Pages

Phewww

Bismillahirrahmanirrahiim, 

Alhamdulillah, sudah hantar thesis,sudah tamat presentasi. Dan seharusnya mungkin ini saat yang paling selesa bagi seorang pelajar seperti saya yang cuma akan membilang hari untuk menghadiri majlis graduasi , dan menerima skroll ijazah untuk pengajian selama 4 tahun ini. 

Namun, pada saya ... ia sebaliknya. Bahkan mungkin saya sekarang menghukum diri sendiri dengan rasa penyesalan yang amat. Hinggakan 4 tahun yang dilalui ini terasa bagai "kosong" dan mungkin hanya seperti mimpi semalam yang menemani lena saya yang panjang. 

10 minit yang sudah berlalu itu membuatkan saya terfikir-fikir apa yang telah saya lalui sepanjang 4 tahun ini. Tubuh saya melemah, rasa bagai mahu melarikan diri dan sebagainya. Benar, saya terasa seperti hilang ingatan untuk semua perkara dalam tempoh masa yang sekejap lantaran rasa sesal yang amat menghimpit itu. 

Sehinggalah saya berjumpa dengan 2 orang teman sejiwa saya di sini. 
Terasa jiwa bagai hidup, harapan semakin berbunga dan sedikit sebanyak apa yang saya lalui sepanjang 4 tahun ini mula timbul satu persatu dalam fikiran. ternyata ianya kenangan paling manis pernah saya jumpa. Ataupun saya bisa mengatakan ianyalah maksud keberadaan saya disini. 


Phewww...

Dalam 2 hari yang berlalu ini, membuatkan saya terfikir apa maksud hidup ...
Apa yang saya mahu?
Jalan apa yang akan saya pilih selepas ini?

Ternyata hidup di alam selepas graduasi merupakan suatu masa pada bayangan saya ianya kritikal. Kita akan beralih fasa. Tanggungjawab semakin luas. Medan berfikir dan bekerja semakin mencapah. 
Karier, rumah tangga, ibu ayah, anak-anak, suami. 

Saya belajar dalam bidang kejuruteraan mekanikal. Biasanya kerjaya saya sinonim dengan kerja yang lasak, akan bersaing dengan kaum lelaki. dan tidak saya nafikan akan wujud juga diskriminasi jantina dalam bidang ini. Sudah pasti untuk memilih kerjaya ini nanti perlu sesuai dengan tanggungjawab saya, terutamanya bila sudah berumah tangga dan menjadi seorang ibu. 

Berkenaan dengan emak abah pun, ada hak yang perlu dipenuhi. Saya berhutang rindu selama 4 tahun dengan mereka merantau belajar disini. Dengan usia mak abah yang semakin meningkat ... hurm. 

Tentang soal rumah tangga, saya tidak berniat mengulas panjang. Tetapi tertarik dengan perkongsian seorang makcik ini tentang sebuah doa untuk kita minta pada Allah untuk bakal pasangan kita nanti. Doanya berbunyi begini;

" ya Allah, kurniakan aku suami yang soleh. Yang dapat membimbingku dan dapat aku bersamanya hingga ke syurga ". 

Mahu berbaitul muslim (rumah tangga) hingga membawa ke syurga. Jauh dan besar matlamat ni!

Bagaimana keluarga yang bakal dibina ini nanti boleh menjadi contoh kepada masyarakat sekeliling. Cara interaksi sesama ahli keluarga, peranan keluarga dalam masyarakat, termasuklah anak-anak kita sendiri boleh jadi qudwah (contoh teladan) di sekolah. 

Pheww...

Nyata, fasa hidup ini masih panjang. (Walaupun kita tidak tahu bila nyawa kita akan diambil). 
Perjalanan yang panjang, memerlukan nafas yang panjang. Pemahaman terhadap destinasi dan tujuan hidup sebenar itu yang memandu. 

Jika mungkin untuk dua hari ini saya terlalu sugul, hari ini nampaknya saya perlu bangkit semula. 
Come on, jalan di hadapan kita masih jauh. Masih banyak perkara yang bergan-ganda lebih penting dan lebih besar berbanding dengan apa yang ada di hadapan mata saya sekarang. 

Jalan hadapan yang menentukan destinasi saya yang terakhir. 

Jom keluar!



Cukup. 

No comments:

Post a Comment