitar jam 3.40, biasanya aku yang tidak tahan kantuk ini tertidur selepas subuh. Bila bangun semula sekitar 7.00 pagi, antara perkara pertama yang aku akan buat adalah menyelak langsir. Kenapa ya? Entah, aku rasa sangat seronok bila aku buka mata pagi2, ada benda yang seakan menyambutku. Rasa cergas bila tengok mentari memancar megah, langit biru, bunyi enjin2 kereta dan motor. Bagai semua mahu menyatu denganku memulakan hari. (^^,)v. Segala2nya bagai baharu untuk aku lalui. Ada sesuatu menanti, bila aku keluar melangkah dari rumah, ada tempat yang perlu ku tuju.

Bila matahari dah tinggi ke puncaknya, aku rasa waktu ini yang paling mencabar. Kadang2 mukaku berkerut menahan serabut tidak faham kandungan kuliyyah yang dihadam. Tambah2 lagi bila si perut mula ligat bermain keroncong. Huhu.. memang mencabar.

Hari berlalu hingga ke lewat petang. Mentari waktu itu pun sudah condong ke barat. Suatu hari, sekitar jam 6.50 petang, aku duduk mengadap arah barat. Sangat cantik mentari waktu itu. Cahaya berwarna oren kekuningan. Tapi cahaya oren yang cantik itu, sangat sekejap. Aku mula melihatnya dalam posisi duduk. Aku berdiri sedikit demi sedikit untuk menjejak mentari yang makin tenggelam. Tanpa sedar, lama kelamaan aku menjingkitkan kaki untuk menjejak mentari. Pelik juga kerana semuanya berlaku terlalu pantas. Disebalik rasa kagum dengan aya~t (tanda2)Maha Pencipta, tidak dinafikan diwaktu inilah titik sedih itu mula aku rasa. Mentari tenggelam, tanda menutup buku hari ini. Bila mana waktu bekerja, pun sudah tamat waktu itu.

Pernah sekali dulu ketika musim sejuk, waktu maghrib masuk sekitar jam 5, aku yang ralit berbasikal ingin pulang kerumah rasa sangat hairan melihat seorang petani yang masih lagi setia mengerjakan tanah yang sekangkang kera. Mencabut rumput2, dan menggemburkan tanah. Bila aku teringat kembali hal itu, baru aku faham kenapa petani itu masih bekerja walaupun hari semakin gelap. Menunjukkan betapa berharganya waktu siang padanya. Jika musim2 yang biasa, jam 5 masih lagi terang benderang, bila tiba musim sejuk, siang jadi singkat. Bermakna waktu bekerja pun terhad.


Maksudnya: " Apabila solat telah dilaksanakan, maka bertebaranlah kamu di bumi, carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak2 agar kamu beruntung " ( Surah Jumuuah : 10 )

Selagi ada mentari, bermakna peluang untuk beramal, bekerja itu masih ada. Begitulah hidup di dunia yang sangat singkat ini. Selagi mata belum terpejam untuk selamanya, selagi itu insyaAllah kurnia Allah masih luas melata.


jom mudahkan jalan kita

Masih basah lagi kata2 ustazah sebelum ini. Dalam posisi duduk bersimpuh di hadapan, di kelilingi2 insan2 yang hadir kerana dahagakan sesuatu, ustazah memulakan bicara dengan sepotong hadith yang begitu menyenangkan hati. Yang datang dari jauh pasti tak terasa lelah penatnya, yang keluar banyak belanja bagai tak terasa apa2.

Sabda Rasulullah SAW:

" Barangsiapa yang meredah jalan mencari ilmu, Allah akan mudahkan jalannya ke syurga "

setapak ingin melangkah menjejak ilmu, moga Allah mudahkan segala perkara.

doktrin robot

" Perlu ke tak tulis benda ni ye ?"

Aku masih belum mampu memutuskan. Jari jemariku ligat memutarkan pensel picit. Sedang kepalaku berserabut.

Perlu atau tidak untuk aku tuliskan apa yang sedang bermain di fikiran . Laporan subjek Pengenalan kepada Bio-Robotik perlu aku selesaikan minggu ini. Soalan pertama ini menganggu aku sejak tadi. Adakah mereka faham apa yang aku rasai?

 ”ロボット開発するのは良くないことではないが、ところが、ロボットがあれば人間は幸せに慣れるのか? かつてロボットの開発した理由は人間の仕事を手伝ってもらえると言われた。しかし、現在技術が進歩していて、先見たビデオによるとロボットは人間の生活を楽にするではなくパチンコやゲームに注目して多く広がっている。それで、将来人間はどうなるのか?。。”

" Bagi saya, membangunkan teknologi robotik bukanlah suatu perkara yang kurang baik. Tetapi adakah dengan kehadiran robot ini, manusia bisa hidup lebih bahagia? Dahulu robot di bangunkan bertujuan untuk membantu kerja2 seharian manusia. Sebaliknya, seperti yang tertera dalm video yang kita lihat sebentar tadi, dengan kemajuan yang makin pesat membangun teknologi robot di Jepun ini saya kira sudah tersasar dari tujuan asal. Masakan tidak, pembangunan robot kini di tumpukan pada hiburan. Jika pembangunan robot pada hiburan di beri penumpuan yang besar, jadi di masa hadapan bagaimana hidup manusia yang bakal di corakkan ? "

Puncanya begini,

ketika Kuliah Pengenalan Bio-Robot, sensei menayangkan satu klip video berkenaan pembangunan robot di Jepun. Bagaimana ia bermula, apa cabaran yang di hadapi, dan kemajuan bidang robot di serata dunia. Tetapi bila tiba sahaja ke suatu scene ini, dipaparkan bagaimana kecanggihan robot digunakan di pusat2 hiburan ( pachinko ). Secara tidak langsung lemah longlai segenap tubuhku. Aku hanya mampu tertunduk, menahan rasa sebak yang amat.

Jika inilah yang dikehendaki manusia, menghabiskan seluruh usia mengkaji bagaimana mencipta itu dan ini supaya lebih canggih, dan pengakhirannya di salurkan ke jalan yang semakin menghanyutkan mereka dengan dunia, jadi pengakhirannya bagaimana?

Ya, kita selalu fikir kita terhibur. Kita selau fikir kita gembira dengan segala yang ada di bumi yang kita pijak ini. Dalam masa yang sama kita semakin hanyut dalm lautan kebodohan. Kedangkalan kita untuk menjejak kenapa kita disini.

..................Dan aku kadangkala semakin gusar disuntik doktrin cinta material dan cinta dunia di sini. Selagi aku punyai antibiotik iman, insyaAllah aku cuba bertahan.

p/s: hidup untuk mati.

PnK



Teringat aku kata2 Ustazah Maznah sewaktu memulakan slot pada hari pertama. Katanya..


" Umat yang paling malang dalam dunia kini adalah umat islam. Masakan tidak, di luar sana, bila satu dua sahaja nyawa orang kafir yang melayang, kecoh dan gempar satu dunia


tapi bila umat islam dibunuh sehinga beribu2 orang, di serang depan mata kita, dicabul hak2 mereka, tiada siapa yang membela. Walaupun orang yang mengaku saudara seagama.


Cuba kita sorot apa yang berlaku di Iraq, di Afghanistan, dan yang lebih menyedihkan apa yang menimpa saudara2 kita di Palestin sana.


dimana kita?


apa yang kita lakukan ?


mengapa mesti kita buat sesuatu ?"


Alhamdulillah, kasih sayang Allah masih melimpah luas. Memberi peluang untuk kita menyertai satu program yang bakal di adakan tidak lama lagi.


PALESTIN DAN KITA

( PnK )


insyaAllah bakal menemui kita di Hagi, Yamaguchi
pada 16hb mei ~ 17hb mei.
  • ada apa dengan palestin ?
  • belajar dari teladan?
  • mahu bertemu teman2 lain?

PLUS!

dengarkan sendiri pengalaman nihonjin yang pernah ke Palestin.

JUMPA DI SANA!

layari laman web http://www.pi-nk.co.cc/ untuk meklumat lanjut dan urusan pendaftaran.

Jalan Jauh ke 調布 ( Choufu )

" Fizah, nak ke mana lepas ni ?"

Kak R gesit menanyaku sejak tadi. Ke mana aku selepas tamat program Golden Week Gathering pun masih belum aku putuskan. Dengan wajah terpinga2 tidak tahu ke mana patut aku tuju selepas ini, aku sekadar menjawab

" Tak tahulah kak. Fizah betul2 tak tahu "

Hendak terus pulang ke rumah, memang tidak sempat tiba ke Yamaguchi malam ini. Jarum pun sudah menunjukkan jam 5.00 petang. Jarak antara Yokohama dan Yamaguchi bukannya dekat. Malah jauh sehingga lebih seribu kilometer! Belum lagi masa yang perlu di ambil untuk mengambil bas dari tempat ini ke stesen keretapi yang berdekatan.

Ada antara teman2 yang menetap di Kantou mengajakku untuk bermalam di tempat mereka. Seorang mengajak bermalam di Gunma, seorang lagi menawarkan aku tempat di Yamanashi. Apakan daya, jarak kedua2 tempat dari stesen shinkansen yang paling dekat pun memakan masa. Tambahan pula, temanku yang di Yamanashi itu punyai acara sendiri malam itu.

" Macamnila... apa kata kau tanya pada Chika, kouhai Denki Syuushin tu. Eki untuk ke tempat tu Choufu Eki "

Tanpa banyak kerenah, aku terima bulat2 cadangan temanku itu. Memandangkan hari pun semakin lewat petang, ke mana lagi patut aku tuju untuk bermalam. Terus aku capai telefon bimbitku dan aku hubungi kouhaiku di Choufu itu. Alhamdulillah, aku tidak sendiri. Teman rapatku, S yang tiada arah tuju sepertiku bersetuju untuk sama2 bermalam di Choufu.

Mujur temanku, S ini menetap di Kantou. Aku serahkan sepenuhnya hal2 norikae densya ( bertukar2 keretapi ) kepadanya. Tambahan pula densya untuk ke Choufu itu bukan di bawah perkhidmatan JR ( Japan Railway ) tetapi Keio Line.

Tidak ku kira berapa kali norikae untuk ke sana. Memandangkan hari itu merupakan hari cuti umum di Jepun, tidak hairanlah densya di penuhi Nihonjin dari pelbagai lapisan. Tidak seperti hari2 biasa. Berbeza sungguh suasananya berbanding suasana yang aku lihat ketika mengunjungi Tokyo tidak lama dahulu. Densya dipenuhi oleh Nihonjin yang bersut lengkap. Semuanya seragam dan seirama warna.

Alhamdulillah. Perancangan Allah cukup cantik. Tidak pernah sekalipun terlintas dalam fikiran untuk aku mengunjungi Choufu. Lebih2 lagi kouhaiku yang seorang ini satu2nya kouhai perempuan di situ. Senpai2 onna yang belajar di situ pun sudah berada di Tahun 4 pengajian. Manakala senpai2 yang lain semuanya lelaki. Moga2 kehadiranku bisa mengubat rasa sunyi.

Tiba sahaja di Choufu Eki, terus hubungi Chika. Pintaku sebelum tiba ke sini agar membawakan kami untuk makan malam di restoran yang berdekatan. Bila lagi hendak menghabiskan masa bersama kouhaiku ini bukan? Hampir 5 minit menunggu, Chika tiba dengan wajah ceria dan sedikit tercungap2. Barangkali langkah seribu usai aku hubunginya sebentar tadi. Kami menyusur keluar ke Minami Guchi ( pintu keluar selatan ). Keberadaannya yang baru sebulan di situ, Chika mengaku masih kurang arif dengan selok belok sekitar Choufu Eki ini. Lebih 3 minit berjalan, kami tiba di hadapan sebuah restoran. Yang tidak lain tidak bukan, restoran masakan Itali segera yang begitu lazim pada warga Malaysia. Restoran Saizeriya.

Aku dan Chika memesan spagetti. S, temanku pula memilih pizza. Keletah kouhaiku yang agak ragu2 untuk memilih menu benar2 mencuit hati. Sedikit sebanyak terubat juga rasa penat menempuh perjalanan ke sini.

" Kenapa Chika macam ragu2 je nka pilih ?"

"Takutlah nak makan benda yang tak pernah senpai pilih "

" Ala, takpe. Nanti kita tanya dekat pelayan tu "

Barangkali tergoda dengan doria yang kelihatan enak di menu tetapi ragu2 dengan bahan yang di gunakan, temanku memanggil pelayan yang berdekatan. Mungkin tiada rezeki kerana dalam doria terkandung nyuukazai ( emulsier ) daripada hewani.

Keletihan menempuh perjalanan berjam2 sejak tadi menyebabkan selera untuk makanku bertambah. Habis sahaja sepinggan spagetti, aku capai menu yang tersisip kemas di atas meja. Berkali2 aku membelek, namun tidak ada yang menarik hati.

" Takpe la kak. Nanti kita beli makanan lain sambil jalan2 kat luar nanti ".

MEREDAH MALAM DI CHOUFU.

Usai makan malam, kami meredah malam di sekitar Pekan Choufu. Jam menunjukkan pukul 8.00 malam. Perasaanku seperti sudah lewat malam, tapi kemeriahan bandar Choufu masih lagi hidup. Berlainan sekali dengan bandar2 besar seperti Shinjuku dan Tokyo yang pernah aku lewati di waktu malam lebih setahun yang lalu, walaupun di simbahi lampu neon dan orang ramai yang lalu lalang, namun suasananya lebih menenangkan.

Lama aku tidak meredah malam seperti ini. Malam sahajalah, Yamaguchi di kelilingi alam semulajadi. Mustahil untuk meredah malam menikmati alam bila semuanya pendangan gelap gelita. Sambil kakiku mengayun langkah, sisa2 memori meredah malam ketika di Kyouto dan Shinjuku dahulu menguis2 kotak ingatan.

Sewaktu di pertengahan jalan menuju ke rumah kouhaiku ini, tersergam indah papan tanda 電気周信大学。(Denkisyuushin University ). Teman2 seusiaku 3 orang yang mengaji di situ. Lain padang, lain belalang. Kedudukannya di tengan pekan berbeza dengan universitiku yang di kelilingi bukit bukau dan sawah padi yang luas menghijau.

"Akak tak rasa lain ke, bila akak lalu jalan ni ?"

Kouhaiku bertanya. Bagai mengerti apa yang sedang bermain2 dalam kepala sejak dari tadi. Seusai menempuh lebih kurang 500m jalan dari Choufu Eki tadi, suasana seperti di pekan, berubah menjadi suasana yang berbeza. Jalan sunyi yang jarang di lalui orang, tanpa disirami lampu jalan, sesekali kedengaran bunyi cengkerik bersahut-sahutan. Seperti baru masuk ke alam yang berbeza.

" Kak, kawasan ni pula saya rasa macam dekat Bandung "

rumah2 yang berderet2 seperti setinggan di Malaysia tetapi kemas kedudukannya membuatkan kouhaiku menyimpulkan suasananya seperti di Bandung. Aku yang tidak pernah ke sana sekadar mengangguk kepala dan mengikut pantas dari belakang.

" Ha, dah sampai dah. Inilah rumah saya. Silalah masuk "

Chika menjemput kami masuk. Alhamdulillah, kami selamat tiba. Lega rasanya di ilhamkan Allah supaya kami menuju ke sini. Sekurang2nya dapatlah berteduh sementara menanti hari esok.

Chika menyusun ke dalam peti barang2 yang di beli di supa. Temanku, S membuka Taiyaki yang di beli di gerai kecil sewaktu menempuh jalan tadi. Dia memilih taiyaki berinti blueberi dan krim keju. Manakala, kouhaiku memilih inti kastard. Aku pula teringin sekali mencuba taiyaki matca berinti kacang merah. Sambil menikmati taiyaki dan aiskrim, bertalu2 soalan dari aku dan teman. Rasa teruja bila mendegar Chika bercerita kehidupannya dan pengajiannya di sana. Maklumlah, bukan calang2 pelajar yang boleh ke situ. Chika antara mereka yang bertuah.

" Yachin ( sewa bulanan rumah ) Chika sebulan berapa ? "

tanyaku pada Chika. Itu antara soalan yang wajib di tanya. Maklum sahajalah, tinggal di kawasan Kantou ini telaanku pasti yachinnya mahal berganda.

" 5 man sebulan kak. Masa saya bayar pendahuluan nak masuk rumah dulu kena bayar 20 man"

MasyaAllah. Begitu mahal sekali yachi rumah yang di sewa Chika. Bayaran pendahuluannya sahaja dua kali ganda berbanding rumah yang aku sewa sekarang. Insaf rasanya mengenangkan duit yang di sesarkan untuk tujuan bukan2. Sedang teman2 lain berjimat cermat mengikat perut.

Kami berbual hingga jam 11.00 malam. Chika mencapai kerja sekolah yang perlu di siapkan. Aku dan temanku bersiap2 untuk tidur.

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.
Moga perjalanan yang aku tempuh sepanjang hari ini menambah nilai pada diri. Permusafiran di negeri yang lain moga bisa juga menambah rasa syukur sebagai hamba.

" Ya Allah, berkatilah kehidupan adik ini. Murah rezekinya, terang hatinya dekatkanlah dirinya denganMu..."

Aku melelapkan mata menutup episod hari ini. Menanti hari esok untuk kembali ke kampung halaman.

redha Tuhan VS redha manusia

Jiwa yang masih kontang iman seperti aku ini, bisa sahaja bergoncang bila di acah. Menghadapi kerenah manusia yang pelbagai, ancaman amarah insan lain yang aku kira agak menakutkan, dan rasa tergugat takut2 diri tidak lagi dapat lagi diterima dan disambut di tengah ramai.

Betul2 membuat aku gusar!

Sehingga suatu ketika, tatkala syaitan laknatullah itu ligat menguis2 hati agar timbul perasaan2 yang di atas itu. Tanpa sedar aku terlupa, akan apa yang pernah di lakukan bukan untuk memenuhi kehendak diri. Tapi demi memenuhi kehendak Maha Pencipta!

Betapa tabahnya jiwa Rasullullah SAW bila diherdik dan di hina. Sabarnya kekasih Allah bila dicampakkan najis ditengkuknya. Tidak tercalar kasih sayangnya walaupun bergaris luka di tubuhnya semasa hijrah ke Thoif. Sehingga Jibril tidak mampu lagi menahan sabar melihat Rasullullah sebegitu terluka. Lantas dengan penuh tenang dan lembut hati, Rasulullah memaafkan dan menjawab;

" Umatku itu tidak mengetahui.."
Aku ini hanya insan biasa. Malah hamba yang masih mencari2 nafas hamba. Moga Ar-Rahmaan beri aku kekuatan untuk menghirup nafas dalam redha Tuhan. Bukan redha insan.

Jam 5 suku

Masih berbaki 5 minit sebelum pukul 5.15 pagi. Sebentar lagi senpaiku bakal menghantar aku dan temanku, Dena ke Stesen Ubi Shinkawa. InsyaAllah, Think Tanker bakal sepi lagi untuk lima hari mendatang. Jika pembaca Think Tanker sebelum ini sudah lazim dengan kesepian blog ini di sebabkan keberadaanku dalam kembara, begitu juga hari ini. Moga pengembaraanku, ( baca : percutianku ) ini di redhai Allah.

Tidak sabar rasanya untuk berjumpa teman2 tersayang di 'taman2 syurga' yang di janjikan Allah untuk malaikat menaunginya. Lebih tidak sabar lagi bila pemergianku ini bukan keseorangan, tapi berteman.

Bismillahi tawakkaltu a'lallah.

Sudah 5.15 pagi.

Aku pergi dahulu ya.

Assalamualaikum...