Pages

Satu antara dua

" Melampau sungguh kau ini! "

" Tiada maaf untukmu lagi..! "

Aku sudah tidak punya toleransi untuk sikap malasku yang semakin menjadi-jadi ini. Esok aku perlu berperang, tetapi nafsu ingin bergoyang kaki semakin kuat memujuk rayu diri. Aku semakin tidak memaafkan diri jika kali ini aku tergoda dengan pujuk rayu kemalasanku.

Tiada maaf!

Noktah.

Aku cuba perlahankan langkah kerna semakin ku mendesak kemalasanku, si tertekan pula semakin memunculkan diri. Sudahnya aku cuba mencari alternatif lain untuk menyelamatkan diriku daripada senapang kemalasan yang bertubi-tubi menyerangku.

SATU ANTARA DUA

Jam menunjukkan pukul 7.00 malam. Sambil menunggu azan isya' berkumandang, aku mengambil peluang mengisi ruang kosong perutku dengan mi bandung segera. Kuahnya yang pekat dan hangat aku hirup perlahan2. Kelihatan dua ekor udang tanpa kepala lemas dalam kuah mi bandung yang masih berasap.

Sambil menikmati mi bandung segera yang lazat tiada tara, jari-jemariku menggerakkan tetikus. Melakukan dua kerja dalam satu masa adalah kemestianku. Sambil makan, sambil melayari internet.

Dua udang dalam kuah.

Dua kerja satu masa.

Pilih satu antara dua.

Namun bukan itu yang aku ingin khabarkan.

Tetapi yang ini.

SATU ANTARA DUA : DARAH DI MU'TAH

Di dalam satu kisah, Rasulullah S.A.W menghantar surat kepada beberapa orang raja mengajak kepada Islam yang suci. Salah satu raja yang diutus surat itu ialah Raja Busra dimana Haris bin Umar Azdi r.a menjadi utusan Rasulullah.

Takdir Allah, Haris telah dibunuh oleh Sharabbil Ghassani, yakni salah seorang gabenor Kaisar. Tindakan ini sangat bertentangan dengan tatacara undang undang kerana Haris hanya merupakan seorang utusan.

Rasulullah berasa sangat sedih dengan kejadian ini lantas menghantar 3000 tentera Islam untuk memerangi musuh yang jahat itu. Perang ini dinamakan sebagai Perang Mu’tah kerana kejadian ini berlaku di Mu’tah, Jordan.

Di sinilah terjadinya peristiwa yang memaparkan semangat kepahlawanan dan kecintaan kepada syahid oleh tentera Islam. Rasulullah SAW, melantik Zaid bin Harithah sebagai ketua pasukan.

Kemudian Baginda SAW, bersabda kepada para pejuang yang akan ke medan pertempuran:
“Sekiranya Zaid terbunuh maka Jaafar bin Abi Talib hendaklah mengetuai pasukan dan jika Jaafar juga terbunuh maka Abdullah bin Rawahah hendaklah mengetuai pasukan. Dan sekiranya Abdullah juga terbunuh maka bolehlah kamu semua memilih seorang ketua di kalangan kamu orang yang kamu kehendaki.”

Seorang Yahudi yang kebetulan berada di situ berkata:
“Pasti ketiga-tiga mereka ini akan terkorban kerana ini adalah lumrah sebagimana para-para Nabi yang terdahulunya selalu meramalkan.”

Rasulullah tidak turut serta di dalam perang ini. Baginda menyerahkan sehelai bendera putih yang dibuat oleh baginda sendiri kepada Zaid.

Kemudian baginda berdoa:
“Semoga Allah SWT akan mengembalikan kamu semua dengan selamat dan memperolehi kejayaan. Semoga Allah memelihara kamu semua dari segala kejahatan.”

Seraya itu, Abdullah bin Rawahah menyampaikan serangkap syair:

“Aku hanya menginginkan keampunan terhadap segala dosa-dosaku dan

sebilah pedang untuk menyebabkan darah-darah merahku memancar
keluar seperti air yang mengalir keluar dari mata air.

Atau sebilah tombak untuk menembusi masuk keliang hatiku dan isi perutku.

Dan ketika insan-insan melalui di tepi kuburku, mereka akan berkata:
Semoga engkau telah gugur kerana Allah…. berjaya dan makmur. Engkau sesungguhnya insan yang berjaya dan makmur.”

Pihak musuh telah mengetahui akan kedatangan tentera Islam. Lantas mereka mempersiapkan tentera mereka dengan kekuatan 100 000 tentera yang diketuai oleh seorang panglima, Sarjil.

Ketika Sarjil hendak mara,mereka mendapat khabar bahawa Kaisar juga sedang mara dengan tenteranya yang berjumlah 100 000 orang.

Jadi, semuanya berjumlah 200 000 orang!

Bayangkan-rakan rakan, 3000 orang berlawan dengan 200 000 orang! Jadi ketika itu, ada di kalangan sahabat yang menyuruh menghantar maklumat kepada Rasulullah akan perkara ini andai kata ada rukhsah untuk tidak berperang.

Dalam keadaan ragu ragu itu, Abdullah bin Rawahah dengan penuh semangat pejuang berkata dengan suara yang lantang:

“Wahai para sahabatku, apakah yang membimbangkan kamu semua. Apakah tujuan sebenar kamu semua datang kesini? Bukankah kamu semua datang kesini untuk mati syahid.
Kita sebagai pejuang-pejuang Islam tidak pernah memperjuangkan tenaga kita dengan kekuatan senjata dan kekuatan bilangan tentera. Perjuangan kita adalah semata-mata kerana Islam yang telah dimuliakan oleh Allah SWT ke atas setiap kita pejuang-pejuang agamaNya.

Kita hendaklah mempastikan salah satu antara dua: Kemenangan atau syahid.”

Lantas saja, semangat tentera Islam membakar kembali umpama api yang membaham kertas.Lalu,kedua dua pihak berperang bermati-matian. Dalam pertempuran yang sengit itu gugurlah Zaid bin Harithah sebagai syuhada.

Terus sahaja, Jaafar bin Ali Talib r.a memikul tanggungjawab sebagai panglima. Beliau sengaja melumpuhkan kaki kudanya supaya beliau tidak ada alasan melarikan diri dari medan pertempuran yang kian menggila itu.

Beliau menggenggam bendera dengan tangan kanannya,tetapi musuh datang menetak. Lalu, berpindah ke tangan kirinya. Ditetak jua. Lantas, didakap bendera Islam itu dengan kedua tangannya yang kudung.

Darah mengalir seperti kepala paip yang kehilangan penguncinya. Akhirnya,riwayat beliau diakhiri dengan satu tetakan dari belakang yang menyebabkan badannya terputus.

Abdullah bin Umar ra. menceritakan,
“Ketika kami mengangkat beliau keluar dari medan pertempuran. Kami dapat mengira bahawa terdapat 90 liang luka di badan beliau.”

Allah telah menganugerahkan sepasang sayap buat Jaafar di syurga nanti.

Selepas itu, Abdullah bin Rawahah pula memimpin tentera Islam di mana beliau juga turut menyertai para syuhada’ yang lain. Kegigihan Abdullah dapat dilihat apabila beliau sanggup memutuskan jari-jarinya yang telah ditetak oleh musuh kerana mengganggu pergerakannya.

Seterusnya,tentera Islam dipimpin oleh seorang panglima yang selepas itu menjadi salah seorang panglima yang agung di dalam sejarah Islam. Beliau ialah panglima yang ulung, Khalid bin Al Walid.

Khalid berjaya melakukan satu taktik pengunduran yang berjaya mengelirukan tentera musuh dan berjaya meminimakan kerugian di pihak Islam.

Di dalam perang ini,seramai 1000 tentera Muslim telah syahid manakala di pihak musuh kira-kira seramai 20 000 orang telah terkorban.

Perang ini telah menggoyah keyakinan Kaisar dan telah menambahkan lagi keyakinan di pihak Muslim.

Yakinlah dengan janji Allah,syurga menanti para PENCINTA SYAHID!

" Urp, alhamdulillah..."

Nikmatnya dapat menjamah mi bandung segera sesedap ini.

Namun tidakkan mampu untuk bersaing dengan santapan rohaniku hari ini.

" Yosh!! Haiya bil jihad "


# kredit untuk laman web ikhwah france : VersLaLumiere


3 comments:

  1. am warahmatullah..
    benar,jihad melawan hawa nafsu sebenarnya besar juga cabarannya..teruskan!

    ReplyDelete
  2. buat gempak je awak ni..hehehe, makan mee udah la sian udang lemas, selamatkanlah die :)

    nice artikel anyway..keep it up :)

    ReplyDelete
  3. Aku berdebar2 membaca kisah peperangan Mu'tah ini. Cuba kau bayangkan andai namamu disebut dan kau bakal mati selepas ini! Ya, sudah pastinya ini merupakan berita gembira buat perindu2 syahid...

    ReplyDelete